Jumaat, 28 Mei 2021 | 11:00am
Gambar hiasan, tinjauan Pengusaha Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA). - Foto Hazreen Mohamad
Gambar hiasan, tinjauan Pengusaha Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA). - Foto Hazreen Mohamad

Perkemas akta Taska elak tragedi di rumah pengasuh berulang

Insiden kanak-kanak atau bayi terbabit kemalangan ketika di rumah pengasuh seperti tiada penyelesaian. Terkini, bayi lelaki berusia 14 bulan di Dungun, Terengganu pula menjadi mangsa apabila maut terjatuh dari katil.

Jika dilihat pendekatan reaktif, tindakan undang-undang boleh diambil melalui Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611] berkenaan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak.

Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya. Sekiranya kes membabitkan kematian, Kanun Keseksaan juga boleh terpakai seperti Seksyen 304, membunuh tanpa niat.

Untuk mengekang insiden seperti ini, pendekatan undang-undang secara pencegahan perlu diperkemaskan. Mengikut lunas undang-undang, secara asasnya penjagaan kanak-kanak di taman asuhan atau Taska untuk kanak-kanak bawah empat tahun di bawah seliaan Akta Taman Asuhan 1984 [Akta 308] dan Peraturan Taman Asuhan 2012.

Pelbagai elemen perundangan dikawal selia Akta 308, antara lain seperti aspek nisbah bilangan pengasuh dan kanak-kanak di bawah jagaannya, kesesuaian infrastruktur taman asuhan, ciri-ciri kesihatan dan keselamatan, pendidikan dan latihan pengasuh digariskan.

Namun, terdapat ruang untuk Akta 308 ditambah baik. Sebagai contoh, wujud keperluan memasukkan elemen seperti kawalan terhadap kapasiti kumpulan pengasuh dan kanak-kanak di bawah jagaan setiap pengasuh bagi sesebuah Taska, bagi menyelesaikan isu terlalu padat dan tidak selesa.

Wujud juga keperluan memasukkan elemen pendidikan awal kanak-kanak dalam undang-undang sedia ada.

Jika dibandingkan undang-undang Malaysia dengan beberapa negara yang sudah membuat penambahbaikan seperti Australia dan Singapura, undang-undang penjagaan kanak-kanak di Taska di Malaysia perlu diberi nafas baharu.

Tujuan Akta 308 sedia ada hanya mengadakan peruntukan bagi pendaftaran, pengawalan dan pemeriksaan Taska perlu ditambah baik. Akta ini perlu menggariskan secara spesifik tujuannya untuk melindungi keselamatan, kesejahteraan dan kebajikan kanak-kanak serta menggalakkan peningkatan kualiti berterusan dalam kalangan Taska di Malaysia.

Definisi pengasuh di rumah yang perlu berdaftar juga perlu diberi perhatian. Seksyen 4 Akta 308 mewajibkan Taska atau pengasuh berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Kegagalan mendaftarkan boleh menyebabkan pengusaha dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Impak utama pendaftaran adalah langkah berjaga-jaga akan diambil perhatian. Sebagai contoh mewajibkan pengasuh menjalani kursus asas dan pemantauan berkala pihak berwajib.

Walaupun Seksyen 5 menggariskan Taska di rumah yang menerima kurang 10 orang kanak-kanak juga perlu berdaftar, namun Seksyen 2 mendefinisikan 'taman asuhan kanak-kanak' sebagai mana-mana premis yang menerima empat orang atau lebih kanak-kanak di bawah usia empat tahun.

Ini menyebabkan tiada latihan dan bimbingan disalurkan kepada pengasuh di rumah dan tiada pemantauan berkala untuk mengelak berlaku kejadian tidak diingini.

Definisi ini perlu diteliti semula supaya pengasuh di rumah juga boleh dipantau kerajaan, selain membantu mereka mendapatkan ilmu dan asas penjagaan kanak-kanak sewajarnya.

United Kingdom Chidcare Act 2006 yang mendefinisikan childcare termasuk menjaga seorang kanak-kanak boleh dijadikan contoh. Bagaimanapun, keperluan khas perlu dirangka untuk Taska di rumah berskala kecil supaya tidak membebani mereka untuk mematuhi undang-undang.

Tujuan undang-undang diwujudkan bukan untuk membebankan, tetapi menggalakkan pematuhan.

Usaha kerajaan menggalakkan lebih banyak taman asuhan di tempat kerja satu cara menangani isu ini. Namun, ia memakan masa dan memerlukan bajet besar.

Oleh itu, dengan memberi lebih penekanan kepada aspek pendidikan dan latihan kepada pengasuh, diharapkan ilmu diterapkan dapat diaplikasi pengasuh di Malaysia terutaman yang menjaga kanak-kanak di rumah.

Justeru, penyelesaian undang-undang secara pendekatan pencegahan perlu diteliti untuk memastikan keselamatan, kesejahteraan dan kebajikan kanak-kanak sentiasa terpelihara.

Penulis adalah Pensyarah Fakulti Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Berita Harian X