Khamis, 23 Mei 2024 | 1:05pm

Penghayatan al-Quran serlah wajah Islam sebenar

Al-Quran adalah kalam Ilahi diturunkan kepada Rasulullah SAW melalui perantaraan Jibril AS. Ia bukan sekadar untuk dibaca, namun perlu diambil pedoman dan pengajaran daripada isi kandungannya.

Dalam usaha membangun Ummah MADANI, merujuk kepada tatakelola adil dan berkesan dalam sejarah umat Islam di Madinah, dipimpin Baginda dan didukung warganya berbilang kaum dan agama, al-Quran perlu dijadikan pedoman utama.

Justeru, menerusi ayat 10, Surah al-Hujurat, al-Quran membimbing kita memelihara keamanan dan kedamaian sesebuah masyarakat, dengan mengelakkan diri daripada sebarang bentuk pertelingkahan tidak menguntungkan, pergaduhan memanjangkan hasad dan dendam, serta perpecahan merugikan umat.

Firman Allah SWT bermaksud: "Sebenarnya orang beriman itu bersaudara, maka damaikan antara dua saudara kamu (bertelingkah) itu, dan bertakwa kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat".

Segala pertelingkahan ini biasanya didorong hawa nafsu dan tindakan terburu-buru. Seharusnya, segala berita diterima perlu diselidik, supaya tidak bertindak gopoh mengikut rasa fanatik dan keghairahan semangat sebelum mendapat maklumat benar dan yakin.

Ia dinyatakan dengan jelas oleh Allah SWT pada ayat 6, Surah al-Hujurat bermaksud: "Wahai orang beriman. Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidiki dulu (untuk menentukan kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu mengenainya), sehingga menjadikan kamu menyesali apa kamu lakukan".

Oleh demikian, jika segala tindak tanduk di atas dapat dihindari, maka ia pasti menatijahkan impak persaudaraan hebat, iaitu kesatuan kukuh dan teguh, hubungan mesra dalam berinteraksi dengan kepelbagaian kaum dalam negara dan kerjasama utuh rakyat.

Mutakhir ini, kita melihat perbahasan mengenai isu agama dan perkauman dibincangkan dalam masyarakat. Kita meyakini dengan kecekapan pasukan keselamatan, mereka yang meniupkan sentimen agama dan perkauman ini akan dibendung dengan segera, bagi memastikan kestabilan dan kedaulatan negara tidak tergugat serta terancam.

Justeru, prinsip wasatiyyah ataupun kesederhanaan dalam melaksanakan tuntutan beragama sangat penting, supaya kita tidak taasub dengan sesuatu pandangan boleh memesongkan penafsiran sebenar terhadap anjuran agama seperti berjihad pada jalan Allah.

Apa yang disepakati jumhur ulama perlu diangkat sebagai pandangan majoriti dan bukannya menzahirkan pandangan minoriti yang ganjil. Al-Quran mengajar kita menjadi ummah terbaik seperti maksud firman-Nya: "Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat terbaik dilahirkan bagi (faedah) umat manusia (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara baik dan melarang perkara salah (buruk dan keji). Serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)".

Selanjutnya, dalam membangun Ummah MADANI ini, perpaduan ummah sangat penting untuk merealisasikan lima prinsip maqasid syariah, iaitu menjaga agama, menjaga nyawa, menjaga akal, menjaga keturunan dan menjaga harta.

Maqasid syariah bersifat dinamik dan sejagat, merentas agama, bangsa dan kaum serta boleh diterima sebagai nilai bersama. Jika umat Islam mampu bersatu dan berpadu berteraskan ukhuwwah Islamiah, maka rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini akan beroleh manfaatnya.

Tumpahkan kesetiaan kepada negara

Wajah Islam sebenar mampu dijelmakan dalam bentuk tindakan, perbuatan dan akhlak, sesuai dengan sifatnya sebagai agama rahmah dan menganjurkan kasih sayang sesama insan.

Oleh demikian, kita perlu berganding tangan dan bahu di antara satu sama lain untuk membangunkan Malaysia menjadi negara menepati status Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur, iaitu negara yang baik serta mendapat keampunan Tuhan. Hindarilah segala sifat negatif seperti culas, malas dan memberikan pelbagai alasan dalam pelbagai tugasan diamanahkan.

Sebaliknya, kita bangkit sebagai Muslim dan warganegara sentiasa menumpahkan kesetiaan kepada negara, berusaha dengan penuh ketekunan mencapai impian dicita-citakan, serta sentiasa optimis dengan kejayaan bakal dilakar pada masa hadapan.

Ia selari dengan hadis Nabi SAW diriwayatkan Imam Muslim bermaksud: "Sesungguhnya Allah SWT mengasihi seseorang, apabila ia melakukan sesuatu pekerjaan, maka dilakukan dengan penuh ketekunan".

Sesungguhnya, masyarakat gemilang ditegakkan Islam dengan bimbingan al-Quran adalah masyarakat mempunyai adab sopan tinggi. Setiap warganya mempunyai kehormatan tidak boleh disentuh kerana kehormatannya sebahagian daripada kehormatan masyarakat.

Agenda penyatuan ummah berteraskan ukhuwah Islamiah, pasti akan menobatkan Malaysia sebagai negara sentiasa berusaha memelihara keamanan, hubungan baik sesama warganegaranya serta kesatuan dalam kepelbagaian masyarakat majmuk dan seterusnya menjadi negara contoh kepada negara umat Islam lain di dunia.

Kesimpulannya, selari dengan penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2024 berlangsung hari ini hingga 28 Mei ini di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahamd Shah, Kuantan, Pahang, diharapkan ia mampu menjana penghayatan umat Islam dalam rangka memahami isi kandungan al-Quran untuk diamalkan dalam urusan kehidupan seharian.

Selain itu, dengan menghayati elemen perpaduan ummah dianjurkan al-Quran, kita seharusnya membuktikan dengan tindakan praktikal dalam realiti kehidupan dan tidak sekadar slogan semata-mata. Sebaliknya, ia dapat dijayakan sebagai manual penting dalam membangun Ummah MADANI.

Penulis adalah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Berita Harian X