Sabtu, 21 Ogos 2021 | 11:00am
Gua Niah di Sarawak antara tapak warisan yang semakin suram dan sepi susulan pandemik. - NSTP/Rudi Affandi Khalik
Gua Niah di Sarawak antara tapak warisan yang semakin suram dan sepi susulan pandemik. - NSTP/Rudi Affandi Khalik

Sektor pelancongan berasas warisan harapkan pemulihan

PENULARAN virus COVID-19 menjejaskan semua aktiviti kehidupan manusia. Banyak syarikat gergasi serata dunia menghadapi krisis kewangan serius, malah ada yang gulung tikar.

Turut menerima kesan serius sektor pelancongan, termasuk di negara kita. Data menunjukkan ketibaan 4,252,997 pelancong antarabangsa direkodkan separuh pertama 2020, menurun 68.2 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Sebagai perbandingan, Malaysia menarik 13.3 juta pelancong antarabangsa antara Januari hingga Jun 2019.

Perbelanjaan pelancong separuh tahun pertama 2020 merekodkan RM12.5 bilion, menurun 69.8 peratus berbanding RM41.6 bilion pada tempoh sama 2019. Perbelanjaan per kapita turut menurun 5.3 peratus daripada RM3,121.60 pada 2019 kepada RM2,956.10 tahun ini.

Sektor pelancongan negara juga merekodkan perkembangan negatif bagi setiap pasaran mengikut rantau, iaitu pasaran jarak dekat atau ASEAN (-69.1 peratus), pasaran jarak sederhana (-69.0 peratus) dan pasaran jarak jauh (-58.8 peratus).

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Yap Lip Seng, menyatakan industri perhotelan Malaysia dianggarkan kehilangan pendapatan lebih RM11.5 bilion sejak 2020 berikutan sekatan pergerakan bagi membendung penularan pandemik.

Kira-kira 120 hotel seluruh negara terpaksa menutup operasi sementara dan sepenuhnya, selepas berdepan tempoh getir susulan penularan wabak. Realitinya, industri perhotelan hilang pendapatan sekurang-kurangnya RM6.5 bilion sepanjang 2020.

Menurut Lip Seng, bagi separuh pertama 2021, dianggarkan sektor ini kehilangan pendapatan RM300 juta setiap dua minggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau sekurang-kurangnya RM5 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun lalu.

Gambaran ini menunjukkan sektor pelancongan berasaskan warisan semakin malap. Peratusan pelancong mengunjungi tapak warisan bergantung kemudahan pengangkutan, promosi dan tarikan istimewa di sesuatu tapak warisan itu sendiri.

Bagi tapak warisan di kawasan bandar seperti Melaka, Kuala Lumpur, Ipoh dan Pulau Pinang ia tetap menjadi tumpuan kerana ada pelbagai kemudahan. Tapak terletak agak jauh dari kawasan bandar seperti Tapak Warisan Dunia UNESCO Lenggong (Perak) dan Lembah Bujang (Kedah) masih boleh dikunjungi, walaupun jaraknya tidaklah dekat.

Namun, bagi tapak seperti Gua Niah (Sarawak), Gua Kain Hitam (Sarawak), Gua Cha (Kelantan), Gua Chawan (Kelantan), Gua Chawas (Kelantan), Gunung Senyum (Pahang), Kota Johor Lama (Johor), Gua Madai (Sabah) dan beberapa tapak lagi di seluruh pelusuk tanah air, tentu mustahil lebih-lebih ketika musim pandemik ini.

PKP dan larangan rentas negeri bukan hanya menyekat pergerakan pelancong domestik, malah menutup peluang kedatangan pelancong antarabangsa. Kesannya, banyak penggiat sektor ini seperti pengusaha hotel, inap desa, chalet, pemandu pelancong, tapak perkhemahan, perkhidmatan kereta sewa, pengusaha kraf tangan dan sebagainya terjejas teruk.

Akhirnya, sektor pelancongan berasaskan warisan nazak. Pengusaha menerima kesan serius kerana bergantung sepenuhnya kepada pelancong sebagai sumber pendapatan. Kita berdoa pandemik cepat berakhir dan kehidupan pulih seperti biasa bagi membolehkan sektor pelancongan berasaskan warisan meriah semula seperti sebelum ini.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Jabatan Sejarah, Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Berita Harian X