Selasa, 1 September 2020 | 11:01am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Bina rumah dagangan halal mantapkan industri

Berdasarkan permintaan produk dan perkhidmatan halal semakin meningkat daripada Muslim global, sekarang ialah masa terbaik bagi Malaysia meningkatkan usaha mempromosi industri yang boleh menyumbang kepada eksport kasar Malaysia, iaitu antara komponen utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

Walaupun ekonomi Malaysia menyusut 17.1 peratus pada suku kedua tahun ini, eksport kasar Malaysia meningkat dengan terus mencatatkan peningkatan RM82.9 bilion pada Jun (8.8 peratus tahun ke tahun), berbanding angka Mei, iaitu RM62.7 bilion (-25.5 peratus tahun ke tahun).

Memandangkan populasi Muslim global diramalkan meningkat daripada 1.8 bilion kepada 2.2 bilion pada 2030, ekonomi Islam akan menguasai ekonomi dunia pada tahun mendatang dengan subsektor berbeza seperti makanan dan minuman halal, bahan ramuan, kosmetik dan farmasi serta fesyen Muslimah.

Seperti dinyatakan dalam laporan Ekonomi Islam Global 2019/20 oleh DinarStandard, Malaysia kekal mengungguli carta dalam Petunjuk Ekonomi Islam Global dan terus memperkuat ekosistemnya untuk perniagaan ekonomi Islam.

Justeru, Malaysia perlu melabur dan lebih fokus pada ekonomi halal supaya dapat mengekalkan kedudukan sambil berusaha menjadi hab atau pemain industri halal paling penting di dunia.

Pada masa ini, kebimbangan masalah kesihatan dan halal semakin meningkat, terutama ketika pandemik melanda. Contohnya, pengguna halal terus membuat pertanyaan mengenai bahan mentah digunakan untuk menghasilkan produk, bahan digunakan untuk membuat makanan atau memastikan ayam daging disembelih pasukan bertauliah.

Secara ringkas, ketidaksahihan dan ketidaktepatan ialah masalah besar boleh mempengaruhi integriti rantaian bekalan halal. Adalah penting untuk menerapkan sistem dapat menyokong ketelusan rantai nilai keseluruhan produk halal hingga kebolehpercayaan dalam data rantaian bekalan dapat dicapai.

Justeru, teknologi blok rantai ialah penyelesaian terbaik bagi isu ini. Dengan menggunakannya, penyatuan pengantara berbeza sepanjang proses pengurusan rantaian bekalan dapat diketahui yang sangat penting bagi memelihara integriti produk halal.

Ia berfungsi merekod maklumat pergerakan produk halal seperti destinasi, lokasi dan ID elektronik. Rekod ini akan mendedahkan sebarang penipuan atau manipulasi serta memastikan gudang, kontena pengangkutan serta penyimpanan produk halal diurus mengikut piawaian halal dan tidak dicampur produk tidak halal.

Ini sangat bermanfaat terutama ekonomi makanan halal yang dahulunya hanya pasaran khusus di negara ini, tetapi kini berkembang pesat ke seluruh dunia.

Malah, blok rantai menawarkan kebolehkesanan yang dapat mempercepat keseluruhan proses pensijilan halal yang biasanya memerlukan beberapa bulan atau tahun untuk disahkan.

Teknologi blok rantai juga dapat menyelesaikan sebarang masalah melanda lebih cepat, penting untuk ditunjukkan kepada dunia bahawa kita dapat menjalankan ekonomi ini dengan cekap sama seperti ekonomi terkemuka dunia lain. Walaupun teknologi blok rantai bukan baharu, masih ada tidak menyedari kepentingan dan faedah teknologi ini. Jadi, pemain industri halal perlu didedahkan dengan teknologi ini dan apa boleh ditawarkan kepada model perniagaan mereka.

Antara cara boleh dilakukan adalah dengan membina rumah dagangan halal kita sendiri - berfungsi sebagai pengeksport, pengimport dan pedagang yang membeli dan menjual produk untuk perniagaan lain. Ia akan menyediakan perkhidmatan khusus tertumpu pada barang disahkan halal.

Sebagai permulaan, menurut pakar dna profesional halal, Roziatul Akmam Osman, kerajaan boleh membentuk konsortium rumah dagang mapan dan memiliki reputasi.

Rumah dagang ini harus sudah beroperasi di negara ini dan memberikan perkhidmatan kepada sektor halal dari pelbagai industri di sini.

Selain itu, bersama rangkaian antarabangsa dan domestik, rumah dagangan yang ada boleh memanfaatkan kepakaran mereka untuk mempromosikan rantaian bekalan hulu-hilir pelbagai industri dengan lebih efektif dan produktif serta berpatutan.

Penulis adalah Pembantu Penyelidik di EMIR Research

Berita Harian X