Selasa, 18 Jun 2019 | 11:00am
- Foto Hiasan
- Foto Hiasan

Artis usah jadi hamba media sosial

SEJAK tahun lalu, kes penyebaran video memaparkan aksi tidak senonoh, tidak kurang juga ‘X-rated’ yang dipercayai membabitkan artis tempatan, makin menjadi-jadi.

Seorang demi seorang artis, terutama lelaki tampil menafikan dakwaan kononnya terjebak rakaman video tidak bermoral atau setidak-tidaknya mendakwa diri menjadi mangsa konspirasi, mahu pun percubaan musuh meranapkan reputasi diri.

Benar atau tidak, gejala video ‘panas’ viral dalam kalangan artis mahu pun selebriti, mencetuskan persoalan mengenai moral dan siasah empunya diri, biarpun apa yang dicari mungkin sekadar gimik atau kemasyhuran seketika yang andai gagal dikawal, bisa mengundang padah.

Setiap kali rakaman video memaparkan aksi tidak senonoh individu yang didakwa artis dan selebriti tersebar, kita tertanya-tanya, mengapa mereka jika benar, dengan mudah mendedahkan diri kepada anasir negatif, sekali gus mempertaruhkan maruah diri dalam dunia yang ketika ini, berpaksikan kuasa media sosial.

Ramai masih ingat, pertengahan tahun lalu, pelakon meningkat naik, Syafiq Kyle pernah berdepan kontroversi penyebaran video panas ketika musim pertama drama rantaian lakonannya, Nur, melonjak di kaca televisyen.

Diangkat sebagai pelakon harapan menggantikan bintang senior, kontroversi menimpa Syafiq mengejutkan peminat yang rata-rata tidak percaya ‘hero’ baharu ini terbabit kegiatan tidak bermoral.

Bijak mengawal situasi dan enggan membiarkan kontroversi berpanjangan, Syafiq dilihat ‘terselamat’ daripada dihukum atas kesilapan itu, biarpun hingga hari ini, tidak diketahui apa sebenarnya cerita di sebalik penyebaran klip video berkenaan.

Insiden ini sebenarnya patut menjadi pengajaran kepada artis lain, namun selepas kes Syafiq, timbul lagi beberapa kes lain, termasuk membabitkan kumpulan yang digelar ‘Budak-Budak Baru Nak Up’ (BBNU).

Ambil tindakan lebih tegas

Menyedari impak negatif yang timbul kesan daripada perlakuan artis ‘bermasalah’, apatah lagi rata-rata pengikut mereka adalah kanak-kanak dan remaja, sudah sampai masanya pihak berwajib mengambil tindakan lebih tegas terhadap artis dan selebriti yang didapati melakukan kesalahan moral seperti terbabit dalam penyebaran video ‘panas’.

Merenung kembali, kerajaan pernah mengambil tindakan terhadap penyanyi rock berambut panjang pada era 90-an, apabila mereka dianggap memberi pengaruh buruk kepada masyarakat. Sebagai tindakan tegas, kerajaan ketika itu ‘menghukum’ penyanyi rock dengan memotong rambut mereka, sebagai syarat untuk muncul dalam program TV.

Biarpun ada yang menganggap tindakan kerajaan itu ekstrem, secara dasarnya kita dapat melihat kesungguhan pihak berkuasa dalam menangani apa yang boleh dikaitkan dengan gejala moral dan imej penyanyi rock ketika itu.

Berbalik kepada situasi semasa, peningkatan penularan kes rakaman video terlarang dalam kalangan artis dan selebriti, membuka ruang perdebatan apakah wajar pihak berwajib seperti Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta stesen televisyen mengenakan tindakan ‘gam’ terhadap artis yang terbukti bersalah.

Dalam hal ini, suatu bentuk kesedaran perlu diberi kepada artis yang banyak berdepan masalah moral atas dasar mereka sepatutnya menjadi ikon masyarakat, bukannya menjadi ikutan atas sesuatu perlakuan negatif.

Dalam perkembangan berkaitan, pada era digital, media sosial diakui mempunyai peranan besar dalam merapatkan hubungan artis dengan peminat. Melaluinya, artis bebas berkongsi apa sahaja dengan kelompok sasaran, hingga dalam banyak keadaan, tidak perlu lagi bergantung kepada media tradisional bagi menghebahkan sebarang perkembangan atau pemberitahuan.

Namun ada ketikanya, artis dan selebriti menjadikan media sosial sebagai suatu bentuk escapism daripada realiti kehidupan mereka sendiri. Dalam berkongsi pelbagai maklumat dan sisi peribadi, ada baiknya artis mengehadkan pendedahan diri mereka di laman sosial bagi mengelak hilang nilai eksklusif.

Artis terutama nama besar, perlu sedar ada harga yang perlu dibayar dalam setiap perkongsian. Andai disogok saban hari, mungkin peminat bosan dan mula unfollow hanya kerana bosan aksi melayan suami atau menggoreng ikan di dapur, dikongsi setiap hari tanpa rasa apa-apa.

Berita Harian X