Jumaat, 9 Oktober 2020 | 11:01am
- Gambar hiasan ihsan maskulin
- Gambar hiasan ihsan maskulin

Pangkalan data khas atasi masalah haiwan jalanan

Seluruh dunia mengiktiraf tarikh 4 Oktober sebagai Hari Haiwan Sedunia. Bagaimanapun, Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan denda dan penjara ke atas pelaku kekejaman terhadap haiwan, tidak mampu menghentikan perbuatan kejam manusia terhadap haiwan.

Seseorang menzalimi haiwan boleh didenda maksimum RM75,000, dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali. Namun, ia tidak mendatangkan kesan, termasuk kepada golongan dewasa yang banyak melakukan jenayah kekejaman haiwan. Malah, masyarakat tidak sedar wujudnya undang-undang berkenaan.

Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Abraham Lincoln, pernah mengungkapkan keprihatinan terhadap hak haiwan seperti hak manusia. Itulah sepatutnya tertanam pada sikap manusia untuk mencapai kesempurnaan sifatnya.

Di negara ini, banyak haiwan liar seperti kucing dan anjing berkeliaran di jalan raya kerana mencari makanan dan tempat berteduh. Begitu juga monyet yang terpaksa mencari tempat tinggal apabila habitat asal pupus.

Ketika COVID-19, ada haiwan jalanan seperti kucing dan anjing liar kebuluran kerana tidak mendapat makanan cukup. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan 200 juta anjing liar seluruh dunia. Haiwan jalanan jika tidak dijaga mudah dijangkiti penyakit, sekali gus akan menyebabkan jangkitan penyakit lebih kronik.

Banyak kes penyakit berbahaya termasuk COVID-19, MERS-COV, virus nipah dan hawar berasal daripada haiwan. Penyakit seperti anjing gila memudaratkan haiwan dan manusia di persekitarannya.

Tindakan pengurusan cekap perlu dilaksanakan dengan bantuan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Perkhidmatan Veterinar, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan kerjasama orang ramai untuk menangani masalah haiwan jalanan.

Dasar penjagaan, pendidikan dan pemantauan haiwan jalanan perlu diwujudkan kerajaan dengan amalan keprihatinan dan perikemanusiaan supaya masalah itu dapat ditangani pantas dan cekap.

Kerajaan menerusi Jabatan Komuniti Kesihatan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar perlu memberi kesedaran pendidikan kepada pemilik haiwan serta orang ramai dalam mengetengahkan prosedur operasi standard (SOP) diperlukan untuk menjaga haiwan peliharaan atau jalanan.

Kebanyakan pusat perlindungan haiwan dibina atas ihsan masyarakat, terutama NGO untuk memelihara haiwan dan memberi tempat perlindungan serta makanan. Kerjasama dan kesedaran masyarakat sangat diperlukan untuk menjaga haiwan berkenaan.

Belanda antara negara yang berjaya mengurangkan haiwan jalanan pada kadar sifar tahun ini. Negara itu mengamalkan proses kumpul, kasi, vaksinasi dan memulangkan semula haiwan.

Sistem percukaian terhadap pemeliharaan haiwan dan cip mikro untuk memantau haiwan terbabit tanpa wayar berjaya diwujudkan. Belanda juga mempunyai dasar haiwan untuk memantau dan menyelamatkan haiwan jalanan jika terancam.

Haiwan terbabit dijaga kebajikan seperti dijadikan haiwan angkat menerusi dalam talian dan diberikan bantuan makanan dari tempat penjagaan haiwan.

Malaysia boleh mewujudkan mekanisme bagi membolehkan haiwan jalanan dapat diambil sebagai haiwan peliharaan mengikut SOP ditetapkan. Kerajaan perlu mengkaji bagaimana mengatasi masalah haiwan jalanan supaya dapat diuruskan berkesan dan baik.

Disyorkan pangkalan data untuk menyimpan rekod pemantauan haiwan termasuk identiti, umur, jenis, keadaan kesihatan dan status vaksin.

Seterusnya satu tapak sesawang pangkalan data haiwan dapat diwujudkan untuk mengiklankan haiwan terbabit bagi dijadikan haiwan angkat menerusi pemberian derma untuk menampung kos makanan dan penjagaan.

Teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) juga dimanfaatkan seperti mewujudkan gelang mempunyai cip mikro yang boleh dikesan menerusi rangkaian tanpa wayar untuk memantau gerak-geri dan statusnya.

Kesedaran dan pendidikan mengenai hak penjagaan haiwan juga perlu diberikan kepada kanak-kanak dan masyarakat. Dengan kewujudan jawatankuasa ini, diharap masalah haiwan jalanan dan kekejaman terhadap dapat dihapuskan dan seterusnya dapat menjadi rujukan.

Penulis adalah Profesor Madya di Jabatan Komputeran Fakulti Seni, Komputeran, dan Industri Kreatif Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI)

Berita Harian X