Sabtu, 6 Julai 2019 | 11:29am
Foto Hiasan.
Foto Hiasan.

Ke mana arah tuju bahasa Melayu?

PERIHAL kedudukan bahasa Melayu sudah terlalu lama diperkatakan misalnya, akhbar Saudara terbitan 1930-an, menekankan kepentingan orang Melayu untuk belajar dan menghargai bahasa ibunda selain keperluan untuk bahasa itu dipertingkatkan.

Hal ini disebabkan sikap orang Melayu sendiri yang mula mengabaikan bahasa ibunda apabila masuk ke sekolah Inggeris malah merasakan bahasa itu lebih ‘superior’ berbanding bahasa Melayu.

Perbincangan sedemikian bukanlah untuk menafikan kepentingan bahasa Inggeris yang dilihat sebagai kunci kepada peradaban moden namun mempelajari bahasa asing jangan sampai meminggirkan kedudukan bahasa Melayu.

Teguran yang dibuat akhbar Saudara pada 24 Ogos 1932 itu bagaimanapun tidak berkesan kepada masyarakat Melayu khasnya dan keseluruhan warga Malaysia umumnya. Hal ini boleh dibuktikan apabila selepas 62 tahun merdeka, meskipun kedudukan bahasa Melayu dijamin Perlembagaan sebagai bahasa rasmi, ia tidak digunakan secara menyeluruh.

Bahasa Melayu sering dipandang rendah, dilihat sebagai bahasa yang tiada nilai ekonomi malah kebanyakan warganegara lebih selesa memilih bahasa Inggeris dan Mandarin, kerana kedua-duanya dilihat memiliki nilai ekonomi yang kukuh.

Hal ini diburukkan lagi dengan dasar pendidikan nasional yang tidak teguh memperjuangkan bahasa Melayu apabila memperkenalkan program pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2003 iaitu selepas hampir 46 tahun merdeka.

Antara sebabnya dikatakan kerana orang Melayu, terutama sangat lemah dalam penguasaan bahasa Inggeris. PPSMI walaupun ditamatkan sepenuhnya dengan cara soft landing pada 2012, rohnya dijelmakan dalam program baharu dikenali sebagai program dwibahasa (DLP). Berbeza dengan PPSMI, DLP diberi secara pilihan.

Pada 2016, DLP dimulakan membabitkan 300 sekolah, namun sehingga Januari 2018, 1,429 sekolah menawarkan DLP manakala Sarawak bakal menjadi negeri pertama melaksanakan DLP secara sepenuhnya pada 2020 membabitkan kos RM9 juta.

Tekad Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan program ala PPSMI ini kelihatannya akan dilakukan secara bersungguh-sungguh berikutan pengumuman menterinya, Dr Maszlee Malek yang menyebut pihaknya akan melaksanakan inisiatif baharu bagi meningkatkan kualiti pendidikan, termasuk pengajaran Sains dan Matematik untuk memastikan pelajar bersedia menghadapi Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).

Semua keputusan ini meletakkan orang Melayu khususnya dalam dilema. Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Majlis Permuafakatan Melayu (MPM) menyifatkan tindakan ini hanya menyukarkan anak bangsa. MPM adalah antara NGO melancarkan gerakan menentang PPSMI yang mendapat sokongan lebih 16 NGO dengan keahlian mencecah ratusan ribu anggota, antaranya Persatuan Pesara Perkhidmatan Pendidikan Malaysia yang diterajui Datuk Abdul Raof Hussin.

Abdul Raof dalam temu bual dengan BH menyebut, meskipun Sarawak akan melaksanakan DLP pada 2020, DLP tidak akan terpakai di 219 sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan hal ini dinyatakan sendiri oleh Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Datuk Seri Michael Manyin.

Keadaan ini jelas Abd Raof memperlihatkan kuatnya kesatuan Persatuan Pendidikan Cina mempertahankan hak mereka dan ia tidak hanya berlaku di Sarawak tetapi juga di sekolah SJKC di Semenanjung, namun tidak sedemikian halnya dalam kalangan orang Melayu.

“PPSMI adalah program yang gagal dan ia sudah dibuktikan secara empirikal. Mewujudkan lagi program seumpama itu akan merugikan wang rakyat. Malah kajian oleh Pemuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina), malah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sendiri jelas menunjukkan kesan amat negatif akibat pelaksanaan PPSMI selama tujuh tahun dari 2003 hingga 2009.

“Penguasaan kemahiran berbahasa Inggeris cuma meningkat kira-kira empat peratus selama tujuh tahun PPSMI dilaksanakan berbanding wang lebih RM5 bilion dibelanjakan,” katanya. Tegas Abdul Raof, PPSMI menyebabkan kekurangan pelajar mengambil kursus bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) secara berterusan.

Nisbah pelajar yang mengambil aliran sains dan sastera kini adalah 20:80. Hal ini diperkukuhkan dengan data dan statistik oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang menyebut kemungkinan Malaysia perlu mengimport dan bergantung kepada tenaga profesional dari negara luar bagi menampung keperluan 493,830 pekerja mahir dalam bidang STEM.

Sehingga 2020, Malaysia hanya mampu mengeluarkan 257,830, kekurangan 236,000. Pandangan dan kebimbangan Abdul Raof dan MPM memang perlu diambil kira apatah lagi jika kita melihat kebanyakan pemimpin masa kini adalah hasil didikan sistem pendidikan sebelum PPSMI.

Malah, kebanyakan pemimpin politik hari ini yang bergelar menteri kabinet pernah berjuang menentang PPSMI, melaung dan bersorak dalam hampir setiap demonstrasi. Lalu, apabila mereka ditampuk kuasa, apa sudah jadi?

Dalam hal ini, Sasterawan Negara Ke-12, Datuk Dr Baharuddin Zainal (Baha Zain) turut terkesan, malah dalam satu eseinya, Apa Ada Pada Kata-Kata terbitan 2013, beliau menulis begini; “jika hendak membunuh sesuatu bangsa itu, serang mereka habis-habisan. Jika tidak mampu, bunuhlah bahasanya. Lama kelamaan mereka akan kehilangan wajah dan maruah lalu bertukar menjadi manusia lain.”

Penulis adalah wartawan, Meja Sastera Berita Harian

Berita Harian X