X
Jumaat, 23 April 2021 | 10:00am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Imbangi digitalisasi, kesihatan mental rakyat

Digitalisasi bukan lagi terma asing, lebih-lebih lagi pada era pandemik ini menyaksikan pembangunan digitalisasi berkembang seiring pemulihan ekonomi dunia.

Namun, di sebalik kemajuan digitalisasi ini, kes masalah mental seperti kemurungan, gangguan emosi dan bipolar semakin tinggi.

Menurut statistik Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019, hampir setengah juta rakyat didapati mengalami simptom tekanan atau depresi.

Penaung Befrienders, Tan Sri Lee Lam Thye, menyatakan 424,000 kanak-kanak di negara ini turut mengalami masalah mental. Disebabkan ia data sebelum COVID-19, statistik ini tentu meningkat semasa pandemik apatah lagi kita mengalami kejutan ekonomi hingga ramai hilang pekerjaan.

Keadaan lebih buruk ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga masalah penderaan emosi dan fizikal semakin meningkat.

Sesetengah orang menganggap masalah seperti ini tidak memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi.

Hakikatnya, jika dibiarkan, ia dijangka menjadi masalah kesihatan kedua terbesar di negara ini selepas masalah jantung.

Baru-baru ini, kita membaca berita menyedihkan apabila seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun membunuh diri di rumahnya. Ini membuktikan betapa seriusnya masalah kesihatan mental jika tidak ditangani secara menyeluruh.

Ia juga menunjukkan kepentingan subjek kesihatan mental diterapkan di sekolah. Usaha mengenal pasti kanak-kanak berpotensi mempunyai masalah mental juga wajar dijalankan.

Sudah tentu banyak faktor mempengaruhi terjadi masalah mental seperti isu keluarga, rakan, pasangan dan pekerjaan. Tidak kurang juga pengaruh luar seperti internet.

Inilah kaitan sebenar kemajuan digital dengan masalah mental perlu ditangani. Ketika sibuk mengejar kemajuan teknologi, kita tidak boleh mengabaikan keperluan emosi, spiritual dan rohani.

Kekosongan dalam aspek inilah yang kadang-kadang menjadi mempengaruhi mental dan jiwa individu.

Melihat ke hadapan, pembangunan digitalisasi mungkin tidak akan menjadi masalah kepada orang berkemampuan dan celik teknologi. Bagaimanapun, ia akan menjadi isu kepada mereka bermasalah mengikuti arus kemajuan digitalisasi kerana faktor kemiskinan.

Ini akan menjadi serius untuk bidang pendidikan kerana hampir serba-serbinya memerlukan gajet dan akses internet baik. Ia lebih serius bagi rakyat di pedalaman yang bukan sahaja terpaksa berdepan ketidakcapaian internet, bahkan masalah kekurangan akses jalan raya, elektrik dan air.

Jika terus dibiarkan tanpa bantuan atau langkah intervensi kerajaan, ia akan menyebabkan golongan tidak berkemampuan ini - dewasa dan kanak-kanak bersekolah - mula mengalami masalah gangguan emosi, seterusnya mengalami gangguan mental.

Apabila jumlah mereka mengalami gangguan mental semakin ramai, ia pasti akan menyukarkan kerajaan meneruskan usaha meningkatkan produktiviti sektor ekonomi.

Kesimpulannya, pemerkasaan ekonomi digital atau digitalisasi amat penting masa kini. Namun, kebajikan rakyat mesti didahulukan.

Hakikatnya, kepesatan digitalisasi wajib diseimbangkan dengan keperluan menangani kesihatan mental dalam kalangan rakyat untuk membantu Malaysia mencapai objektif pemulihan dan pembangunan ekonomi.

Pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Kota Kinabalu

Berita Harian X