Jumaat, 11 Disember 2020 | 11:15am
Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) bermatlamatkan merangsang pertumbuhan ekonomi domestik dengan meningkatkan pembelian barangan tempatan, membantu pengusaha tempatan meluaskan jaringan pemasaran dengan meningkatkan permintaan tempatan. - NSTP/Asyraf Hamzah
Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) bermatlamatkan merangsang pertumbuhan ekonomi domestik dengan meningkatkan pembelian barangan tempatan, membantu pengusaha tempatan meluaskan jaringan pemasaran dengan meningkatkan permintaan tempatan. - NSTP/Asyraf Hamzah

'Berbelanja untuk Malaysia' pacu pemulihan ekonomi negara

BELUM ada dalam sejarah moden, pandemik seperti COVID-19 yang dalam skala besar mengubah landskap sosioekonomi dunia.

Pada masa kini, sektor utama negara beroperasi semula dengan 90.1 peratus atau 13.7 juta rakyat kembali bekerja. Laporan Bank Negara Malaysia (BNM) hingga Oktober 2020 mencatatkan ekonomi Malaysia mengalami penguncupan lebih kecil, iaitu 2.7 peratus berbanding suku ketiga.

Dalam berhadapan cabaran kelembapan pertumbuhan ekonomi akibat COVID-19, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat berskala pertengahan dan multinasional, mengalami kesukaran dari segi kekangan aliran tunai dan kehilangan atau kekurangan pelanggan.

Rantaian bekalan terjejas, terutama sektor industri dan perkhidmatan yang terpaksa bergantung kepada bahan mentah, komponen dan bekalan import.

Justeru, kerajaan mengkaji dan menilai semula dasar sedia ada untuk mengurangkan kebergantungan produk import serta mengutamakan pembinaan keupayaan industri tempatan mengeluarkan produk buatan Malaysia.

Malaysia perlu keupayaan mengeluarkan produk kritikal merangkumi sektor makanan minuman, peranti perubatan, ubat-ubatan, petrokimia dan peralatan perlindungan peribadi (PPE).

Apabila negara mempunyai keupayaan itu, kita mampu mengurangkan aliran keluar mata wang Malaysia dan seterusnya meningkatkan eksport barangan tempatan.

Mengambil kira sejarah kegawatan ekonomi 1998, Malaysia sekali lagi melancarkan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM), iaitu susulan kempen dilancarkan pada 1998.

KBBM kali ini bermatlamatkan merangsang pertumbuhan ekonomi domestik dengan meningkatkan pembelian barangan tempatan, membantu pengusaha tempatan meluaskan jaringan pemasaran dengan meningkatkan permintaan tempatan.

Ia juga untuk mewujud dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kualiti produk dan perkhidmatan buatan Malaysia yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

KBBM 2020 ini dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersama-sama sembilan kementerian.

KPDNHEP perlu terus bekerjasama dengan kementerian lain khususnya Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi menjamin kejayaan kempen ini.

Ia juga membabitkan pihak berkepentingan seperti Persatuan Peruncit Malaysia (MRA), Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA), Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) dan Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPK).

Sesi libat urus dengan penyedia pihak platform dalam talian dan peruncit utama perlu dilaksanakan bagi membolehkan kempen ini mendapat capaian menyeluruh dalam masyarakat.

Menurut Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, kementeriannya menyasarkan jualan sempena KBBM mencecah RM513 juta bagi tempoh Julai hingga Disember tahun ini.

Melalui aplikasi Shopee dikenali Buy Malaysia dan sebanyak 13,000 produk dan perkhidmatan tempatan ditawarkan menerusi kempen ini sehingga akhir tahun untuk menyokong barangan buatan Malaysia.

Bagi memastikan impak besar kepada sektor peruncitan tempatan, kerajaan melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) memperuntukkan RM20 juta bagi menjayakan kempen ini yang mengutamakan penggunaan barangan dan perkhidmatan tempatan.

Ini akan menggalakkan penandaan barangan buatan tempatan di rangkaian pasar raya dan mewujudkan saluran khusus untuk produk Malaysia di platform e-dagang utama.

Penggunaan platform e-dagang amat berkesan dalam memberi pilihan lebih banyak kepada pengguna dalam membeli produk Malaysia secara maya.

Melalui Pelan Strategik Halatuju e-Dagang Kebangsaan, lebih 37 kementerian dan agensi mengembleng tenaga untuk mengembangkan aktiviti e-dagang.

Kini, kebanyakan komuniti perniagaan beralih kepada penggunaan teknologi digital lebih meluas. Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, 79,274 PKS dilaporkan memanfaatkan platform e-dagang. Jumlah ini melebihi sasaran kerajaan melatih 50,000 PKS dalam setahun.

Aktiviti e-dagang juga melonjak sebanyak 9.3 peratus berbanding April. Pemasaran produk PKS tempatan, terutama di rangkaian pasar raya dan pasar raya besar mencatatkan hasil jualan memberangsangkan, iaitu RM667 juta peningkatan berbanding tahun sebelumnya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melancarkan Program Jualan Mega dan KBBM Peringkat Kebangsaan 2020 menyarankan rakyat sebagai pengguna agar 'berbelanjalah untuk Malaysia' kerana setiap perbelanjaan akan membantu memastikan ekonomi negara kekal berdaya saing.

Dengan berbelanja, kesan penggandaan dalam ekonomi dapat dipertingkatkan, mewujudkan peluang pekerjaan dan menambahkan hasil pendapatan rakyat.

Semoga kempen seperti ini menjadi titik permulaan kepada usaha bersama antara kerajaan, industri dengan rakyat dalam memastikan kejayaan memulihkan ekonomi dengan merancakkan semula ekonomi negara.

Penulis adalah Koordinator Program (Ijazah Kewangan dan Pelaburan), Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Johor

Berita Harian X