Rabu, 20 Januari 2021 | 11:01am
GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.

Kerjasama ibu bapa, guru elak keciciran pelajaran

COVID-19 memberi pelbagai impak kepada seluruh dunia dan Malaysia sendiri terpaksa menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac 2020. PKP ternyata meresahkan rakyat dan mengundang krisis kepada ekonomi negara. Kemuncak permasalahan ini terjadinya percanggahan pendapat antara sesetengah pihak.

Bukan sahaja dalam kalangan mereka yang bekerja dalam sektor swasta atau kerajaan, pertikaian juga berlaku antara yang bekerja dari rumah atau pejabat, pihak yang bekerja makan gaji atau berniaga sendiri, malah ada yang mula jengkel dan iri hati dengan guru.

Oleh sebab sekolah ditutup ketika pandemik, maka pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) diperkenalkan Kementerian Pendidikan (KPM).

Baru-baru ini, siaran media KPM menyatakan sekolah yang dijadualkan beroperasi secara bersemuka mulai hari ini ditangguhkan dan guru serta murid perlu menjalani PdPR.

Sesi persekolahan secara bersemuka hanya dihadkan kepada calon peperiksaan utama bagi tahun 2020. Ramai ibu bapa mengeluh, terutama yang bekerja dari pejabat, tidak kurang juga bekerja dari rumah.

Masalah utama ialah tidak cukup masa, tiada pengetahuan sesuatu subjek, tiada komputer riba atau gajet, tiada kemudahan internet dan sebagainya.

Malah ada menyaran gaji guru sekolah dipotong dan diberikan kepada pekerja barisan hadapan.

Tidak dinafikan ada guru sangat bertanggungjawab dan sentiasa komited mengendalikan kelas dalam talian untuk membimbing murid, namun ada juga segelintir hanya memberi kerja sekolah tanpa kelas atau bimbingan.

Seperti kata pepatah, 'guru kencing berdiri, murid kencing berlari'. Jika guru tidak menjalankan pekerjaan sebaiknya, murid juga tidak akan mahu mengikuti pelajarannya.

Ibu bapa pula, ada yang sangat teliti dan bertanggungjawab mengajar anak selepas waktu kerja atau pada hujung minggu, namun ada juga sebaliknya.

Tetapi mereka lupa, mangsa sebenar ialah anak yang mungkin mengalami keciciran pelajaran.

PdPR mungkin tidak mendapat tempat di hati semua ibu bapa atau guru, tetapi melihat kes COVID-19 semakin meningkat, ini sahaja jalan terbaik untuk menyelamatkan anak kita.

Ibu bapa dan guru memainkan peranan penting memastikan anak dan murid mengikuti kelas dalam talian ini. Jika ibu bapa bekerja dari pejabat, maka malam hari atau hujung minggu hendaklah dimanfaatkan sebaiknya. Ibu bapa bekerja dari rumah pula mesti pandai membahagikan masa antara kerja dan kelas anak.

Guru yang mengendalikan kelas dalam talian boleh memberi pautan video atau merakam kelas mereka supaya pelajar boleh mengikuti pelajaran pada bila-bila masa.

Guru juga perlu membuat tindakan susulan selepas memberi kerja sekolah, seperti memeriksa hasil kerja pelajar, bertanya kepada pelajar yang tidak menghantar kerja sekolah, bertanya kepada ibu bapa dan sebagainya.

Terdapat juga cadangan supaya PdPR dijalankan di luar waktu kerja. Kerjasama ibu bapa dan guru sangat penting supaya matlamat dan objektif asal tercapai.

Anak seharusnya mempunyai keazaman kuat dan semangat tinggi untuk belajar, walaupun negara sedang berperang dengan virus yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar ini.

Sebagai orang lebih dewasa janganlah kita sibuk menuding jari dan menyalahkan semua pihak. Sudah tiba masanya untuk kita sama-sama berganding bahu membentuk akademik dan sahsiah bakal pemimpin negara kita.

Berhenti mencemuh dan mengeji sesama kita. Anak hanya akan mencontohi sikap dan kelakuan yang kita tunjukkan, seperti peribahasa lama, 'bapa borek anak rintik.'

Sarah Musa

Pensyarah Asia Pacific University (APU)

Berita Harian X