Khamis, 9 Disember 2021 | 11:00am
Rakyat usah leka dan terus patuhi SOP bagi memastikan tiada ancaman Omicron dalam komuniti. - Foto hiasan
Rakyat usah leka dan terus patuhi SOP bagi memastikan tiada ancaman Omicron dalam komuniti. - Foto hiasan

Bendung ancaman Omicron elak proses pemulihan negara terjejas

KEHADIRAN varian baharu COVID-19 dikenali Omicron mengejutkan dunia dan dalam konteks Malaysia, apakah kehadiran varian membimbangkan (VOC) ini berpotensi merencatkan proses pemulihan sosioekonomi yang sedang berjalan?

Jika dilihat senario kewujudan varian Delta sebelum ini, ia tidaklah begitu memberi kesan besar kepada proses pemulihan sosioekonomi negara.

Buktinya, banyak negeri dapat berpindah dari satu fasa ke fasa lain dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), malah semua sektor ekonomi dan sosial juga dibenar beroperasi seperti biasa.

Namun, dalam konteks Omicron, kerajaan perlu membuat keputusan segera bagi mengekang ia daripada merebak dalam komuniti. Langkah mengumumkan penangguhan fasa endemik seketika sehingga kerajaan mengetahui lebih lanjut mengenai varian baharu ini, cukup tepat.

Ia untuk memastikan tiada penyebaran varian Omicron berlaku seperti yang terjadi kepada negara di benua Afrika, Itali, Denmark, Australia, United Kingdom, Belgium dan Hong Kong.

Jika dilihat, kes jangkitan membabitkan varian Omicron sudah pun direkodkan di Ipoh, Perak membabitkan seorang penuntut sebuah universiti swasta yang tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura, pada 19 November lalu.

Namun, kita boleh menarik nafas lega apabila Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, memaklumkan semua lapan sampel ujian RT PCR membabitkan kontak rapat kes itu negatif.

Bayangkan varian Omicron yang dikesan ini terus menular, dibimbangi kita semua tiada pilihan, selain sekali lagi terpaksa mengharungi episod hidup dalam berkurung disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Natijahnya, sudah pasti sosioekonomi rakyat akan kembali terjejas dan akhirnya, proses pemulihan ekonomi dan sosial negara turut terkesan.

Apa lagi pilihan yang kerajaan ada, selain pelaksanaan PKP demi membendung penularan varian baharu?

Justeru, penting untuk kerajaan mempertingkatkan sekatan di pintu masuk antarabangsa. Sebelum kewujudan Omicron diumumkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kerajaan sudah mula membuka kembali sektor pelancongan dan terkini, dibuka pelancongan antarabangsa, terutama ke Langkawi.

Apa yang jelas, kewujudan pelbagai varian baharu termasuk membabitkan Omicron ini sememangnya berisiko dan perlu diberikan perhatian serius.

Ketua Ahli Ekonomi Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Gita Gopinath, sendiri ada memberi amaran bahawa ancaman Omicron akan memberi kesan kepada proses pemulihan ekonomi dunia.

Banyak negara lebih terarah mengawal penularan varian yang agresif ini, berbanding memperkukuhkan pertumbuhan dan meningkatkan hasil pendapatan negara.

Di Malaysia sendiri, kita bernasib baik kerana kerajaan amat memandang serius senario ini dengan langkah sewajarnya diambil supaya Omicron tidak memberi ancaman besar ke atas proses pemulihan sosioekonomi negara yang baharu sahaja menampakkan hasilnya.

Memandangkan ancaman Omicron sememangnya menimbulkan bibit-bibit keresahan kepada banyak pihak, justeru kita perlu bersama-sama berganding bahu membantu kerajaan memulihkan kembali sosioekonomi negara, walaupun apa jua ancaman yang tiba.

Jangan mudah terleka dibuai kebebasan yang dinikmati kini, kerana ia boleh ditarik dan disekat bila-bila masa seandainya varian Omicron mula mengancam komuniti kita.

Penulis adalah Pensyarah di Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam

Berita Harian X