Isnin, 20 Disember 2021 | 11:00am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Segera wujudkan perjawatan khusus warden asrama sekolah

SETIAP kali kes buli berlaku, ramai berasa simpati dan bimbang khususnya jika ia membabitkan kehilangan nyawa mangsa. Hinggakan ada ibu bapa mulai takut untuk menghantar anak ke sekolah berasrama.

Apa yang menyedihkan, setiap kali buli berlaku, umum menuding jari kepada pihak sekolah, terutama warden atau guru bertugas, sedangkan isu buli seharusnya ditangani secara menyeluruh oleh semua pihak.

Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2017, satu daripada enam remaja terbabit sebagai mangsa buli dengan mangsa lebih ramai dalam kalangan lelaki berbanding wanita.

Mengambil kira kes buli yang semakin membimbangkan, pencegahan awal perlu dilakukan bagi membendung permasalahan ini. Antaranya memperbaiki mekanisme sedia ada dalam pelaporan, sokongan dan pencegahan bagi semua jenis buli sama ada menerusi fizikal atau secara dalam talian.

Bagi ibu bapa, mereka perlu melaksanakan peranan dengan memberikan tumpuan kepada perubahan emosi anak.

Penting juga untuk ibu bapa menyediakan ruang selamat untuk anak berkongsi, selain mengenal pasti jika berisiko untuk terbabit gejala buli supaya pencegahan dapat dilakukan.

Di sekolah pula, guru perlu melaksanakan tanggungjawab mereka. Jika berlaku pergaduhan dan pertelingkahan antara murid, ia perlu ditangani sebaiknya atau jika perlu, babitkan pihak berkuasa supaya pelajar rasa takut untuk membuli.

Hakikatnya, masyarakat lebih cenderung bersuara apabila berlaku buli fizikal, namun tanpa disedari buli sering juga berlaku secara mental dan jiwa.

Seharusnya masyarakat dididik mengenai cara mengelak daripada menjadi mangsa buli, apatah lagi untuk terbabit sebagai pembuli. Ilmu juga perlu ada untuk mengelak dengan berani bersuara jika dibuli.

Dalam konteks pihak berkuasa, usaha boleh digerakkan dengan memperjelaskan bentuk hukuman yang boleh dikenakan terhadap mereka yang melakukan perbuatan buli, melalui kempen yang digerakkan secara berterusan.

Rakan di persekitaran berdekatan mereka yang membuli perlu memainkan peranan. Tindakan segera perlu diambil dengan melaporkan kepada pihak berkuasa supaya isu berkenaan tidak melarat sehingga menjadi kes lebih serius.

Masyarakat juga perlu cakna dengan isu buli supaya ia tidak lagi berlaku dalam lingkungan persekitaran yang mereka tinggal. Kesejahteraan keluarga Malaysia perlu diutamakan bagi membendung perkara negatif ini. Jika tidak, semua ini akan berterusan tanpa noktah.

Dalam pada itu, pandangan Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang, supaya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mempertimbangkan secara serius perjawatan warden asrama bagi sekolah berasrama penuh (SBP) dan asrama harian untuk menangani masalah yang sering timbul, termasuk kes buli wajar disokong.

Beliau menegaskan, jawatan baharu seperti warden sepenuh masa di sekolah asrama yang dicadangkan kesatuan itu bukan terhad di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan (KPM) atau Majlis Amanah Rakyat (MARA), tetapi di bawah bidang kuasa JPA.

Memetik kata bekas Menteri Pendidikan, Dr Mas- zlee Malik yang berpandangan, warden sepatutnya bukan diambil daripada kalangan guru yang sibuk mengajar pada waktu sesi persekolahan, sebaliknya jawatan itu perlu diwujudkan secara khusus dan dilantik kepada perjawatan khas seperti dicadangkan NUTP.

Realitinya, isu warden ini sudah lama ditimbulkan NUTP, namun sehingga kini belum ada keputusan konkrit di pihak kerajaan.

Dengan radar masih hangat terarah kepada isu buli ketika ini, apakah kita ingin melihat isu yang terjadi itu terus berulang lagi?

Penulis adalah Pegawai Penyiaran dan Komunikasi, Pertubuhan IKRAM Malaysia

Berita Harian X