Jumaat, 10 Mei 2024 | 8:45am

Lima strategi suburkan perpaduan dalam masyarakat

BANYAK sekali peribahasa mengungkapkan erti perpaduan, tolak ansur, kesepakatan dan kesatuan seperti serumpun bak serai, sesusun bak sirih bermaksud keindahan dalam hidup berasaskan persefahaman dan kerukunan dalam sesebuah masyarakat.

Namun, apakah kita semua menghayati maksud peribahasa ini bersandarkan senario semasa di negara ini? Sejak kebelakangan ini, sebahagian masyarakat semakin galak menyemarakkan perpecahan, mencari-cari perbezaan dan kelemahan pihak lain, menyebarluaskan fitnah dan keburukan serta bertepuk tangan melihat pihak dibenci jatuh.

Medium penyebar perpecahan mutakhir pula umpama 'minyak pelincir' terutama di internet. Namakan apa sahaja medium dan aplikasinya, semuanya medium pilihan masyarakat pelbagai latar belakang demografi merentasi jantina, bangsa, agama, tahap pendidikan serta kerjaya.

Inti pati persengketaan dan permusuhan sangat mudah disebar kepada masyarakat, malah dalam bentuk kandungan audio atau video diubah suai menggunakan perisian tertentu.

Cerita dan kisah dijaja meloyakan seperti skandal, isu keluarga, pergaduhan dan permusuhan, asalkan boleh menjadi bahan sensasi, mengundang gelak ketawa atau meraih simpati dan benci.

Walhal, jika berlaku kepada diri sendiri, sudah tentu penyebar cerita akan melenting hingga timbul persoalan mengapa mereka begitu ghairah berkongsi hal tidak sepatutnya itu?

Natijahnya, pertelingkahan, fitnah, buruk sangka dan persengketaan mewabak dalam masyarakat. Tiada lagi asas untuk percaya-mempercayai, apatah lagi saling hormat-menghormati, kasih-mengasihi dan bersatu padu.

Dalam konteks umat Islam, perpecahan hanya menyebabkan umat Islam hilang kehebatan di mata musuh hingga menyebabkan ditindas serta diancam keselamatan nyawa, harta benda termasuk kesucian akidah.

Hakikatnya, Rasulullah SAW diutuskan Allah SWT untuk menyatupadukan manusia pada zaman jahiliah di jazirah Arab supaya dapat hidup aman damai.

Perpecahan, perbalahan dan permusuhan sesama sendiri seperti ini melunturkan semangat perpaduan, sedangkan ia amat penting dan mesti dipelihara demi masa depan harmoni.

Allah SWT berfirman: "Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai." (Ali Imran: 103)

Perpaduan adalah asas pembangunan negara, sebaliknya perpecahan, perbalahan dan permusuhan akan membawa kehancuran serta kemusnahan.

Dalam hal ini, Allah SWT mengingatkan kita supaya mengutamakan perpaduan demi kekuatan ummah melalui firmannya: "Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan; jika tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); Sesungguhnya Allah berserta orang sabar." (Al-Anfal: 46)

Perbalahan ini mencakupi semua aspek hingga perkara kecil pun dijadikan punca kepada pertelingkahan, kemudiannya mengakibatkan perpecahan. Gejala perpecahan ini bertambah buruk apabila terdapat sesetengah pihak melemparkan cercaan dan kehinaan terhadap bangsanya sendiri secara bebas dan terbuka.

Islam sentiasa menyeru umatnya bersikap kasih sayang, berbaik sangka, tolong-menolong, bersatu-padu, bertolak ansur dan sentiasa bersedia memaafkan antara satu sama lain.

Hayati, amalkan nilai murni sesama insan

Nilai mulia ini hendaklah dihayati kerana ia diumpamakan seperti anggota tubuh badan kita saling memerlukan antara sesama anggota badan lain. Namun, realitinya semua nilai murni itu kurang diambil perhatian.

Sepatutnya nilai murni itu menjadikan kita umat insaf, sentiasa memperbaiki kesilapan diri, menjauhi perpecahan dan pertelingkahan, nasihat menasihati antara satu dengan lain serta sentiasa berpegang teguh dengan ajaran Islam sebenarnya.

Ulama menyarankan lima langkah tuntas membentuk dan membugarkan perpaduan dalam masyarakat.

Pertama, saranan berusaha ke arah perpaduan bukanlah menjadi pilihan peribadi atau mengikut selera hati, sebaliknya sunnah kewajipan menjadi teras kepada semua pihak.

Perpaduan antara kepelbagaian kaum, agama dan ideologi politik tidak boleh dielakkan demi memastikan negara terus aman makmur meskipun wujud jurang perbezaan ketara. Perpaduan dan kasih sayang sebenarnya mewujudkan keselamatan serta kemakmuran yang dapat terus dinikmati pada hari ini.

Kedua, umat Islam perlu memahami kepentingan perpaduan dan nilai kasih sayang hingga ke tahap pencernaan sifat berkenaan dalam pemikiran serta urusan seharian.

Pengalaman Malaysia mengekalkan formula perpaduan antara kaum dan amalan toleransi agama selama ini, pastinya dapat diperkukuhkan dengan prinsip kesederhanaan.

Kepentingan mengamalkan perpaduan kaum dapat mewujudkan masyarakat harmoni dan tinggi kasih sayangnya. Pastinya dengan itu akan membuka ruang untuk masyarakat dan pemimpin bersatu tenaga dan idea bagi memajukan negara.

Ketiga, menganjurkan program bersifat pembabitan secara langsung dengan tema perpaduan agar aspirasi ke arah itu menjadi tindak balas fitrah masyarakat, bukan sekadar bermusim.

Pelbagai aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong boleh mengeratkan lagi hubungan antara masyarakat pelbagai kaum. Ini menjamin kesejahteraan hidup masyarakat dalam berkomunikasi dan menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan tanpa membataskan sempadan agama dan bangsa.

Dengan itu, masyarakat tidak kekok dalam memainkan peranan untuk melahirkan permuafakatan sesama sendiri.

Keempat, melahirkan lebih banyak pelapis dan pendakwah yang akan meneruskan agenda perpaduan supaya generasi muda turut menjadi agen perpaduan pada usia seawal mungkin.

Golongan muda kini menjadi kelompok terbesar dalam masyarakat berpotensi untuk membangun masa depan negara kerana mempunyai banyak tenaga, idea serta meneruskan agenda perpaduan dan pembangunan negara.

Kelima, menjadikan agenda perpaduan dan kasih sayang sebagai agenda umat pada peringkat negara mahupun dunia Islam global agar suasana persekitaran itu sendiri menjadi faktor pendesak ke arah perpaduan ummah.

Umat Islam sepatutnya mengambil peluang untuk memperkasakan beberapa perkara berkaitan Islam. Ia bukan sahaja untuk menyebarkan syiar dan syariat Islam bahkan menyelesaikan isu perpaduan.

Kita diseru bersatu-padu dan bantu-membantu seterusnya memperkukuh perpaduan dan mengelak perpecahan. Ini dapat dilaksanakan dengan membina hubungan baik di setiap lapisan masyarakat.

Firman Allah SWT: "Sebenarnya orang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat." (Surah al-Hujurat, ayat 10).

Khairunneezam adalah Pensyarah Kanan dan Felo Institut Fatwa dan Halal (IFFAH), Universiti Sains Islam Malaysia, manakala Mad Ithnin adalah Pensyarah Kanan di Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Berita Harian X