Jumaat, 3 September 2021 | 11:36am
Setiap kaum bertanggungjawab menghidupkan semua
Setiap kaum bertanggungjawab menghidupkan semua

Pertahan toleransi pastikan Malaysia terus aman, berjaya

Masyarakat Melayu, Cina, India dan kaum lain menghadapi cabaran serta penderitaan tersendiri sepanjang pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Regim tentera Jepun memerlukan sokongan orang Melayu sehingga dijanjikan kemerdekaan serta pemerintahan sendiri.

Layanan Jepun kepada masyarakat India juga agak memuaskan kerana mereka memerlukan sokongan kaum itu termasuk pemimpin India, terutama Subash Chandrabose untuk menguasai negara di Asia Selatan daripada pendudukan British.

Propaganda 'memerdekakan India' digunakan untuk mencari sokongan orang India. Bekas tentera British di Tanah Melayu dijadikan askar dalam Tentera Kebangsaan India.

Nasib orang Cina amat teruk di Tanah Melayu kerana perkembangan politik di Asia Timur diheret Jepun ke sini. China menjadi musuh ketat kerana perimbangan kuasa dunia.

Perang Sino-Jepun I antara 1894 hingga 1895 dan Perang Sino-Jepun II (1937-1945) menyebabkan China hilang kedudukan serta rakyatnya mengalami penderitaan sehingga kaum Cina di Tanah Melayu memberikan sokongan moral dan kewangan kepada pembebasan negara terbabit.

Apabila Jepun menguasai Tanah Melayu, orang Cina menjadi sasaran. Operasi Sook Ching antara 1942 hingga 1945 di Tanah Melayu menjadi 'gerakan pembersihan' kaum itu.

Orang dahulu biasa bercerita kezaliman Jepun terhadap orang Cina seperti kisah penggal kepala berkumpulan. Banyak juga kita belajar dalam sejarah negara daripada Tingkatan Satu hingga Enam, namun ada fenomena kecil, tetapi bermaksud besar terhadap erti kemerdekaan negara terlepas pandang.

Pengajian sejarah Malaysia di bawah mendiang Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim di Universiti Malaya (UM) dulu membuka mata ramai siswa sejarah di negara ini. Kay Kim banyak menerapkan sentimen kemalaysiaan dalam syarahan sejarahnya.

Satu aspek tidak boleh dilupakan dalam syarahan beliau ialah fenomena 'anak perempuan angkat Cina' oleh keluarga India dan Melayu, sekali gus menyatukan tiga kaum utama di negara ini ketika itu.

Menurut Kay Kim, anak perempuan Cina menjadi sasaran kezaliman tentera Jepun sehingga diculik, dirogol dan dipaksa sebagai pekerja seksual. Keluarga Cina yang menghadapi kekejaman perang berusaha melindungi anak perempuan dengan menyerahkan mereka kepada keluarga India dan Melayu.

Anak perempuan yang tinggal dengan keluarga India dilindungi dengan digelapkan kulit menggunakan serbuk arang supaya tentera Jepun tidak mengenali identitinya. Mereka dipakaikan baju mengikut budaya India dan rambut ditoncangkan supaya kelihatan seperti anak perempuan India.

Keluarga Melayu pula memakaikan baju kurung, kain sarung dan kebaya kepada anak perempuan Cina supaya kelihatan seperti Melayu. Apabila Perang Dunia Kedua berakhir dan Jepun keluar dari Tanah Melayu, keluarga Cina mendapatkan balik anak mereka daripada keluarga angkat India dan Melayu.

Namun, ada juga anak perempuan Cina tidak kembali kepada keluarga asal, sebaliknya terus membesar dalam keluarga angkat disebabkan kematian ibu bapa. Fenomena ini bertepatan dengan gambaran masyarakat pada 1950-an, 1960-an dan 1970-an.

Kita pernah hidup sebagai satu masyarakat berdasarkan perasaan kemanusiaan sebelum Tanah Melayu mendapat kemerdekaan. Ini antara sebab mengapa kita boleh sentiasa bekerjasama dalam melahirkan negara berjaya.

Semasa COVID-19, asas kepercayaan kita tidak pudar. Masyarakat Malaysia membantu antara satu sama lain tanpa mengira kaum dan agama. Kemanusiaan menyerlah dalam masyarakat majmuk. Hidup bersama perlu menjadi landasan pada masa senang dan susah.

Ulang tahun Hari Kemerdekaan baru saja diraikan, tetapi kita perlu terus merenung sejarah negara yang memberikan banyak pengajaran.

Tanpa perpaduan, kita tidak dapat mengecapi pembangunan negara. Solidariti sebagai bangsa Malaysia perlu kekal kukuh melampaui sejarah. Kita mempunyai tanggungjawab menghidupkan semua elemen kenegaraan seperti toleransi, kerjasama, kemanusiaan, penghargaan jasa, menjaga kehormatan dan integriti, kesetiaan kepada Raja dan negara.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Jabatan Strategi, Fakulti Pengajian Pertahanan dan Pengurusan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Berita Harian X