Sabtu, 20 Februari 2021 | 10:45am

Kerjasama semua pihak jayakan DidikTV KPM

Usaha Kementerian Pendidikan (KPM) menyahut cadangan pakar untuk menyediakan televisyen (TV) pendidikan harus dipuji semua pihak.

Usaha menjadikan NTV7 sebagai saluran DidikTV KPM juga dilihat sebagai langkah yang terbaik berbanding menyediakan saluran TV baharu dengan kos infrastruktur amat tinggi dalam bidang penyiaran.

Usaha ini harus diteruskan dengan memberi penekanan kepada penyediaan kandungan yang bersesuaian dengan keperluan generasi baharu.

Bagi memastikan ruang pembelajaran melalui DidikTV KPM ini berkesan, kementerian perlu memastikan elemen berikut diambil kira untuk pembangunan kandungan pembelajaran yang berkesan.

Pertama, kandungan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) yang interaktif. Kandungan yang dibangunkan walaupun wajib mengikut Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP), persembahan dan penyampaian kandungan harus interaktif.

Masyarakat sebelum ini sering kali menyalahkan anak kerana kerap bermain permainan digital melalui komputer mahupun peranti pintar serta menonton TV.

Justeru kandungan PdPR yang disediakan haruslah interaktif dan menarik minat murid untuk mengikuti paparan kandungan pengajaran yang ditayangkan. Elemen cabaran dan keseronokan harus dimasukkan ke dalam video pengajaran yang ditayangkan melalui DidikTV KPM.

Kedua, keselarian dengan PdPR oleh guru di sekolah. Bagi memastikan kandungan pengajaran yang disampaikan relevan dan sangat perlu diikuti, ia perlu diselaraskan dengan penyampaian guru di sekolah melalui PdPR 2.0.

Jika sekadar menayangkan rancangan pengajaran namun tidak diikuti dengan selari oleh guru di sekolah, ia mungkin mewujudkan perbezaan pengajaran antara guru di sekolah dan guru di DidikTV KPM.

Oleh itu bagi memastikan keselarian wujud, kementerian wajib memastikan DidikTV KPM juga digunakan oleh guru di sekolah sebagai bahan sokongan pembelajaran di rumah.

Ketiga, ibu bapa sebagai fasilitator. Dalam menghadapi cabaran norma baharu pembelajaran sejak 2020, peranan ibu bapa sangat penting dalam memastikan keberkesanan hasil pembelajaran dapat dicapai.

Ibu bapa sering merungut bahawa guru gagal menyampaikan isi PdPR dengan baik kerana pelbagai masalah seperti capaian internet, akses kepada gajet pintar yang berkualiti, kesibukan ibu bapa bekerja untuk memantau anak dan kerja rumah yang menimbun setiap hari melalui kumpulan tugasan dan kumpulan WhatsApp, Telegram dan Google Classroom.

Masalah ini membuka ruang dan peluang pembelajaran abad ke-21 di mana murid akan lebih bebas untuk memilih bahan pembelajaran dengan guru sebagai fasilitator.

Namun, disebabkan pandemik COVID-19, ibu bapa kini memainkan peranan penting sebagai fasilitator di rumah. Ibu bapa yang bekerja mungkin boleh membantu sebaik tamat waktu kerja dengan melihat tugasan melalui kumpulan pembelajaran yang ada.

Tanpa peranan ibu bapa sebagai pembantu kepada murid, maka hasil pembelajaran mungkin agak sukar untuk dicapai.

Prof Madya Dr Ridzwan Che Rus Dekan Fakulti Teknikal dan Vokasional, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Berita Harian X