Selasa, 21 Ogos 2018 | 11:04am
SEMBURAN asap berubat atau ‘fogging’ bukanlah penyelesai masalah Aedes kerana ia hanya untuk tujuan kecemasan, bukannya kawalan sebenar. - Foto NSTP
SEMBURAN asap berubat atau ‘fogging’ bukanlah penyelesai masalah Aedes kerana ia hanya untuk tujuan kecemasan, bukannya kawalan sebenar. - Foto NSTP

Sikap harapkan orang lain punca sukar hapus aedes

TANGGAL 20 Ogos setiap tahun, masyarakat dunia meraikan Hari Nyamuk Sedunia bagi memperingati Dr Sir Ronald Ross yang menemui nyamuk aedes betina penyebab malaria pada 1897.

Serentak itu, pelbagai kempen memerangi serangga ini diadakan, termasuk gotong-royong membersihkan kawasan dan memusnahkan tempat pembiakannya. Tidak kira penutup botol mineral, bekas makanan dan objek yang boleh menakung air, semua habis dimusnahkan.

Nama-nama seperti aedes aegypti, aedes albopictus, Culex fatigans, anopheles quadrimaculatus dan anopheles freeborni mungkin tidak asing bagi masyarakat kerana ia lima jenis nyamuk paling berbahaya di dunia.

Ia penyebab utama demam denggi dan denggi berdarah, Chikungunya, demam kuning dan Zika, manakala Culex fatigans pula menyebabkan penyakit filariasis atau kaki gajah kerana terdapat cacing Wuchereria bancrofti di dalam darah pesakit.

Denggi menjangkiti orang dewasa dan kanak-kanak akibat gigitan aedes. Pesakit menderita kira-kira 10 hari, kadangkala lebih lama untuk sembuh sepenuhnya. Dua jenis nyamuk, aedes aegypti dan aedes albopictus banyak di negara ini kerana rakyat kita ramai dijangkiti denggi, denggi berdarah serta Chikungunya.

Banyak faktor yang menyumbang kepada demam denggi, namun penyebab utama ialah peningkatan jumlah aedes selaku pembawa denggi yang berlindung di dalam dan kawasan sekitar rumah.

Faktor gaya hidup

Menurut Pakar Parasitologi dan Entomologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Hidayatul Fathi Othman, penduduk berasa tidak terancam dengan denggi atau chikungunya mahupun aika, kerana beranggapan penyakit berkenaan tidak akan menjangkiti mereka.

Mereka juga tidak sedar bahawa nyamuk, terutama aedes aegypti mudah membiak dalam rumah seperti di kolah, lapik bawah peti ais dan pasu bunga hiasan. Di luar pula, aedes albopictus membiak di taman dan kebun.

“Sebenarnya, kita tidak dapat lari daripada aedes kerana ia sentiasa berada di sekeliling,” katanya.

Statistik Kementerian Kesihatan mengenai demam denggi sehingga 14 Julai lalu menunjukkan jumlah kumulatif sebanyak 36,191 kes bagi seluruh negara, membabitkan 59 kematian.

Bagi minggu ke-28 tahun ini, 1.872 kes dicatatkan berbanding 1,884 kes pada minggu sebelumnya. Walaupun ada penurunan, ia masih membimbangkan. Lima negeri catat peningkatan kes denggi, iaitu Selangor dengan 27 kes, Kuala Lumpur dan Putrajaya (17 kes), Labuan (8), Pahang (8) dan Johor (1).

Jawapannya, sikap manusia sendiri yang tidak mahu meletakkan kebersihan sebagai kepentingan. Negara kita sudah maju, tetapi pemikiran masyarakat masih mundur.

Ditambah pula dengan gaya hidup orang bandar yang suka menggunakan banyak bekas pakai buang, secara tidak langsung menyediakan tempat pembiakan nyamuk jika tidak diurus dengan betul.

Ada juga yang memiliki kereta besar tetapi masih membuang sampah keluar kereta dan jatuh di atas jalan. Siapa akan mengutip sampah berkenaan, akhirnya ia menjadi tempat pembiakan nyamuk.

Kesedaran masyarakat

Hatta penutup botol air mineral pun boleh menjadi tempat pembiakan, lagilah bekas besar yang terbuang. Seperkara lagi, semburan asap berubat atau ‘fogging’ bukanlah penyelesai masalah Aedes kerana ia hanya untuk tujuan kecemasan, bukannya kawalan sebenar.

Masalah lain ialah masyarakat enggan bekerjasama apabila pihak berkuasa ingin melakukan semburan. Pelbagai alasan diberi untuk tidak membenarkan semburan dibuat kerana masing-masing malas untuk mengemas sebelum dan selepas proses dilakukan.

Dulu, sememangnya semburan berasaskan minyak, tetapi sekarang rata-rata berasaskan air. Jika berasaskan minyak, ia memang mengotorkan dan seluruh rumah perlu dibersihkan, namun sekarang tidak lagi.

Justeru, jalan penyelesaian bagi menangani kes denggi ialah periksa rumah masing-masing, cari dan musnahkan tempat pembiakan aedes seperti dianjurkan pihak berkuasa. Di sinilah peranan masyarakat untuk memberi kesedaran.

Tiada penjawat awam boleh ‘cari dan musnah’ tempat pembiakan nyamuk di rumah kita, jadi kitalah yang terpaksa melakukan sendiri.

Malangnya mesej ini kurang difahami masyarakat kerana budaya mengharapkan orang lain menguruskan, sudah sebati dalam jiwa mereka.

Berita Harian X