Khamis, 4 March 2021 | 10:31am
GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.

Jadilah pelancong bertanggungjawab, patuhi SOP

Kelonggaran diberi kerajaan untuk membuka sektor pelancongan dan kebudayaan tentunya memberi kelegaan.

Paling penting, ia menampakkan kembali sinar kepada penggiat industri selepas hampir setahun sektor pelancongan samar.

Sehingga kini, pergerakan rentas negeri masih belum dibenarkan, apatah lagi untuk membuka sempadan negara bagi tujuan pelancongan.

Lantas, perancangan pengembaraan ke luar negara, merasai keunikan budaya asing, menambah kenalan baharu, malah keinginan berjumpa keluarga di kampung terpaksa ditangguhkan.

Bagaimanapun, keputusan pembukaan sektor pelancongan tempatan pada 19 Februari lalu diharap memberi sedikit semangat kepada rakyat, terutamanya penggiat industri.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, berharap penggiat industri pelancongan dan kebudayaan dapat bangkit semula dalam situasi mencabar ketika ini.

Kerajaan mengumumkan Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Sarawak dan Perak akan berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), bermula esok.

Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pula dikuatkuasakan di Perlis, Melaka, Pahang, Terengganu, Sabah, Putrajaya dan Labuan.

Malaysia menawarkan banyak produk pelancongan menarik di seluruh negara. Antaranya taman rekreasi, pusat beli belah, makanan, kebudayaan, seni dan banyak lagi.

Rakyat dibenarkan melawat tempat menarik di luar kawasan setempat, asalkan masih dalam negeri.

Keputusan kerajaan memberikan kebenaran untuk aktiviti pelancongan seperti zoo, akuarium dan taman rekreasi di kawasan PKPB dan PKPP beroperasi pada kapasiti 50 peratus keluasan premis dan kebenaran merentas daerah, adalah sesuatu yang proaktif.

Kebenaran turut diberikan dengan syarat sama di premis seni budaya dan warisan seperti perpustakaan, muzium, galeri seni, pentas persembahan budaya, pusat hiburan keluarga dan taman tema luar.

Aktiviti pelancongan setempat seperti ini tentunya memberi peluang kepada rakyat untuk menerokai produk pelancongan dalam negeri.

Selain dapat membantu ekonomi di negeri berkenaan, hal ini dapat memberi peluang kepada orang ramai untuk lebih menghargai keindahan serta keunikan destinasi berdekatan.

Perkembangan ini diharap membuka lembaran positif buat sektor pelancongan negara dalam masa terdekat.

Nancy sendiri berharap kerajaan dapat mempertimbangkan gelembung perjalanan domestik dan pembukaan rentas negeri dengan keutamaan menyeimbangkan kesejahteraan kesihatan dan ekonomi rakyat.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), Datuk Mohd Khalid Harun, turut menegaskan industri pelancongan negara hanya akan berkembang semula apabila rentas negeri dibenarkan.

Realitinya, pergerakan pelancong antara negeri dapat merancakkan semula aktiviti ekonomi, seterusnya memberikan pekerjaan dan pendapatan bagi mereka yang berada dalam rantaian industri ini.

Buat masa ini, kelonggaran diberikan hendaklah dimanfaatkan sebaiknya. Setiap individu mestilah menjadi pelancong bertanggungjawab dengan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan dan mempraktikkan amalan norma baharu.

Jumlah kenaikan kes COVID-19 yang tinggi berikutan kebenaran merentas negeri pada Disember tahun lalu harus dijadikan iktibar.

Segala aspek perlu ditimbang sebelum satu keputusan besar diambil. Justeru, diharap orang ramai akan terus memberikan sokongan dalam sektor pelancongan negara dan melancong dengan selamat.

Akmal Adnan, Maisarah Abd Hamid

Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Berita Harian X