Isnin, 6 Julai 2020 | 11:00am
PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Keberhasilan idea adaptasi teknologi di tangan rakyat

INISIATIF kerajaan menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) meletakkan digitalisasi sebagai kriteria utama menangani masalah ekonomi dan kualiti kehidupan masyarakat di Malaysia.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika pelancaran pelan inisiatif itu, menyentuh perihal perkhidmatan internet untuk pembelajaran dan peningkatan produktiviti.

Ia bertujuan menyokong aktiviti e-pembelajaran dan peningkatan produktiviti melalui penyediaan penyambungan internet percuma.

Menerusi imbuhan ini, semua pengguna di Malaysia mendapat manfaat dengan sejumlah RM3 bilion digunakan untuk pelaksanaan infrastruktur ini.

Antara kelebihannya bantuan 1 gigabit (gb) percuma setiap hari antara jam 8 pagi hingga 6 petang untuk melayari laman web berkaitan pendidikan, produktiviti (aplikasi persidangan video) dan berita oleh syarikat telekomunikasi terbabit.

Ini termasuk penggunaan percuma tanpa had bagi aplikasi COVID-19 kerajaan dan akses kepada laman web Kementerian Kesihatan dan lain-lain kementerian.

Selain itu National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) turut diwujudkan bertujuan menerajui ciptaan penyelesaian teknologi baharu dan melaksanakan kelonggaran peraturan untuk menguji cuba teknologi baharu seperti penghantaran melalui dron dan kenderaan pandu sendiri.

Untuk terus menggalakkan digitalisasi dalam sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan ke arah Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0), kerajaan akan menyediakan lebih banyak perkhidmatan secara dalam talian atau e-kaunter.

Penambahbaikan perkhidmatan ini bertujuan mengurangkan transaksi secara fizikal.

Ringkasnya, dalam usaha memperkasa rakyat menerusi teknologi seperti perancangan PENJANA, dua elemen utama perlu diambil kira.

Selain IR4.0, sudah tentu elemen Masyarakat 5.0 atau Society 5.0 turut penting, mengambil kira kedua-duanya jelas mempunyai kebersamaan.

Menurut laporan Forbes, IR4.0 mewakili revolusi keempat yang berlaku dalam sektor pembuatan. Ia pada awalnya diwujudkan menerusi idea kerajaan Jerman dan mula diperkenalkan pada 2011.

Komponen IR4.0 juga terdiri beberapa bahagian iaitu sistem fizikal siber, internet kebendaan (IoT), ketersediaan sumber sistem komputer berdasarkan permintaan dan pengkomputeran kognitif.

Dasar Masyarakat 5.0 yang berasal dari Jepun pula memfokuskan kepada teknologi berpusatkan manusia, lebih empati kepada keperluan dan kehendak masyarakat, di samping mempunyai nilai terhadap meningkatkan kualiti kehidupan pengguna.

Ia memfokuskan kehendak setiap individu, bukan hanya teknologi masa hadapan yang dikendalikan dan dipantau kecerdasan buatan (AI) atau robot semata-mata.

Masyarakat 5.0 membayangkan sistem sosioekonomi inklusif yang lestari, diperkasakan oleh teknologi digital seperti analisis data raya, AI, IoT dan robotik.

Masyarakat 5.0 akan membantu mengatasi cabaran sosial kronik seperti meningkatnya populasi warga emas, polarisasi sosial, penurunan kadar penduduk dan kekangan yang berkaitan dengan sumber tenaga dan persekitaran.

Menerusi penggunaan teknologi seperti robotik dan IoT di kilang dan juga kawasan pembinaan, maka pengambilan buruh asing dapat dikurangkan.

Kebolehgunaan sesuatu teknologi penting untuk kemampanan penggunaan dan penjimatan kos.

Nilai lestari seperti empati yang tinggi dan memahami kehendak rakyat harus diperhalusi, difahamkan dan dilaksanakan supaya teknologi yang akan dihasilkan akan memberi kemampanan untuk satu jangka masa panjang, di samping memulangkan penjanaan kewangan untuk ekonomi.

Elemen seperti design thinking (pemikiran reka bentuk) boleh digunakan bersama oleh kerajaan dan rakyat menerusi konsep mesyuarat 'percambahan fikiran' untuk mencetuskan idea yang berwawasan dan bernilai bagi mempertingkatkan kualiti kebergunaan sesuatu teknologi.

Justeru, sama ada IR4.0, Masyarakat 5.0 atau apa juga konsep teknologi sekalipun, ia bergantung kepada rakyat sebagai pemangkin idea, pengguna dan penggerak untuk menjayakan teknologi demi kehidupan lebih bermakna dan berkualiti.

Pensyarah Jabatan Komputeran Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Berita Harian X