Isnin, 29 Julai 2019 | 11:00am
Keratan akhbar BH pada 19 Mac lalu.
Keratan akhbar BH pada 19 Mac lalu.

Manfaat dedah isu ikat perut

PELAJAR Universiti Malaya (UM), Nurul Azwa Abu Mansor, 23, sebelum ini kerap mengikat perut, selain berpuasa atau makan sajian berat sekali sehari untuk menjimatkan kos hidup di kampus.

Siswi jurusan Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan itu mengakui kos bidang perubatan tinggi menyebabkannya perlu berjimat cermat.

Kekangan kewangan keluarga menyebabkan anak petani berasal dari Alor Setar, Kedah itu kerap kali memilih sama ada makan tengah hari atau malam dan jika langsung tiada duit, akan memilih untuk berpuasa.

Kini dilema dihadapinya sudah berakhir kesan pendedahan Berita Harian (BH) mengenai nasib penuntut UM terpaksa menahan lapar kerana kesempitan kewangan, Mac lalu.

Nurul Azwa antara 53 penuntut daripada keluarga miskin di universiti awam (UA) itu yang sebelum ini kerap mengikat perut, kini menarik nafas lega kerana menerima bantuan makanan harian sejak awal Mei lalu.

Setiap seorang daripada pelajar terbabit menerima bantuan kewangan RM3,000 setahun untuk perbelanjaan makan dan minum mereka.

Jelas sekali di sebalik fungsi akhbar konvensional yang dikatakan semakin terhakis berikutan kemunculan media digital, sebenarnya pengaruh akhbar cetak kekal relevan.

Ini terbukti apabila pendedahan itu menimbulkan simpati bekas Presiden Persatuan Alumni Perubatan UM, Dr Mohamad Fadzil Man, yang kemudian mengambil inisiatif mengumpul dana membantu pelajar terbabit.

Bantuan membabitkan kewangan berjumlah RM175,000 setakat ini adalah sumbangan 174 individu dengan kebanyakannya ahli Group Golf Buaya, iaitu sebuah kelab yang menganggotai Kelab Golf Diraja Selangor.

“Sebagai alumni UM, saya sangat sedih dan bersimpati dengan nasib pelajar daripada keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) di UA itu yang sebelum ini sering mengikat perut,” kata Dr Mohamad Fadzil.

Atas sebab itu Dr Mohamad Fadzil mengambil inisiatif mengumpul dana membantu pelajar terbabit dan ada kalangan individu menyahut usahanya membantu menghulurkan sumbangan.

Sumbangan dikumpul diserahkan kepada Dekan Fakulti Perubatan UM, Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman dan Pengetua Kolej Kediaman Keenam (Ibnu Sina) UA, Prof Madya Dr Aizura Syafinaz Ahmad Adlan yang juga Presiden Persatuan Alumni Perubatan UM.

Pendedahan BH berhubung pelajar miskin yang terpaksa mengikat perut pada Mac lalu, turut mendapat perhatian Tun Dr Mahathir Mohamad. Perdana Menteri itu dilapor berkata, kerajaan bersedia menyalurkan bantuan makanan lengkap kepada mahasiswa UA jika ada peruntukan kewangan mencukupi.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pula menyasarkan 20,000 mahasiswa daripada keluarga B40 menerima bantuan menerusi program Food Bank Siswa Malaysia menjelang hujung tahun ini.

Selain peranan akhbar arus perdana, alumni di sesebuah UA dan sekolah juga perlu kembali ke ‘alma mater’ untuk membantu pelajar memerlukan seperti dilakukan Dr Mohamad Fadzil dan rakan.

Isu pelajar UM mengikat perut dengan sendirinya membuktikan betapa pentingnya budaya endowment atau memberi balik kepada institusi yang pernah menjadi tempat menimba ilmu. Bak kata pepatah Melayu, ‘Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain’.

Budaya endowment di negara ini dipelopori Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerusi Tabung Pendidikan 1Bilion (TP1B) yang dilancarkan pada 2015.

Bagaimanapun, tidak semestinya bantuan hanya membabitkan kewangan, sebaliknya ia mencakupi sumbangan kepakaran dan kemahiran alumni untuk peningkatan akademik.

Teringat pula kisah sekitar 1995 dan 1996 dulu, di mana saya dan rakan serta masyarakat kampung menubuhkan Kelas Bimbingan Akademik (KBA) yang menjalankan program tuisyen secara percuma untuk membantu murid di alma mater kami, Sekolah Kebangsaan (SK) Labuan di Kota Belud, Sabah.

Hakikatnya peranan akhbar konvensional mendedahkan isu masyarakat nyata memberi manfaat kepada golongan sasar, manakala sumbangan alumni kepada alma mater menerusi budaya endowment pula seharusnya dipertingkatkan di negara ini.

Penulis adalah wartawan Meja Am Berita Harian

Berita Harian X