Jumaat, 17 Januari 2020 | 11:00am
SISTEM pendidikan tanah air seharusnya mewujudkan jati diri tinggi dalam kalangan murid. - Foto hiasan
SISTEM pendidikan tanah air seharusnya mewujudkan jati diri tinggi dalam kalangan murid. - Foto hiasan

Sistem pendidikan asas bina jati diri murid

SISTEM pendidikan tanah air seharusnya mewujudkan jati diri tinggi dalam kalangan murid, melalui aktiviti kurikulum dan kokurikulum hingga dapat menghasilkan negara bangsa kukuh dan berdaya maju.

Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) Bahasa Melayu digubal Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) menggunakan pendekatan modular dan pembelajaran didik hibur serta pentaksiran secara holistik.

Ia bertujuan mencungkil potensi murid meneroka pelbagai bidang ilmu pengetahuan, mengembang dan menilai keupayaan penguasaan kemahiran berbahasa dengan mempamerkan keterampilan serta kecekapan berbahasa.

DSKP Bahasa Melayu sekolah menengah menjunjung peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, rasmi, perpaduan, ilmu dan pengantar di sekolah. Ia juga pemangkin memahami akal budi, pemikiran dan sosiobudaya penuturnya ke arah melahirkan semangat cinta bahasa dan tanah air dikongsi bersama demi memartabatkan bahasa Melayu.

Transformasi dalam sistem pendidikan amat dituntut memandangkan dunia pendidikan semakin mencabar akibat globalisasi. Ia diharap melahirkan warganegara yang mampu bertindak bijak menghadapi cabaran itu.

Kurikulum Bahasa Melayu cuba merealisasikan peranan bahasa ini sebagai bahasa kebangsaan dan perpaduan rakyat. Hasratnya untuk membina integrasi nasional dan rasa bangga terhadap bahasa yang mencerminkan akal budi serta pemikiran rakyat, selain pemangkin semangat nasionalisme.

Pemerkasaan bahasa Melayu pada peringkat persekolahan diangkat sebagai strategi utama dalam mencapai matlamat pembinaan negara bangsa melalui sistem persekolahan. Pemerkasaan sesuatu bahasa pula bermaksud memberi peranan kepada bahasa untuk digunakan sepenuhnya dalam apa-apa juga bidang.

Bahasa yang sudah mengalami pemerkasaan digunakan dalam perbahasan bersifat intelektual yang dapat menimbulkan strategi penaakulan dalam memperkatakan apa jua bidang ilmu. Ia meliputi bidang saintifik atau akademik.

Bahasa perlu diperkasakan supaya dapat digunakan secara kreatif dalam menimbulkan ciri keindahannya dalam memberikan gambaran pelbagai jenis emosi, cita rasa, keinginan, cita-cita, sifat dan perilaku manusia yang sedalam-dalam dan sehalus-halusnya seperti yang digambarkan dalam karya kesusasteraan peringkat tinggi.

Pemerkasaannya merujuk pada usaha penggunaan sepenuhnya bahasa Melayu dalam sistem persekolahan sama ada sebagai bahasa pengantar, ilmu, perhubungan dan perpaduan untuk mencapai matlamat pembinaan negara bangsa dan pembentukan identiti kebangsaan.

Pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah pula perlu berkonsepkan Bahasa Melayu Merentas Kurikulum yang memberi impak kepada murid. Kementerian Pendidikan juga memastikan guru sentiasa dilatih supaya dapat mengajar Bahasa Melayu dengan lebih menarik dan berkesan. Terdapat empat pemboleh ubah umum yang penting dalam hal ini, iaitu pengajaran bilik darjah, konteks, proses dan produk.

Antara aspek diberi tumpuan ialah latar belakang, pengalaman latihan mengajar, ciri dan amalan pengajaran guru. Turut ditumpukan ialah latar belakang, ciri, gaya pembelajaran, perubahan amalan, kesan jangka pendek dan kesan jangka panjang kepada murid, selain sekolah, persekitaran dan bilik darjah.

Oleh itu, dalam usaha melahirkan individu berprestasi antarabangsa, nilai budaya Malaysia harus menjadi asas pegangan. Konsep negara bangsa yang ingin dibentuk mencerminkan rakyat berbilang kaum dan agama berkongsi identiti, lambang, kebudayaan, nilai serta semangat yang menjadi ciri dan hasrat negara bangsa.

Fokus dalam membina negara bangsa perlu mencakupi usaha memperkasakan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar dan ilmu.

Pembinaan negara bangsa bagi negara berbilang kaum seperti Malaysia amat dituntut, terutama dalam era globalisasi dicirikan pengaliran pantas maklumat, modal insan, nilai, budaya dan kepercayaan tanpa sempadan merentas negara.

Memandangkan ciri globalisasi yang memberi pendedahan dan akses mudah pada pelbagai perkara, penting untuk menekankan penghasilan individu murid berteraskan nasional atau tempatan, tetapi mempunyai minda bertaraf dunia.

Penulis adalah Profesor Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Berita Harian X