Sabtu, 13 March 2021 | 11:01am
Gelembung perjalanan bersasar bantu rancakkan semula industri pelancongan. - Foto hiasan
Gelembung perjalanan bersasar bantu rancakkan semula industri pelancongan. - Foto hiasan

Gelembung perjalanan bantu pelancongan domestik

PENGUMUMAN kerajaan berkenaan kebenaran gelembung pelancongan bersasar yang membabitkan pergerakan antara negeri di bawah penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula Rabu lalu, satu usaha proaktif untuk membantu sektor pelancongan supaya kembali bersinar.

Gelembung pelancongan adalah aktiviti pelancongan antara negara atau negeri yang mempunyai jumlah kes COVID-19 rendah dan diisytiharkan selamat.

Ia membenarkan penduduk di negara atau negeri terbabit keluar melancong ke tempat yang tersenarai dalam gelembung pelancongan ini. Pada peringkat antarabangsa, beberapa negara melaksanakan program ini, contohnya Australia-New Zealand.

Rundingan untuk melaksanakan gelembung pelancongan antara negara juga dibuat, antaranya membabitkan Hong Kong-Singapura dan Malaysia-Indonesia. Namun sehingga kini, belum ada kata putus.

Langkah proaktif ini dilihat berjaya membantu negara terbabit mengembangkan sektor pelancongan serta ekonomi berkaitan. Antaranya pengangkutan, penginapan dan makanan.

Memandangkan pintu masuk negara belum dibuka kepada pelancong luar, langkah kerajaan melaksanakan gelembung pelancongan bersasar ini tepat dan wajar dipuji.

Ia bertepatan strategi utama pelancongan iaitu mengembalikan semula keyakinan rakyat untuk melancong, menyemarakkan pelancongan domestik dan mengenal pasti produk serta meningkatkan penawaran lebih kreatif dengan memaksimumkan sumber sedia ada.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, berharap langkah ini menjadi pemangkin untuk industri ini bangkit semula, seterusnya membantu kelangsungan hidup pekerja yang terbabit dalam rantaian sektor pelancongan.

Gelembung pelancongan domestik ini kali kedua diumum selepas kebenaran diberikan Disember lalu.

Ia membenarkan pergerakan pelancong untuk merentas negeri, malangnya menyebabkan peningkatan jangkitan COVID-19 di seluruh negara.

Kebenaran terbaru diberikan kepada sektor pelancongan ini menggariskan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat dengan mewajibkan pelancong menggunakan agensi pelancongan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Penambahbaikan kepada gelembung perjalanan bersasar ini diharap mampu mengawal pergerakan pelancong dalam negara, kerana ia hanya membabitkan kenderaan yang dibenarkan daripada agensi pelancongan berdaftar dengan MOTAC.

Syaratnya, orang ramai perlu mematuhi SOP ditetapkan ketika mengikuti aktiviti pelancongan demi memastikan sektor ini terhindar daripada penutupan aktiviti yang akan kembali memberikan impak negatif terhadap rantaian ekonomi negara.

Langkah ini juga diharap dapat mencetuskan kesan positif kepada seluruh agensi pelancongan dalam negara.

Dapatan kajian oleh Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia pada April 2020 mendapati hanya 11.6 peratus rakyat Malaysia cenderung menggunakan khidmat agensi pelancongan apabila melancong, manakala 88.4 peratus lebih berminat menguruskan perjalanan mereka sendiri.

Perkembangan mutakhir ini dilihat memberi peluang kepada agensi pelancongan memasarkan pakej pelancongan menarik dan penawaran perkhidmatan terbaik kepada pelancong.

Ia diharap menonjolkan kelebihan melancong menggunakan agensi pelancongan seterusnya mendapatkan pelanggan setia pada masa akan datang.

Kini, keputusan di tangan rakyat untuk menyokong gelembung pelancongan bersasar ini dalam usaha membantu merancakkan ekonomi dan sosial negara.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Berita Harian X