Rabu, 9 September 2020 | 11:00am

Pastikan bahasa Melayu jadi teras pendidikan negara

Dalam sektor pendidikan, bahasa Inggeris pernah digunakan sebagai perantara komunikasi ketika penjajahan British dan pada tahun awal kemerdekaan tanah air.

Kemudian, bahasa Melayu mula digunakan sebagai perantara utama ketika era pendemokrasian pendidikan negara melalui pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR).

Susulan penggunaan bahasa Melayu pada sesi pengajaran dan pembelajaran hampir tiga dekad itu, ramai ilmuwan tempatan serta bernuansa bahasa Melayu muncul merangkumi pelbagai bidang dan disiplin ilmu.

Kemudian ada cubaan untuk kembali kepada bahasa perantara terdahulu iaitu bahasa Inggeris menerusi pelaksanaan program Pengajaran dan Pembelajaran Sains Dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Program ini menelan belanja jutaan ringgit dan menuai kontroversi kerana dilaksanakan tergesa-gesa tanpa mengendahkan sumbang saran serta bantahan ilmuwan, warga pendidik dan rakyat yang prihatin terhadap kesan negatif kepada pelajar pada masa hadapan.

PPSMI tetap dilaksanakan dan bertahan kira-kira lapan tahun, sebelum akhirnya dihentikan secara soft landing dengan kohort pelajar terakhir membabitkan pelajar Tingkatan Lima pada sesi persekolahan 2020.

Sebelum PPSMI tamat sepenuhnya, dunia pendidikan dikejutkan apabila Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) mengarahkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan pula program dwibahasa (DLP) pada 2015 dan 2016.

Seperti PPSMI, program ini juga mendapat bantahan kerana ia dilaksanakan tergesa-gesa, dengan peruntukan segera yang tinggi berserta bahan pengajaran diimport langsung dari negara luar.

Bantahan sekali lagi disuarakan. Kali ini keprihatinan diketengahkan bersandarkan kajian ilmiah dan akademik mendedahkan kegagalan PPSMI sebelum ini, selain data ditunjukkan pentaksiran antarabangsa Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) dan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA).

Walaupun pihak sekolah diberi pilihan, asas kebimbangan tetap pada sejauh mana DLP dapat meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris dan mengukuhkan pemahaman pelajar terhadap Sains, Matematik dan lain-lain mata pelajaran STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), selain soal lebih teras iaitu bahasa pengantar.

Untuk permulaan 100 sekolah rintis dipilih. Bagaimanapun, sekolah ini terus menjadi sekolah yang melaksanakan DLP sepenuhnya tanpa bertahap dan berperingkat. Ketika ini, lebih 1,500 bilik darjah menjalankan DLP.

Soalnya, mengapakah pemansuhan PPSMI yang membabitkan penggunaan semula bahasa Melayu boleh dilaksanakan secara bertahap atau berperingkat, tetapi untuk melaksanakan PPSMI dan DLP pada 2002 serta 2016 dilaksanakan secara adhoc?

Laporan Akademi Sains Negara 2017 menyatakan jurang penguasaan dan minat murid dalam bidang sains dan matematik, serta teknikal semakin berkurangan. Dapatan ini konsisten sehingga kini.

Antara sebab minat murid terhadap STEM semakin merosot adalah ketidaktentuan dasar berkaitan bahasa yang sentiasa berubah. Pada masa sama, dasar dan program ini tidak pun meningkatkan kualiti dan penguasaan berbahasa Inggeris dalam kalangan murid.

Apa yang kita prihatin, pelaksanaan PPSMI dan DLP menjarakkan jurang pencapaian akademik serta status sosioekonomi pelajar sekolah.

Soal menggunakan bahasa pengantar berbeza juga sering dikaitkan dengan perpaduan. Contohnya, bahasa pengantar di sekolah jenis kebangsaan (SJK) adalah Mandarin dan Tamil, yang mana desakan kuat daripada pihak tertentu untuk memansuhkan SJK atas alasan perpaduan.

Pokoknya, kita perlu adil kepada bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Dalam konteks penguasaan ilmu teras peringkat sekolah rendah dan menengah, bahasa Melayu paling merakyat, lengkap serta punya sejarah cukup panjang sebagai bahasa ilmu dan perpaduan.

Justeru, dalam konteks pendidikan masa hadapan, negara perlu serius dengan dasar pendidikan yang teras dan dipertahankan.

Penggunaan bahasa Melayu di sekolah kebangsaan perlu dijadikan teras utama, selain usaha memantapkan standard bahasa Melayu di sekolah vernakular.

Semangat zaman anak bangsa Malaysia abad ke-21 perlu dipupuk untuk menjiwai bahasa Melayu sebagai perantara komunikasi ilmu, saintifik, kebudayaan, perpaduan dan paling penting sebagai pertuturan asas bangsa Malaysia.

Walaupun dalam akta dan Perlembagaan, tidak termaktub setiap warganegara perlu menguasai dan fasih berbahasa Melayu, rakyat Malaysia harus ada kesedaran untuk melazimi bahasa Melayu sebagai resam utama kehidupan. Bak kata pepatah, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung!

Penulis adalah Naib Presiden (Pendidikan, Kebudayaan dan Kenegaraan) Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Berita Harian X