Rabu, 28 April 2021 | 10:45am
IBU bapa perlu memastikan anak mengikuti jadual PdPR ditetapkan pihak sekolah.
IBU bapa perlu memastikan anak mengikuti jadual PdPR ditetapkan pihak sekolah.

Semangat, ketahanan mental semua pihak jayakan PdPR

Pendidikan anak di sekolah memerlukan jihad yang tinggi daripada semua sama ada Kementerian Pendidikan (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), pentadbiran, guru, ibu bapa dan anak, bahkan masyarakat.

Proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) perlu diteruskan dengan lebih hebat dan berkesan agar pendidikan anak tidak terjejas untuk menghadapi era COVID-19 yang terus menular.

Berasaskan statistik terkini, bilangan sekolah di negara ini ialah 10,225 sekolah, dengan 5,897 sekolah di bandar, manakala 4328 lagi di luar bandar.

Ini membabitkan tenaga pendidik seramai 413,825 guru, iaitu 293,694 guru perempuan dan guru lelaki (120,131).

Bilangan murid sekolah menengah dan rendah pula seramai 4,799,814 orang, sekali gus memerlukan perhatian khusus dalam memastikan PdP di Rumah (PdPR) secara tersasar dan sistematik dapat dijalankan secara berkesan.

Apatah lagi, sesi pembelajaran selepas cuti Aidilfitri akan diteruskan dengan PdPR selama dua minggu bagi menggantikan sesi bersemuka di sekolah seperti diumumkan Menteri Pendidikan, kelmarin.

Hakikatnya, pendidikan memerlukan kesabaran, istiqamah dan kreativiti yang mampu membawa perubahan dalam pemikiran serta tingkah laku anak.

Usaha dan sinergi semua pihak amat diperlukan bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dan mampu melalui kurikulum Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dengan jayanya.

Apatah lagi objektif perubahan dalam tingkah laku anak hasil PdP berkesan dilalui walaupun secara maya.

PdPR memerlukan sistem pemantauan tinggi ibu bapa untuk memastikan anak mengikuti proses pembelajaran ditetapkan. Jadualnya perlu dimaklumi ibu bapa untuk melicinkan proses pembelajaran di rumah.

Cabaran ibu bapa bekerja dalam memantau pembelajaran anak di rumah, perlu diberi perhatian serius untuk memastikan anak boleh bersama guru ketika PdPR.

Apatah lagi bagi ibu bapa dapat bersama anak ketika proses pembelajaran berlangsung. Pendek kata, PdPR memerlukan ibu bapa cakna dan mengatur strategi terbaik.

Semangat juang guru mementingkan kreativiti ketika PdPR amat dibanggakan. Guru perlu memastikan semua murid dalam kelas dapat bersama ketika proses PdPR.

Usaha gigih guru bukan sahaja berkait rapat kandungan subjek disampaikan, bahkan bertindak sebagai motivator memastikan semua murid dapat mengikuti kelas dengan berkesan.

Guru bukan sahaja berdepan dengan cabaran menghabiskan kurikulum, bahkan memastikan kehadiran dan pembabitan murid semasa PdPR.

Cabaran paling ketara dalam PdPR membabitkan kemudahan seperti internet, komputer, laptop dan tablet. Kesusahan keluarga kurang berkemampuan, memerlukan perhatian semua pihak.

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) berperanan besar dalam membantu sekolah, murid dan KPM untuk memastikan anak bermasalah tidak ketinggalan dalam PdPR.

Proses mengenal pasti jumlah anak bermasalah untuk diberi bantuan kemudahan bagi melancarkan PdPR amat dibanggakan melalui kerjasama dengan industri dan dermawan yang membantu dalam Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

Usaha PIBG itu memastikan anak kurang berkemampuan dapat bersaing dengan rakan mereka yang mengikuti PdRP.

Namun, keberkesanan PdPR memerlukan ketahanan mental kuat semua pihak untuk mengharungi cabaran tidak pernah difikirkan sebelum ini.

Anak perlu diberi motivasi dan nasihat berterusan daripada ibu bapa dan guru, malah pihak sekolah dan KPM agar dapat melalui proses pembelajaran ini sebagai norma baharu mencari ilmu.

Proses menghabiskan kurikulum dan langkah pencarian ilmu secara maya tidak menghalang pembentukan jati diri anak. Oleh itu, ketahanan mental pihak terbabit dalam pendidikan amat penting.

Murid adalah masa depan negara kita. Tahniah KPM, JPN, PPD, pentadbiran sekolah, guru, ibu bapa, PIBG dan masyarakat yang tidak henti-henti mencari idea dan praktik terbaik memastikan generasi zaman pandemik menjadi hebat pada masa hadapan.

Berita Harian X