Isnin, 29 November 2021 | 11:00am
Penyediaan dana kepada sektor agro-makanan antara inisiatif untuk menangani isu peningkatan harga bahan makanan. - Foto hiasan/Mikail Ong
Penyediaan dana kepada sektor agro-makanan antara inisiatif untuk menangani isu peningkatan harga bahan makanan. - Foto hiasan/Mikail Ong

Semua pihak perlu kerjasama atasi kenaikan harga

Pasca COVID-19 fasa sukar terutama kepada usahawan, di mana mereka perlu berusaha mengukuhkan perniagaan demi kelestarian perniagaan dijalankan.

Menyedihkan, ada segelintir mengambil kesempatan menaikkan harga barang sewenang-wenangnya dengan memberi pelbagai alasan.

Senario sebegini tidak sepatutnya berlaku di kala kita semua berusaha memulihkan kembali sosioekonomi pasca COVID-19.

Satu persoalan perlu diberi perhatian apakah punca berlakunya peningkatan terbabit. Adakah disebabkan kekurangan bekalan dalam pasaran atau wujud sebarang bentuk pakatan dalam pasaran barang keperluan di negara ini.

Apabila senario ini wujud, sudah semestinya mereka akan mengawal atau memanipulasi harga barang keperluan asas dalam pasaran. Akhirnya, pihak terbabit akan mengaut keuntungan berlipat ganda hasil tekanan mereka lakukan.

Ini kerana, objektif utama pihak ini hanyalah satu iaitu untuk memaksimumkan keuntungan semata-mata, tanpa mengira kesukaran dan kesusahan dihadapi pihak lain iaitu pengguna.

BH pada 25 November lalu melaporkan satu syarikat pengeluar produk roti di Semenanjung Malaysia mengumumkan akan ada kenaikan harga pada produk keluaran syarikat terbabit, susulan kenaikan harga bahan mentah seperti tepung, tepung gandum penuh, lemak sayuran, serbuk koko, susu dan pembungkusan.

Jelas sekali kenaikan harga barang dibuat atas faktor kenaikan bahan asas digunakan dalam pengeluaran produk. Jika tiada kenaikan harga barang, syarikat mungkin sukar menampung kos pengeluaran memandangkan kos bahan mentah sudah meningkat.

Apabila kenaikan harga bahan asas berlaku, harga barang dikeluarkan akan turut mengalami peningkatan. Inilah ekosistem yang perlu difahami pengguna.

Oleh itu, bagi mengelak berlakunya peningkatan harga barang, kawalan harga ke atas bahan mentah atau asas perlu dilakukan.

Tidak dinafikan sebagai peniaga atau pemborong, sudah semestinya keuntungan menjadi objektif utama. Namun seharusnya keuntungan hendak diperoleh perlulah memadai dan janganlah terlalu berlipat ganda.

Mungkin peniaga tiada pilihan menaikkan harga memandangkan mereka juga membeli daripada pemborong dengan harga tinggi. Demi mendapat sedikit keuntungan, akhirnya mereka terpaksa meletakkan harga sedikit tinggi.

Demi mengawal kenaikan harga barang ini, kerjasama bukan hanya diperlukan daripada peniaga semata-mata, malah pemborong juga. Seandainya tiada kerjasama pelbagai pihak, sudah semestinya krisis kenaikan harga barang tiada berkesudahan.

Antara inisiatif diambil kerajaan dalam menangani isu peningkatan harga bahan makanan adalah dengan menyediakan dana sebagai pinjaman dalam sektor agromakanan.

Dengan adanya dana ini, ia dapat membantu usahawan petani dalam meningkatkan hasil pertanian dan seterusnya mengurangkan kadar import barang berkenaan dari negara luar.

Disamping itu, pemantauan lebih komprehensif dan proaktif juga perlu dilakukan bagi memastikan aktiviti yang banyak memberi tekanan dan bebanan kepada pengguna perlu dibanteras segera.

Jalinan kerjasama dengan pelbagai agensi perlu dilakukan supaya kerajaan tidak bersendirian dalam menangani isu kenaikan harga barang ini.

Dengan adanya pelbagai akta dan undang-undang, ia akan membantu kerajaan mengawal serta menangani isu kenaikan harga barang yang kekadang tiada kawalan ini.

Kita sebagai pengguna pula, perlu bijak membuat pilihan dalam pembelian barang keperluan. Ia bukan mudah, tetapi kita perlu belajar supaya tidak merasa terbeban dengan keadaan semasa.

Mainkan peranan sebagai pengguna sebaik mungkin demi kesejahteraan bersama.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan,
Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Puncak Alam

Berita Harian X