Sabtu, 5 Disember 2020 | 10:45am
ZOO Negara kini kembali berdepan krisis kewangan yang teruk susulan gelombang ketiga COVID-19 di negara ini yang menyaksikan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). FOTO BERNAMA / AMIRUL AZMI
ZOO Negara kini kembali berdepan krisis kewangan yang teruk susulan gelombang ketiga COVID-19 di negara ini yang menyaksikan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). FOTO BERNAMA / AMIRUL AZMI

Perkongsian awam, swasta selamat Zoo Negara

Pembantu Penyelidik di EMIR Research

Kedudukan kewangan Zoo Negara tidak begitu kukuh ketika ini, lantas ia masa yang tepat untuk meneroka perkongsian strategik awam-swasta (PPP) bagi menyelamatkannya.

Dilaporkan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Shamsul Anuar Nasarah, menyatakan zoo dan pengendali pameran tetap tidak harus terus bergantung kepada Putrajaya untuk menampung kos operasi mereka.

Walaupun pembiayaan Zoo Negara dikendalikan secara eksklusif institusi swasta-khususnya oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sumbangan orang ramai, kerajaan tidak boleh bersikap lepas tangan.

Mungkin bantuan geran sepadan boleh diberikan kepada Zoo Negara diikuti gabungan dana oleh NGO dan sumbangan orang ramai. Ia pasti dapat menyelamatkannya daripada penutupan penuh gara-gara wabak COVID-19.

Pengarah Zoologi, Veterinar dan Pusat Konservasi Giant Panda Zoo Negara, Dr Mat Naim Ramli, menyatakan Zoo Negara menghadapi krisis kewangan dan dijangka mempunyai dana kecemasan selama tiga bulan sahaja gara-gara gelombang ketiga COVID-19.

Ini bukan situasi yang baik. Ia menjadi cabaran nyata bagi Zoo Negara untuk kembali pulih ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan ia pasti mencabar untuk mencapai penjualan tiket, penjualan produk dan perkhidmatan pada masa ini.

Shamsul Anuar menyatakan kementeriannya sudah berunding dengan penggiat industri dan Persatuan Taman Zoologi dan Aquaria Malaysia untuk mengkaji peraturan yang merangka operasi mereka di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar bagi memastikan kelestarian dan kesejahteraan haiwan.

Walaupun begitu, kerajaan harus mempertimbangkan PPP untuk meredakan masalah kewangan dihadapi Zoo Negara.

Kemungkinan operasi harian harus dikendalikan sektor swasta dan kerajaan pula harus terus menolong dengan cara lain seperti pengagihan perbelanjaan modal antara kerajaan dan sektor swasta, sementara perbelanjaan mengurus zoo dapat diuruskan sepenuhnya swasta.

Bagi menyelesaikan masalah kewangan, kerajaan harus terus mengkaji untuk menghentikan sementara dana tidak perlu kepada institusi yang kurang terjejas. Sebaliknya, fokus lebih diberikan kepada cabaran Zoo Negara, bahkan mungkin meletakkannya di bawah yayasan atau amanah.

Insentif cukai untuk penaja swasta juga wajar seperti kerajaan bersetuju meningkatkan potongan cukai kepada mereka yang menaja kegiatan berkaitan kesenian, kebudayaan dan warisan dalam belanjawan.

Ini akan membantu Zoo Negara ketika krisis pandemik seperti perancangan kerajaan menarik minat penaja swasta dan meyakinkan mereka untuk membiayai sektor kesenian, kebudayaan dan warisan di Malaysia.

Perak sebagai contoh, kerajaan negeri menyebut bahawa mereka mungkin dapat memperuntukkan dana kepada Zoo Taiping yang memerlukan RM400,000 sebulan untuk kos operasi.

Walaupun Zoo Negara memerlukan sekitar RM1 juta sebulan untuk kos operasi dan ternyata lebih besar berbanding Zoo Taiping, ia mungkin dapat dikendalikan dengan jayanya melalui kaedah PPP.

Mungkin juga usaha berkesan boleh digerakkan untuk menarik pelabur asing atau organisasi antarabangsa yang berpotensi melabur dalam Zoo Negara.

Baru-baru ini, Ustaz Ebit Liew juga menyahut panggilan membantu Zoo Negara bagi menyelamatkan haiwan di sana selepas zoo berkenaan berdepan kesukaran untuk menjana pendapatan mencukupi bagi penjagaan haiwan.

Amat menyedihkan apabila Dr Mat Naim menyatakan Zoo Negara tidak menerima bantuan sejak PKPB bermula 14 Oktober lalu, sambil menanam harapan supaya kerajaan berjaya melakukan sesuatu untuk menolong mereka semasa krisis ini.

Dalam hal ini, kerajaan perlu memastikan krisis COVID-19 tidak terus mengancam Zoo Negara. Pilihan terbaik harus segera diputuskan untuk membantu menguruskan kos operasinya, mungkin terus membiayainya tanpa ragu-ragu contohnya dengan konsep PPP.

Berita Harian X