Sabtu, 21 March 2020 | 11:01am
Gambar fail, tinjauan pencemaran Sungai Selangor berhampiran Loji Rawatan Air (LRA) iaitu LRA Sungai Selangor Fasa 2 berikutan ada unsur pihak yang sabotaj dan mencemarkan Sungai Selangor. - Foto Zunnur Al Shafiq
Gambar fail, tinjauan pencemaran Sungai Selangor berhampiran Loji Rawatan Air (LRA) iaitu LRA Sungai Selangor Fasa 2 berikutan ada unsur pihak yang sabotaj dan mencemarkan Sungai Selangor. - Foto Zunnur Al Shafiq

Kaedah biotapisan penyelesaian efektif sumber air

Akhir tahun lalu, pembuangan sisa secara haram di salur air limbah terawat Indah Water Konsortium (IWK) menyebabkan sungai di Selangor mengalami pencemaran teruk. Lebih memburukkan lagi, ini bukan kali pertama rakyat berhadapan krisis bekalan air gara-gara sumber air sungai dicemari.

Ia membawa kepada satu persoalan penting: Sekiranya insiden ini berulang, apakah cara memastikan ia dapat ditangani lebih proaktif dan efektif? Dapatkah kita memintas pencemaran itu bagi mengurangkan kesan kepada pengguna?

Dalam konteks pengurusan pencemaran sungai, fokus biasanya diberikan kepada jumlah kepekatan bahan pencemar tertentu dalam air sungai. Adakalanya siasatan dijalankan tidak mencukupi kerana pelbagai kekangan, termasuk kos dan masa.

Selain itu, hasil siasatan untuk penentuan kualiti air sungai biasanya menjurus kepada kualitatif dan bersifat one-off, iaitu merujuk keadaan air pada waktu semasa sampel air dan tidak menunjuk perubahan kualiti air mengikut masa.

Secara semula jadi, sungai mempunyai mekanisme tersendiri untuk ‘pembersihan kendiri’, manakala pemacu utama segala proses dalam aliran sungai adalah limpahan sungai itu sendiri (river flow). Sekiranya aliran sungai mempunyai jumlah aliran mencukupi, kebanyakan jenis bahan cemar boleh ‘dibersihkan’ secara semula jadi.

Sistem dan proses sungai sangat dinamik dan rumit dengan setiap bahagian sungai, iaitu dari hulu ke hilir mempunyai tindak balas berbeza terhadap bahan cemar memasuki saluran sungai berkenaan.

Oleh itu, pendekatan mengenal pasti kualiti air sungai seharusnya melihat aspek luahan sungai sebagai pemacu dalam penentuan tindak balas sungai terhadap bahan cemar. Seperti dimaklum, aliran air di bahagian hulu lebih deras yang sekiranya ada sebarang bahan cemar memasuki bahagian berkenaan, ia lebih mudah ‘dibersihkan’ secara semula jadi disebabkan aliran air deras.

Namun, sekiranya bahan cemar memasuki di bahagian tengah (biasanya berliku-liku) dan hilir, kemungkinan untuk bahan cemar untuk terus menumpuk serta kekal lebih lama dalam jasad air adalah tinggi.

Justeru, soalan pertama patut ditanya setiap kali kejadian pencemaran sungai berlaku adalah di bahagian manakah ia berlaku? Ini bagi mengenal pasti sejauh mana bahan cemar bertindak balas dengan aliran air sungai di bahagian berkenaan.

Soalan kedua: Berapa jauhkan titik pencemaran kepada titik impak? Titik impak merujuk kepada bahagian sungai yang mempunyai kepentingan kritikal atau lebih dikenali reseptor sensitif, contohnya titik pengambilan air.

Soalan ketiga: Berapa lamakah diambil untuk bahan pencemar tiba di titik impak berkenaan? Sempatkah kita memintas pencemaran sebelum ia tiba di titik impak atau kita hanya perlu memikirkan pelan pembetulan selepas tiba di titik impak?

Kita perlu beranjak daripada pendekatan sedia ada dalam menangani isu pencemaran sungai. Pendekatan proaktif dan objektif adalah sangat kritikal dalam pembentukan keputusan berkaitan.

Sebanyak 97.6 peratus sumber air mentah negara adalah daripada air permukaan, terutama sungai. Disebabkan kebergantungan tinggi dan kejadian pencemaran sungai semakin sukar dibendung, negara perlu mempertimbang alternatif lebih selamat seperti pengambilan air mentah dari sungai secara tidak langsung seperti melalui kaedah biotapisan sungai (river biofiltration).

Kaedah biotapisan sungai digunakan secara aktif di kebanyakan negara maju seperti di Eropah. Kaedahnya lebih kos-berkesan dalam menyingkirkan pelbagai jenis bahan cemar organik dan bukan organik, termasuk sebatian berbahaya, toksik dan sukar diuraikan seperti logam berat dan sebatian pengganggu ekdokrin (EDC).

Tidak dinafikan kos awal semasa pembinaan sistem biotapisan akan sedikit tinggi, namun dengan keberkesanannya dalam meningkatkan kualiti air mentah sungai, ia pelaburan berbaloi untuk jangka panjang dan rakyat tidak lagi khuatir mengenai catuan air setiap kali insiden pencemaran sungai berlaku.

Persoalan tepat dan penyelesaian efektif dapat membantu pengurusan sumber air negara lebih efisien, sekali gus dapat mengurangkan kesan kepada sosioekonomi negara untuk jangka panjang.

Penulis adalah Pensyarah Jabatan Alam Sekitar, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian X