Khamis, 5 March 2020 | 11:31am
Gajah diburu kerana gadingnya. - NSTP/Ihsan Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS)
Gajah diburu kerana gadingnya. - NSTP/Ihsan Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS)

Ekosistem, manusia rosak jika hidupan liar musnah

Perdagangan dan perburuan hidupan liar bukan sahaja merosakkan ekosistem, bahkan berpotensi membawa penyakit termasuk yang baru ditemui, tetapi mampu mengancam manusia.

Walaupun kewujudan hidupan liar amat penting untuk mengekalkan ekosistem, ia menghadapi kepupusan sangat serius akibat kegiatan pemburuan haram.

Ini mewujudkan sumber ancaman baharu kepada manusia kerana haiwan mempunyai penyakit tersendiri yang dibawa virus dan bakteria. Biasanya, ia tidak berbahaya, tetapi jika menjangkiti manusia, kemungkinan besar ia akan menjadi terlalu sukar ditangani.

Isu perdagangan hidupan liar muncul dalam pelbagai laporan pada peringkat awal penularan coronavirus (COVID-19) dan kebanyakan pakar percaya penyakit itu bermula kerananya.

Perdagangan hidupan liar adalah ancaman utama kepada haiwan tanpa mengira spesies atau sama ada eksotik atau tidak. Pemburu haram tidak peduli sama sekali, selagi ada permintaan pasaran, mereka akan memburu haiwan berkenaan.

Gajah umpamanya diburu kerana gading. Ini menyebabkan penurunan besar jumlah gajah, sekali gus memberikan impak serius terhadap sekitaran kita. Menurut laman web One Green Planet, bilangan gajah dan jumlah pokok sangat berkaitan.

Penyelidik mengesan tren menyedihkan, iaitu dalam kawasan gajah pupus, sesetengah spesies pokok turut pupus kerana gajah spesies paling penting dalam membantu penyebaran banyak benih pokok dan tanaman dalam masa singkat.

Di hutan Asia, biji benih besar memerlukan haiwan herbivor gergasi seperti gajah untuk menyebarkan benih.

Perburuan dan perdagangan hidupan liar juga dikatakan bertanggungjawab terhadap penyebaran wabak penyakit juga.

COVID-19 dikatakan berasal daripada pasaran perdagangan hidupan liar yang menjual haiwan eksotik untuk dimakan. Bagaimanapun, ia bukan kali pertama penyakit berasal daripada haiwan disebarkan kepada manusia.

Sebaliknya, kebanyakan wabak besar coronavirus dikesan sebagai bermula daripada hidupan liar.

Wabak utama pertama memberi impak besar kepada masyarakat kita ialah virus yang menyebabkan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) berasal daripada kelawar. Virus SARS kemudian disebarkan ke musang dan akhirnya ke manusia.

Coronavirus bukan satu-satunya virus yang berasal daripada haiwan. HIV dan Ebola juga berasal daripada hidupan liar. HIV berasal daripada kera dan monyet, manakala Ebola pula berasal daripada kelawar.

Dengan semua implikasi ini, jelas kita harus berusaha gigih mengekang dan menghapuskan perdagangan hidupan liar demi untuk melindungi ekosistem dan manusia daripada jangkitan penyakit tidak diketahui.

Namun, apakah Malaysia sudah melakukan yang terbaik dalam mengatasi pemburu haram dan perdagangan hidupan liar?

Kita mempunyai pelbagai undang-undang di seluruh negara. Akta melindungi hidupan liar lebih kurang sama satu sama lain. Perbezaan hanya hukuman kepada pesalah.

Namun, dalam ketiga-tiga Akta dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak, hidupan liar masih tidak dilindungi sepenuhnya daripada perdagangan serta pemburu haram.

Semua undang-undang melindungi hidupan liar di seluruh Malaysia membenarkan pemburuan dan perdagangan dengan permit dan lesen, selagi perburuan atau perdagangan mematuhi peraturan atau undang-undang.

Walaupun pemburu berbeza antara mereka, kesan kegiatan tetap sama iaitu membunuh dan memusnahkan hidupan liar. Dengan lain perkataan, hidupan liar masih terancam.

Kita perlu memperkukuhkan undang-undang untuk melindungi hidupan liar dengan lebih baik. Semua perburuan hidupan liar dilindungi harus dilarang dengan atau tanpa lesen memburu atau permit khas.

Walaupun undang-undang untuk melindungi hidupan liar di Malaysia Timur menawarkan perlindungan sepenuh untuk hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya, undang-undang semasa bagi Semenanjung masih membuat pengecualian untuk pemburu dengan permit khas yang masih boleh memburu hidupan liar dilindungi sepenuhnya seperti gajah dan harimau.

Walaupun cadangan itu akan dapat melindungi hidupan liar, ia juga akan menimbulkan kemarahan kepada kalangan pemburu dalam masyarakat kita. Namun, ia perkara betul untuk dilakukan.

China yang paling ramai dijangkiti COVID-19, meningkatkan usaha membendung perdagangan hidupan liar baru-baru ini. Tidak ada alasan untuk kita tidak mengikutinya.

Dari segi hukuman pemburu haram, kerajaan harus mengenakan hukuman lebih berat. Hukuman sedia ada tidak cukup untuk menghalang mereka daripada memburu hidupan liar.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pemuliharaan hidupan liar menggesa kerajaan mengamalkan langkah lebih kukuh terhadap pemburu haram yang memburu kucing besar terancam, terutama harimau Malaya kerana jumlahnya semakin berkurangan hingga tahap kurang 200 ekor.

Mereka bahagian amat penting dalam sekitaran dan ekosistem kita. Sedang kita terus melangkah ke depan dalam memajukan teknologi dan negara, kita juga perlu menjaga hidupan liar kerana jika hidupan liar dimusnahkan, ekosistem kita juga akan mengalami kerosakan dan begitu juga manusia!

Penulis adalah Pasukan Penyelidik di EMIR Research

Berita Harian X