Rabu, 1 Disember 2021 | 10:30am

Penyediaan makanan selamat elak risiko jangkitan

Makanan selamat merujuk makanan yang boleh dinikmati pengguna tanpa memudaratkan tubuh, terhindar penyakit, bersih dan berkualiti.

Ia agenda utama Kementerian Kesihatan (KKM) apabila mewajibkan pengusaha mematuhi standard dan peraturan keselamatan makanan digariskan bertujuan melindungi nyawa pengguna.

Makanan kotor dan tidak bersih berpunca pengabaian proses penyediaan yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

Makanan boleh tercemar akibat premis kotor dan tidak terurus, proses penyediaan tidak sempurna serta bahan mentah yang tidak bersih dan menjijikkan.

Pencemaran makanan akan mengakibatkan penyakit bawaan makanan seperti Salmonella, Shigella, Campylobacter dan E. coli serta virus Hepatitis A. Semua penyakit ini disebabkan bakteria yang wujud daripada bakteria yang terhasil dalam makanan kotor dan tercemar.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan seorang daripada 10 di dunia mengalami gangguan kesihatan selepas memakan makanan tercemar dan 420,000 orang mati setahun akibat memakan makanan tercemar.

Penduduk di negara membangun berdepan kesukaran mengatasi penyakit bawaan makanan disebabkan pencemaran makanan atas banyak faktor.

Bagi mengelak pencemaran makanan, lima kunci utama digariskan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO):

• Pertama, jaga kebersihan diri dan persekitaran dengan mencuci tangan dan memastikan persekitaran sentiasa bersih terutama dapur dan tempat menyediakan makanan.

• Kedua, asingkan makanan mentah belum dimasak dengan siap dimasak termasuk alatan digunakan.

• Ketiga, memasak makanan dengan suhu betul dan pastikan masakan masak sepenuhnya.

• Keempat, pastikan makanan siap dimasak disimpan pada suhu betul dan tidak membiarkannya terdedah.

• Akhir sekali, gunakan air bersih untuk memasak dan mencuci bahan masakan serta gunakan bahan segar dan berkualiti.

Akta Makanan 1983 mesti dipatuhi pengendali makanan khasnya berkaitan keselamatan makanan yang membabitkan nyawa pengguna.

Melalui KKM, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) 2009 mewajibkan setiap pemilik premis pengilangan makanan dan pengusaha menyediakan satu Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM). Ia satu sistem amalan terancang didokumenkan dan memberi jaminan bahawa makanan dihasilkan tidak memudaratkan pengguna apabila dimakan.

Beberapa pensijilan pengiktirafan diwujudkan KKM seperti 'Bersih, Selamat dan Sihat' (BeSS) diberi kepada pengusaha premis makanan diaudit dan lulus sebagai premis makanan yang menyediakan makanan selamat dan sihat kepada pelanggan.

Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI), Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan Hazard Analysis and Critical Control Points (HACCP) pula dapat memantau setiap aliran proses pembuatan makanan diusahakan bertujuan memberi jaminan berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan.

Dalam pada itu, dua perkara asas mesti dipatuhi pengusaha makanan, iaitu memastikan diri mereka dan pekerja mengikuti kursus sebagai pengendali makanan dan mendapat suntikan tifoid.

Bagi umat Islam khasnya dan rakyat Malaysia umumnya, konsep 'halalan toyyiban' (halal dan baik) sangat dititikberatkan.

Pensijilan halal dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memenuhi kriteria diperlukan berkaitan konsep itu dan pengusaha makanan digalakkan memiliki pensijilan halal JAKIM bagi setiap produk dan premis mereka.

Penyelidik Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam

Berita Harian X