Khamis, 25 Oktober 2018 | 10:33am
AHLI Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuat pengundian pada Pemilihan PKR Selangor untuk Cabang Gombak di Dewan Sri Siantan, Selayang, baru-baru ini. - Foto BERNAMA
AHLI Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuat pengundian pada Pemilihan PKR Selangor untuk Cabang Gombak di Dewan Sri Siantan, Selayang, baru-baru ini. - Foto BERNAMA

Cari punca politik wang

Jika sebelum ini budaya politik wang menjelang pemilihan parti dikaitkan sebagai budaya yang berakar umbi dalam UMNO, namun kini didakwa mula menular dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Mungkinkah selama ini calon yang bertanding pelbagai jawatan dalam PKR benar-benar ikhlas berjuang serta mengutamakan program membela rakyat, namun kini sudah berubah fikiran kerana parti itu yang dulu pembangkang kini pemerintah.

Dakwaan berlaku politik wang dibangkitkan calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli kononnya ada cabang parti menerima sumbangan wang antara RM100,000 hingga RM200,000 dalam pemilihan parti, selain ahli diberi RM100 untuk satu undi.

Politik wang yang menjijikkan didakwa berlaku secara berleluasa di enam negeri yang sudah mengadakan pemilihan parti sebelum ini dan dijangka akan merebak ke negeri lain.

Ahli PKR yang didakwa mudah terpengaruh ialah golongan muda yang tidak melalui zaman sukar parti itu dan pihak yang menggunakan wang juga biasanya ‘orang muda’ yang datang dengan poket penuh dan tebal.

Rafizi ialah calon Timbalan Presiden PKR untuk mencabar penyandangnya, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui ada aduan berhubung kegiatan politik wang sepanjang pemilihan parti berlangsung dan membidas mereka yang berbuat demikian.

Bakal Presiden PKR itu dilaporkan berkata, beliau masih boleh bertolak ansur dengan pemimpin yang menjamu makan dan minum untuk penyokong yang datang dari jauh, tetapi tindakan ‘membeli undi’ sama sekali tidak boleh diterima.

PKR ‘berperang’ melawan amalan politik wang selama 20 tahun dan tidak sesekali membenarkan budaya itu menyusup dalam parti selepas reformasi 20 tahun mencapai kejayaan apabila menjadi parti paling banyak kerusi, sekali gus membantu Pakatan Harapan (PH) menewaskan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu.

“Kerja membeli undi itu adalah kerja haprak (makian bermaksud tidak berguna)!. Kamu tak (tidak) hebat, akhlak kamu rendah. Orang sokong kerana kamu ada wang,” katanya ketika sesi soal-jawab program Meet Anwar Ibrahim di Dewan Canselor Universiti Selangor (UNISEL), Bestari Jaya, Hulu Selangor.

Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto NSTP Adzlan Sidek
Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto NSTP Adzlan Sidek

Sebelum ini, Mohamed Azmin dilaporkan berkata, mana-mana calon yang bertanding dalam pemilihan parti tidak boleh mencampuri urusan Jawatankuasa Disiplin dan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).

Sebarang ketidakpuasan hati berikutan keputusan pemilihan parti harus diserahkan kepada JPP bagi membolehkan siasatan menyeluruh dan tindakan tegas diambil segera.

Sementara itu, Rafizi yang juga Naib Presiden PKR itu akan dirujuk kepada JPP untuk disiasat berhubung dakwaannya pemilihan parti dipalit dengan politik wang yang jika tidak dibanteras boleh menjejaskan imej dan integriti parti seperti ditegaskan Anwar.

Keputusan itu dicapai Biro Politik PKR serta semua maklumat dan dakwaan berkenaan akan disiasat dan sudah tentu tindakan merujuk Rafizi kepada jawatankuasa berkenaan adalah langkah bijak bagi menyekat budaya yang boleh merosakkan parti dapat dirawat sebelum menjadi barah.

TIMBALAN Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, di Ibu Pejabat KEADILAN, Petaling Jaya. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
TIMBALAN Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, di Ibu Pejabat KEADILAN, Petaling Jaya. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata beliau mengakui tidak mengetahui perkara itu dan hanya diketahui selepas ditanya media.

Adakah bekas Ahli Parlimen Pandan itu hanya melakukan ‘serkap jarang’ dan motifnya tidak diketahui atau mungkinkah gejala itu wujud hanya akan diumumkan selepas JPP melakukan siasatan secara terperinci.

Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin, pula mendesak Rafizi Ramli mengemukakan bukti dakwaannya berlaku politik wang dalam pemilihan PKR.

Mengulas budaya politik wang dalam pemilihan parti, Pengerusi JPP, Datuk Rashid Din, menjelaskan tiada aduan rasmi yang diterima jawatankuasa itu tetapi ada banyak cakap-cakap didengar Pengawas Pusat Pemilihan parti tetapi tanpa bukti dan mereka enggan membuat aduan rasmi.

“Aduan perlu dibuat secara rasmi dengan bukti yang kukuh supaya mudah tindakan diambil. Isu politik wang ini serius dan kita sama sekali tidak berkompromi dengan perkara ini,” katanya.

Ketika pemilihan UMNO, Jun lalu, calon Presiden yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mendakwa beliau mendapat khabar bahawa dalam pemilihan kali ini banyak wang digunakan calon.

Veteran UMNO itu dilaporkan berkata, pengaruh wang yang seharusnya sudah lama dihapuskan masih bermaharajalela dalam politik tanah air.

Adakah politik wang yang sebelum ini dikaitkan dengan UMNO akan menular ke dalam PKR? Tidak mustahil berlaku jika tidak disekat lebih awal dan jika belum bermula, puncanya wajar dicari sekarang sebelum bermula dan akhirnya membinasakan parti.

Politik wang bukan saja berlaku menerusi pemberian wang tunai, malah dalam bentuk lain seperti dijanjikan projek, jawatan dalam kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan belanja makan atau rokok, manakala di Sabah dan Sarawak dikatakan ada dijanjikan tanah dan konsesi balak.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Jeniri Amir, mendakwa politik wang sudah berlaku sejak 30 atau 40 tahun lalu dengan kemuncaknya ketika pertembungan antara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah, ketika pemilihan Presiden UMNO pada 1987.

Sebab itulah Dr Mahathir ketika menjadi Presiden UMNO bertegas menghukum pemimpin terbabit politik wang, termasuk menggantung keahlian mereka dan ketegasan itu diteruskan ketika memimpin PH sekarang.

Penganalisis politik Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain pula mahu PKR mengelak politik wang kerana ia boleh merosakkan imej dan integriti parti serta perlu membatalkan kemenangan pemimpin yang terbukti melakukan budaya negatif itu.

Justeru, pemilihan PKR yang berlangsung sekarang perlu bebas daripada politik wang bagi memastikan parti yang mendominasi PH dari aspek jumlah kerusi terus bertahan dan tidak runtuh seperti parti terjebak budaya menjijikkan itu.

Berita Harian X