Ahad, 5 Julai 2020 | 11:00am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Hormat tradisi, budaya kunci keamanan negara

Kenyataan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S A Vigneswaran yang menyeru kerajaan menarik balik pindaan kontroversi pada 1993 berkaitan kuasa Raja-raja Melayu menarik perhatian, sekali gus mendorong kita mengenang kembali konteks sejarahnya.

Selepas kemerdekaan, sistem pemerintahan raja mutlak dimansuhkan. Ia digantikan dengan sistem berkerajaan dan bernegara menggabungkan institusi raja dengan rakyat berasaskan konsep Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

Kedaulatan raja diberikan wajah baharu dengan dirangkaikan suara rakyat dalam satu ikatan murni. Betapa pentingnya institusi raja dapat dilihat dalam Perlembagaan Persekutuan,10 peratus inti pati Perlembagaan atau 19 daripada 183 Perkara dalamnya berkaitan raja berperanan penting dalam struktur kerajaan dan struktur negara.

Pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 1993 diluluskan Parlimen dengan tujuan menghilangkan kekebalan undang-undang terhadap Raja-raja Melayu. Melalui ucapan bekas Perdana Menteri pada 8 Mac 1993, penggubalan itu bertujuan memperkemaskan undang-undang berkenaan dan menjaga kehormatan raja.

Perubahan itu menyaksikan perubahan Artikel 32, 38, 42, 63, 72 dan 181 dalam Perlembagaan Persekutuan dilaksanakan pada Mac 1993. Sebelum pindaan itu, Perlembagaan memberikan imuniti kepada Raja-raja Melayu yang melanggar undang-undang tidak boleh didakwa oleh mahkamah jenayah kecuali jika dia secara sukarela ingin menyerahkan kekebalan hukumnya. Pindaan juga dibuat terhadap Artikel 66(4A) Perlembagaan berkaitan Yang di-Pertuan Agong dalam meneliti dan memperkenankan sesuatu rang undang-undang.

Pindaan dibuat ketika hubungan Raja-raja Melayu dan parti pemerintah berada dalam keadaan rumit. Pada akhir 1980-an dan awal 1990-an, beberapa insiden kontroversi membabitkan raja banyak berlaku dalam konflik kepentingan dengan beberapa ahli politik.

Ketika itu, jelas Majlis Raja-Raja sangat tidak senang dengan tuntutan kerajaan untuk menghapus kekebalan undang-undang dan pada awalnya tidak setuju dengan tuntutan digesa kerajaan. Kerajaan menggunakan pendekatan serampang dua mata dan paksaan untuk mendapatkan persetujuan yang akhirnya bersetuju menghapus kekebalan hukum, yang kemudian dilaksanakan pada Mac 1993.

Melihat dari sudut perspektif sejarah negara, Kesultanan Melayu Melaka ialah pengasas sistem politik dan berkerajaan di Tanah Melayu. Pelbagai kerangka pemerintahan diwujudkan membabitkan bidang kuasa raja, pembesar dan pemimpin di kawasan taklukan.

Undang-undang digubal, kawasan persempadanan diwujudkan, konsep kerakyatan, sistem pentadbiran dilaksanakan dan hubungan antarabangsa dimeterai. Semua ini sebagai tanda wujud sebuah sistem kesultanan berdaulat. Di sinilah gagasan kedaulatan raja menjadi asas pemerintahan.

Merujuk kepada ekosistem politik Malaysia yang semakin kompleks, peranan institusi Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja semakin relevan serta signifikan.

Perkara ini dibuktikan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) apabila Barisan Nasional (BN) kalah dan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan baharu. Pada masa inilah, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, bertitah pembentukan kerajaan baharu perlu disegerakan demi kepentingan rakyat.

Berikutan itu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V menitah memanggil kerajaan yang baru dibentuk untuk menghadap baginda.

Dalam pergolakan politik terkini juga memperlihatkan pendekatan pertama dalam sejarah negara apabila Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah meleraikan konflik politik pada Februari lalu. Baginda menemubual sendiri semua Ahli Parlimen bagi mendapat maklum balas dan pendapat anggota Dewan Rakyat.

Kebijaksanaan raja dalam pentadbiran sesebuah kerajaan secara lazimnya sudah lama dibuktikan dari zaman Kesultanan Melayu Melaka apabila raja mengetuai semua sektor daripada politik, ekonomi, hubungan antarabangsa hingga sektor pertahanan kerajaan yang suatu masa dulu sebuah kerajaan unggul di Asia Tenggara.

Secara tuntasnya, kuasa raja seharusnya tidak boleh diganggu-gugat. Sesiapa pun yang memerintah Malaysia kelak akan terikat dengan Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan meletakkan institusi Raja-Raja Melayu di suatu sudut amat kukuh dan tidak boleh diganggu gugat.

Bahkan, dalam Artikel 32 Perlembagaan Negara amat jelas dinyatakan Ketua Utama Negara bagi Persekutuan digelar Yang di-Pertuan Agong yang mengambil keutamaan mengatasi segala orang dalam Persekutuan dan yang tidak boleh didakwa dalam sebarang perbicaraan dalam mana-mana mahkamah kecuali di Mahkamah Khas.

Percayalah keamanan dan kemakmuran kita kecapi hari ini berpunca daripada sikap hormat kita terhadap tradisi, adat dan budaya Malaysia yang terbukti berjaya mengekalkan keamanan dan kestabilan negara selama ini.

Penulis adalah Penyelidik Kanan, Yayasan Pusat Polisi dan Hal Ehwal Ekonomi (PEACE)

Berita Harian X