Isnin, 22 Jun 2020 | 11:00am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Realiti keperluan hutang kerajaan

Susulan kesan COVID-19 yang julung kali melanda, kerajaan seluruh dunia, termasuk Malaysia terpaksa meningkatkan perbelanjaan dengan meminjam atau mengeluarkan hutang awam.

Adakah ini perlu? Tidak bolehkah kerajaan mencetak wang untuk diagihkan supaya setiap orang mempunyai wang untuk berdepan ekonomi merudum?

Meskipun kerajaan boleh mencetak wang, tidak bermakna ia boleh berbuat demikian sewenang-wenangnya.

Pada prinsipnya, mencetak wang untuk meningkatkan perbelanjaan bagi mengelak berhutang adalah tidak wajar dalam keadaan mata wang negara mengalami penyusutan ketara beberapa tahun kebelakangan ini.

Mencetak wang akan menambah tekanan penyusutan terhadap nilai ringgit kerana pasaran mata wang asing menjangkakan kerajaan akan mencetak lebih banyak lagi wang pada masa depan.

Realitinya, mencetak wang akan disusuli lebih banyak pencetakan wang seperti berlaku di Zimbabwe dan Republik Weimar (Jerman) pasca Perang Dunia Pertama.

Oleh itu, kita masih perlu mengeluarkan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) bersama Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) dan sukuk untuk menampung perbelanjaan pembangunan dan infrastruktur negara.

Ini bukan sahaja dapat mengekalkan integriti ringgit, tetapi juga mendorong permintaan baharu daripada pelabur atau pembeli asing.

Namun risikonya, pelarian modal atau penjualan sebelum sekuriti itu tamat tempoh.

Tidak seperti pasaran modal, apabila merujuk pasaran bon kerajaan, ia dengan mudah dapat dibeli pada pasaran kedua oleh Bank Negara Malaysia (BNM) - walaupun terbatas bersama bank komersial.

Tambahan pula, pencetakan wang harus menjadi pilihan terakhir.

Kali terakhir BNM dikatakan mencetak wang ketika Krisis Kewangan Asia 1997/98 ketika Danaharta mengeluarkan bon kupon sifar bertaraf tiga A untuk pelabur institusi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah, dana pencen dan syarikat insurans, yang kemudiannya ditukar dengan pinjaman tidak berbayar (NPL) daripada bank yang mengambil bahagian.

Namun, terdapat kebimbangan mengenai tahap hutang kerajaan berdasarkan analogi dengan perbelanjaan 'isi rumah'.

Dengan kata lain, mereka bimbang beban hutang kerajaan sekarang akan ditanggung generasi akan datang dalam bentuk cukai lebih tinggi.

Secara umumnya, setiap kerajaan di seluruh dunia termasuk Malaysia, menghidupkan semula hutang yang lupus dengan menerbitkan hutang baharu. Malah, ada hutang berterusan antara tempoh 50 hingga 100 tahun.

Ketika kemelesetan ekonomi 2008 yang tidak begitu menjejaskan Malaysia kerana sistem kewangan kukuh dan stabil berdasarkan nisbah kecukupan modal yang tinggi, defisit belanjawan negara adalah 7 peratus, bahkan lebih tinggi sebelum itu.

Kerajaan menyasarkan untuk mengurangkan defisit belanjawan sekitar 3 hingga 3.5 peratus jumlah keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebelum COVID-19, lantas kita masih memiliki ruang meningkatkan pinjaman dan seterusnya perbelanjaan.

Ini sekali gus menggandakan defisit seperti ditegaskan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Apakah faedah pinjaman kerajaan atau mengeluarkan hutang awam? Pertama, hutang kerajaan sebenarnya lanjutan daripada dasar monetari kerajaan, iaitu kadar dasar semalaman (OPR) ditetapkan BNM.

OPR bertujuan mempengaruhi kadar faedah pasaran. Walaupun kadar pulangan MGS tidak mempengaruhi kadar faedah pasaran secara langsung, mereka tetap mempengaruhi harga sekuriti hutang sektor swasta seperti bon korporat dan pasaran wang.

Seterusnya, ini akan menjadi pertimbangan dalam kunci kira-kira bank dan lantaran itu, pengiraan kadar faedah dasar (BR) digunakan untuk pinjaman.

Kedua, sama seperti bon kerajaan, ia tempat perlindungan selamat untuk pelaburan dalam aset berdaulat dan tanpa risiko.

Kira-kira 97 peratus hutang negara adalah dalam ringgit, lantas kemungkinan kerajaan gagal bayar adalah hampir sifar.

Sudah tentu ini menimbulkan persoalan mengenai percetakan wang. Namun, kita tidak perlu menggunakannya sebagai jalan keluar. Perlu diingat kerajaan akan selalu berada dalam keadaan untuk terus melanjutkan hutang yang lupus dengan mengeluarkan hutang baharu.

Ketiga, keperluan hutang kerajaan dapat dilihat melalui peranan dan nilainya sebagai penyedia kecairan untuk pasaran kewangan, walaupun secara kitar semula.

Dana diperoleh pemiutang sektor swasta melalui suntikan fiskal langsung disedut keluar daripada ekonomi dan masuk semula ke tabung kerajaan.

Pada masa sama, bon secara automatik menjadi sebahagian sistem kewangan sedia untuk diperdagangkan atau digunakan sebagai cagaran untuk pinjaman. Inilah cara kecairan sistem kewangan dikembangkan.

Oleh itu, hutang kerajaan bertindak dan berfungsi sebagai pendukung kestabilan pasaran kewangan dengan memastikan kecairan yang mencukupi tanpa perlu bank pusat melaksanakan operasi pelonggaran kuantitatif (QE) adalah penciptaan rizab baharu untuk pertukaran aset berkualiti tinggi.

BNM amat berwaspada dan berhati-hati untuk terbabit dalam QE dan pendekatan sebegini wajar. Kerajaan menyedari keperluan berhemah dalam perbelanjaan dan pinjaman, oleh itu siling 55 peratus nisbah hutang-KDNK disasarkan.

Hutang kerajaan sememangnya perlu. Kerajaan tidak akan mempertaruhkan masa depan kewangan negara dengan mencetak wang sewenang-wenangnya dan juga tiada bahaya 'pinjaman berlebihan'.

Tambahan pula, penting untuk memastikan hutang digunakan untuk hasil produktif yang mempunyai kesan berlipat ganda. Bukan untuk perbelanjaan tidak produktif dalam pembinaan gajah putih atau projek mega lain yang tidak produktif.

Penulis adalah Ketua Bahagian Sosial, Perundangan dan Hak Asasi di EMIR Research

Berita Harian X