Khamis, 14 March 2019 | 12:03pm
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Atasi masalah denggi seperti isu rokok

Entah di mana silapnya, Selangor terus merekodkan kes denggi tertinggi berbanding negeri lain pada setiap tahun, walaupun pelbagai usaha sudah dilakukan kerajaan negeri dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan.

Berdasarkan statistik terkumpul di Selangor dari 30 Disember 2018 sehingga 11 Mac 2019 merekodkan 17,184 kes denggi, berbanding Johor yang menjadi negeri kedua tertinggi dengan hanya 2,464 kes.

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim ketika dihubungi BH, berkata kes terkumpul dalam tempoh itu menunjukkan peningkatan mendadak sebanyak 177 peratus, manakala 17 kematian pula direkodkan di Selangor antara 1 Januari sehingga 11 Mac 2019.

Hakikatnya, bukan sedikit langkah kawalan yang sudah dilakukan, malah banyak tenaga sudah digembleng membabitkan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat setempat untuk mengatasi isu ini.

Saban minggu aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan penempatan, semburan kabus dan kempen pencegahan dilakukan. Kerajaan Selangor turut memperuntukkan RM500,000 kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini bagi menjayakan Kempen Selangor Gempur Aedes 2019.

Selangor kekal ‘juara’ denggi

Peruntukan itu diberikan kepada PBT bagi menguruskan kawasan hotspot denggi yang sukar diakses, selain tidak mendapat kerjasama daripada komuniti. Turut dilakukan kaedah kawalan biologi menggunakan nyamuk toxorhynchites atau lebih dikenali sebagai nyamuk gajah untuk memakan nyamuk lain, termasuk aedes. 

Selain itu, program perintis perangkap nyamuk solar dipasang di Pangsapuri Mentari Court, Petaling Jaya pada April 2018, namun impak daripada semua langkah dilakukan ini amat sedikit.

Pada akhirnya, keputusan yang diperoleh tetap sama, Selangor kekal menjadi ‘juara’ denggi pada setiap tahun.

Faktor demografi dan kependudukan di Selangor yang dianggarkan mempunyai 6.38 juta penduduk sedikit sebanyak menyukarkan usaha membanteras denggi, apatah lagi bilangan warga asing di negeri ini adalah tinggi. 

Perlu diakui tahap kesedaran warga asing terhadap aspek kebersihan persekitaran, terutamanya pembuangan sampah adalah rendah, sekali gus mengundang risiko jangkitan kepada penduduk tempatan yang tinggal berhampiran dengan tempat tinggal warga asing ini.

Berdasarkan tinjauan BH pada hujung Februari lalu di Pangsapuri Alora (Mediterranean 1A) di Taman Sri Muda, Seksyen 25 mendapati sikap warga asing menjadi faktor utama kes denggi terus berlaku.

Denda tak memada

Perkara itu diakui Penasihat Perbadanan Pengurusan Pangsapuri Alora, Fatin Mat Salleh, 43, yang menyifatkan usaha membebaskan kawasan penempatan itu daripada nyamuk aedes hanya sia-sia, jika tapak pembinaan di sekitar kediaman mereka kotor.

Beliau berkata, penduduk sering melakukan gotong-royong, tetapi kawasan berkenaan masih menjadi antara kawasan panas wabak denggi sejak awal tahun ini. Dalam pada itu, undang-undang sedia ada langsung tidak menggerunkan pelaku serta memerlukan langkah lebih proaktif dan komprehensif dilakukan.

Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 hanya mengenakan kompaun sebanyak RM500 kepada pemilik premis serta penutupan premis seperti tapak bina dan kilang buat sementara waktu, dilihat tidak memadai dengan kesan denggi terhadap masyarakat.

Undang-undang lebih tegas

Pandangan penulis, jika individu merokok di tempat larangan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000, manakala denda RM5,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun kepada pemilik premis yang gagal memastikan tiada orang merokok, ketegasan sama sepatutnya dilakukan dalam isu denggi ini.

Isu denggi bukan isu baharu. Kerajaan membelanjakan peruntukan berpuluh-puluh juta setiap tahun untuk aktiviti mencegah serta menanggung kos rawatan pesakit denggi. Kaedah berlembut dan memujuk masyarakat sudah tidak berkesan.

Sekarang sudah tiba masanya undang-undang lebih tegas dikuatkuasakan untuk menghukum pelaku.

Berita Harian X