Sabtu, 6 March 2021 | 10:45am
Pengasuh atau pendidik terlatih beri kesan positif kepada perkembangan kanak-kanak
Pengasuh atau pendidik terlatih beri kesan positif kepada perkembangan kanak-kanak

Ujian psikometrik ukur kualiti pengasuh, pendidik

Malaysia sebenarnya mempunyai pelbagai akta dan undang-undang melindungi kanak-kanak tetapi jumlah kes penderaan dan kecuaian dalam kalangan penjaga masih membimbangkan.

Antara 2013 hingga 2018, sebanyak 29 kes membabitkan kematian kanak-kanak di taman asuhan kanak-kanak (TASKA) dan 27 kes kematian kanak-kanak di rumah pengasuh.

Memandangkan keberadaan kanak-kanak di rumah pengasuh, TASKA, taman didikan kanak-kanak (TADIKA), taman bimbingan kanak-kanak (TABIKA) dan prasekolah lebih lama berbanding berada dengan ibu bapa terutama pada hari bekerja, faktor keselamatan dan kesejahteraan mereka tidak boleh dipandang enteng.

Pelbagai usaha dijalankan agensi menawarkan perkhidmatan penjagaan dan pendidikan di negara ini, untuk memastikan kesejahteraan dan keselamatan kanak-kanak.

Antaranya, meningkatkan profesionalisme seperti Kursus Asuhan PERMATA (KAP) yang diwajibkan kepada pengusaha, pengurus, penyelia, pengasuh dan pendidik berkuat kuasa 1 Januari 2013, menggantikan Kursus Asas Asuhan Kanak-Kanak (KAAK) dilaksanakan sejak 1988.

Bahagian GENIUS, Kementerian Pendidikan (KPM) melakukan saringan pengasuh atau pendidik sebelum mula bekerja. Bagaimanapun, agensi lain belum melakukan ujian saringan ini.

Maklum balas agensi terbabit mendapati, ujian saringan standard diperlukan untuk membantu dalam menyaring calon pada peringkat awal sebelum diambil bekerja. Saringan awal penting kerana keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak berkait rapat dengan individu di sekeliling mereka.

Oleh itu, kumpulan penyelidik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) diketuai Dr Nurul Hasyimah Mat Rani dan dianggotai Prof Madya Dr Suzani Mohamad Samuri, Dr Asma Perveen, Dr Masayu Dzainuddin, Dr Masayu Dzainuddin, Dr Rosfizah Md Talib, Dr Ebru Morgal serta Dr Mohd Zali Mohd Nor daripada Persatuan Rasch Malaysia membangunkan sistem psikometrik untuk saringan awal.

Berlatarbelakangkan psikologi, pendidikan awal kanak-kanak, sistem pintar dan psikometrik, mereka menghasilkan sistem dalam talian, Malaysia Psychometric Inventory for Care and Education (MySCREEN).

Dengan menggunakan teori dan paradigma psikologi, ujian psikometrik ini boleh digunakan untuk mengenal pasti aspek seperti personaliti, kesihatan dan kesejahteraan diri, kompetensi emosi serta pengurusan konflik bagi mengukur kemampuan calon dalam memastikan prestasi baik dalam pekerjaan.

Sistem dikawal selia Pusat Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC), UPSI ini, menjalani ujian rintis pada awal 2020 membabitkan lebih 100 pengasuh dan pendidik dari seluruh negara.

Ujian rintis ini bertujuan menguji kualiti soalan digunakan untuk ujian psikometrik sebenar. Terdapat tiga ujian utama, iaitu ujian membabitkan personaliti untuk mengukur personaliti calon seperti ekstraversi, persetujuan, kehematan, neurotik dan keterbukaan; kesihatan psikologi dan kompetensi emosi (kesejahteraan psikologi, keupayaan, kemahiran untuk memahami emosi sendiri serta mengurus emosi) dan pengurusan konflik (kebolehan mengenal pasti dan menangani konflik secara bijak, adil dan cekap).

Sistem ini dijangka dapat dimanfaatkan lebih 10,000 TASKA, TADIKA, TABIKA dan prasekolah di seluruh negara, sekali gus diharapkan dapat memperkasakan institusi pendidikan awal kanak-kanak dan menjamin persekitaran lebih selamat dan sejahtera untuk kanak-kanak.

Prof Madya Dr Mazlina Che Mustafa

Pengarah Pusat Penyelidikan Kanak-kanak Kebangsaan (NCDRC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Dr Nurul 'Ain Hidayah Abas

Pensyarah Jabatan Psikologi dan Kaunseling, Fakulti Pembangunan Manusia, UPSI

Berita Harian X