Ahad, 28 November 2021 | 11:00am
Kelihatan orang awam dan frontliner beratur untuk menerima suntikan vaksin Dos Penggalak (Comirnaty Pfizer) ketika tinjauan di Lembah Klang. - Gambar hiasan/Azhar Ramli
Kelihatan orang awam dan frontliner beratur untuk menerima suntikan vaksin Dos Penggalak (Comirnaty Pfizer) ketika tinjauan di Lembah Klang. - Gambar hiasan/Azhar Ramli

Pengurusan strategik bendung risiko gelombang baharu pandemik

Pembukaan sektor ekonomi dan kebenaran rentas negeri memberi sinar baharu kepada perniagaan dan penggiat ekonomi selepas sekian lama terjejas akibat penularan pandemik.

Namun, langkah itu turut mengundang impak kepada sektor kesihatan awam apabila kes jangkitan harian COVID-19 masih pada paras membimbangkan.

Justeru, beberapa langkah wajar dipertimbangkan demi mengelak berlakunya gelombang baharu COVID-19 di Malaysia. Pertama, menggalakkan pengambilan dan mempercepatkan pemberian dos penggalak vaksin COVID-19 kepada penerima.

Berdasarkan statistik semasa Kementerian Kesihatan (KKM), sehingga 24 November lalu suntikan dos penggalak hanya pada kadar 6.78 peratus daripada jumlah individu yang lengkap dua dos vaksinasi.

Statistik ini menunjukkan kadar suntikan dos penggalak masih rendah berbanding negara jiran seperti Singapura (13.1 peratus). Berdasarkan kajian diterbitkan jurnal The Lancet, paras antibodi COVID-19 individu lengkap menerima dua dos suntikan vaksin COVID-19 boleh berkurangan melebihi 50 peratus selepas 10 minggu.

Dapatan kajian ini diperkukuhkan laporan KKM apabila penerima vaksin Sinovac menyumbang kira-kira 84 peratus daripada kes COVID-19 serius dalam kalangan penerima vaksin.

Statistik ini menunjukkan satu pola
membimbangkan. Justeru, KKM perlu
mengambil langkah drastik mempercepatkan pemberian dos penggalak vaksin COVID-19.

Elemen penguatkuasaan undang-undang juga antara langkah strategik. Malaysia mengguna pakai Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau lebih dikenali Akta 342. Sehingga kini, nilai kompaun minimum dikenakan terhadap individu atau organisasi yang melanggar akta ini menyebabkan pesalah mengambil ringan kesan dan akibat melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan.

Menaikkan kadar kompaun terhadap individu atau organisasi yang gagal mematuhi SOP wajar dilaksanakan kerajaan dalam membendung gelombang baharu COVID-19.

Pematuhan SOP sektor ekonomi seperti sektor pembuatan dan pelancongan juga penting dalam membendung gelombang baharu jangkitan COVID-19. Ini kerana, pembukaan sektor ekonomi berskala penuh di negeri Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) berpotensi menyebabkan gelombang baharu berpunca ketidakpatuhan SOP di tempat kerja.

Berdasarkan statistik KKM, lebih 85 peratus jangkitan COVID-19 berlaku di tempat kerja. Kerajaan melalui Jabatan Tenaga Kerja (JTK) perlu meningkatkan pemantauan berkala dalam menguatkuasakan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Penguatkuasaan Akta 446 penting dalam mengelakkan tercetusnya kluster baharu berpunca daripada jangkitan di tempat kerja, sekali gus menyebabkan berlakunya gelombang baharu COVID-19.

Pihak industri juga wajar mewajibkan serta melakukan ujian saringan COVID-19 berkala kepada pekerja. Ujian pengesanan secara berkala penting bagi memastikan persekitaran tempat kerja selamat dan bebas risiko jangkitan.

Kebenaran rentas negeri kepada individu juga perlu diperketatkan sebagai langkah strategik membendung gelombang baharu COVID-19.

Kebenaran diberi kepada individu yang sudah lengkap dua dos vaksin amat tepat dilaksanakan. Namun, kelonggaran penguatkuasaan menyebabkan individu belum lengkap dua dos vaksin mengambil kesempatan melakukan perjalanan merentas negeri.

Kerajaan perlu mewujudkan satu sistem pengawasan elektronik dalam mengawal pergerakan individu yang belum lengkap dos suntikan vaksin.

Sebagai contoh, boleh mengguna pakai sistem tanpa tunai pembayaran tol seperti Touch & Go, SmartTag dan sistem Pengecaman Fungsi Radio (RFID) yang diintegrasi bersama data aplikasi MySejahtera untuk menyekat perjalanan individu yang belum lengkap dos suntikan vaksin di plaza tol.

Teknik ini akan menjimatkan penggunaan sumber tenaga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam melakukan pemantauan.

Kesimpulannya, dalam mencegah risiko kewujudan gelombang baharu COVID-19, kerjasama antara pemegang taruh seperti kerajaan melalui kementerian berkaitan, penggiat industri dan segenap lapisan masyarakat sangat penting.

Tentunya, kita tidak ingin terus menyaksikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan kembali.

Oleh itu, sebagai sebuah keluarga
Malaysia, setiap pihak harus bertanggungjawab memastikan episod hitam jangkitan pandemik yang meragut ribuan nyawa tidak berulang.

Penulis adalah Pensyarah Kanan di Jabatan Teknologi dan Pengajian Rantaian Bekalan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam

Berita Harian X