Sabtu, 27 November 2021 | 11:00am
Foto Hiasan.
Foto Hiasan.

Inovasi industri halal perlu sokongan swasta

USAHA Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) membangunkan Sistem Maklumat Bersepadu Halal dijangka siap pada 2023 akan memperkasakan industri halal di negara ini.

Menggunakan kelebihan digital, sistem pangkalan data dan semakan halal ini, akan menawarkan keselarasan maklumat, sekali gus membolehkan sebarang maklumat pensijilan halal mudah dan cepat diperoleh.

Sistem dengan kos RM3.4 juta ini akan memberi manfaat kepada pengguna untuk membuat semakan pensijilan halal bagi produk, sama ada dari dalam atau luar negara.

Ia bukan sahaja bermanfaat untuk pengguna akhir mendapatkan maklumat status halal produk, bahkan memudahkan usahawan untuk mendapatkan maklumat status produk dalam rantaian pembekalan halal.

Ini tentu akan menggalakkan pertumbuhan dan perkembangan perniagaan, termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam industri ini.

Langkah ini dijangka mampu menyelesaikan pelbagai isu berkaitan seperti penyalahgunaan logo dan sijil halal oleh pengeluar serta penjual, selain penyebaran maklumat tidak tepat berkaitan status pensijilan halal untuk pelbagai tujuan, termasuk sabotaj di media sosial.

Dengan adanya penyaluran maklumat tepat dan cepat, pengguna tidak lagi keliru serta khuatir mengenai produk di pasaran, terutama apabila berlaku isu pembatalan sijil halal membabitkan pengeluar dalam dan luar negara.

Pada masa ini, terdapat 84 badan pensijilan halal daripada 46 negara diiktiraf JAKIM. Justeru, sistem ini diharap dapat meningkatkan keyakinan pengguna terhadap pensijilan halal di Malaysia.

Hakikatnya, inisiatif ini sangat penting dalam usaha memastikan industri bergerak secara sistematik dan berstruktur untuk membawa industri ke hadapan.

Pengenalan dan pemakaian Manual Pensijilan Halal (2020) dan Sistem Pengurusan Halal (2020) berkuat kuasa pada 1 Januari lalu, antara langkah pembaharuan meningkatkan ketelusan dan urus tadbir dalam industri halal negara.

Inisiatif terbaru JAKIM membangunkan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Antarabangsa) dan Modul Eksekutif Halal Antarabangsa dijangka akan menjadi jambatan terbaik merancakkan industri halal pada peringkat global dan menggalakkan transaksi perdagangan tanpa sempadan.

Langkah ini membolehkan peserta industri luar negara memohon pensijilan halal terus dengan JAKIM tanpa sebarang intervensi.

Industri halal bukan sahaja signifikan kerana memenuhi keperluan dan kehendak pengguna, bahkan menyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Pasaran halal domestik Malaysia dijangka menyumbang 11 peratus KDNK pada 2030.

Bagaimanapun, usaha memperkemaskan kerangka industri halal perlu dibuat dari semasa ke semasa mengambil kira isu ketidakpatuhan setiap tahun, antaranya berkaitan status daging dengan logo halal palsu dipasarkan kepada pengguna dan kontaminasi produk halal dengan bukan halal, yang turut membabitkan aktiviti pengangkutan serta penyimpanan.

Tanggungjawab memastikan kepatuhan kepada keperluan halal bukan sahaja di bahu pihak berkuasa, bahkan pada peringkat dalaman syarikat swasta.

Model terbaik memastikan penguatkuasaan halal berjalan dengan baik dan amanah; kepatuhan syarikat terhadap keperluan pensijilan halal berterusan serta urus tadbir syariah, fungsi audit dan semakan dalam entiti perniagaan berjalan dengan lebih bebas perlu dibangunkan.

Diharapkan kaedah ini boleh menjadi pemangkin kepada kepatuhan berterusan, seterusnya mengurangkan kadar ketidakpatuhan syariah.

Felo Penyelidik Institut Penyelidikan dan Pengurusan Halal Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Berita Harian X