Rabu, 20 March 2024 | 9:21am

Ramadan bulan terbaik fahami al-Quran untuk kenali Pencipta

RAMADAN adalah bulan mulia dinanti-nantikan umat Islam seluruh dunia. Ramadan juga bulan penuh keberkatan, membawa banyak manfaat dan rahmat bagi penganutnya.

Sepanjang Ramadan, bukan sahaja ibadah puasa dilaksanakan, malah ibadah sunat dan sunah lain digalakkan seperti bersedekah, berzikir dan solat malam.

Ramadan juga waktu tepat untuk meningkatkan pemahaman dan penghayatan umat Islam terhadap al-Quran. Al-Quran sebagai kitab suci umat Islam, terkandung petunjuk Allah SWT.

Maka, Ramadan adalah waktu tepat bagi umat Islam untuk mendalami pemahaman al-Quran dan mengamalkan ajaran terkandung di dalamnya. Kemuncak kepada ajaran Islam ialah mengenal dan bertemu dengan Sang Pencipta, Allah SWT.

Mengapa Ramadan menjadi bulan terbaik untuk memahami al-Quran. Pertama, ketika berpuasa selama sebulan, umat Islam mampu lebih fokus dan konsisten membaca serta memahami al-Quran.

Ketika berpuasa, apabila umat Islam menjauhkan diri daripada makanan dan minuman, ia memberikan masa kepada mereka untuk memahami al-Quran.

Kedua, pada Ramadan, kita juga memperbanyak ibadah sunat dan sunah, seperti solat Tarawih, zikir, tadarus dan solat tahajud. Dalam ibadah berkenaan, kita membaca al-Quran dan memahami maknanya dengan lebih baik.

Ketiga, Ramadan juga waktu tepat untuk audit, muhasabah dan memperbaiki diri. Dalam proses ini, al-Quran menjadi panduan untuk mengenal pasti kekurangan dan kesalahan diri.

Dalam al-Quran, Allah SWT memberikan petunjuk bagaimana hendak memperbaiki diri, hubungan sesama makhluk dan hubungan dengan Allah SWT.

Berasaskan kepada tiga perkara di atas, timbul pula persoalan bagaimanakah umat Islam memahami al-Quran untuk mengenal Allah SWT?

Hakikatnya, cara untuk memahami al-Quran ialah dengan menghadirkan akal dan hati ketika membaca dan mentadaburnya, bukan sekadar membaca semata-mata.

Hal ini kerana, hubungan antara akal dan hati sangat erat dalam memahami suatu perkara. Kedua-duanya saling berkait dan mempengaruhi antara satu sama lain dalam proses pemahaman serta sintesis semua maklumat. Seterusnya menggerakkan anggota badan melaksanakan satu amal ibadah.

Akal berkemampuan sebagai pusat rasional manusia untuk berfikir, menganalisis dan menyimpulkan sesuatu berdasarkan logik dan fakta. Sedangkan hati pula sumber emosi, perasaan dan kesedaran manusia mempengaruhi sikap, tindakan dan pemikiran.

Ketika seorang Muslim memahami suatu perkara, sama ada hal agama atau dunia, maka kemampuan akal diperlukan untuk menganalisis dan memahami dengan lebih rasional serta logik.

Kewujudan hati pula berfungsi memahami suatu perkara lebih terperinci, kerana hati memungkinkan seseorang untuk merasakan emosi, perasaan, naluri dan kesedaran berkaitan suatu perkara.

Tanpa akal, hati akan kehilangan arah dan tidak dapat memahami secara tepat. Tanpa hati, akal akan kehilangan kejiwaan dan tidak dapat menjiwai sesuatu perkara sepenuhnya. Oleh itu, akal dan hati perlu bekerja secara harmoni bagi mencapai kefahaman utuh dan mendalam.

Meskipun begitu, terkadang hati dan akal bertentangan antara satu sama lain, seperti ketika hati ingin melakukan sesuatu mungkin tidak logik atau rasional, ataupun ketika akal mengabaikan kehendak emosi atau naluri. Maka al-Quran penting bagi menyeimbangi pertentangan berkenaan bagi menghasilkan satu keputusan tepat.

Bersihkan hati daripada dosa, kesalahan

Dalam konteks memahami al-Quran, akal dan hati diperlukan untuk memahaminya dengan baik sebelum diproses sebagai tindakan. Akal digunakan untuk menganalisis ayat al-Quran dan memahami maknanya secara logik serta rasional.

Sedangkan hati berperanan merasakan keagungan, kebenaran dan keindahan ayat al-Quran sehingga membuat seseorang semakin yakin dengan ajaran terkandung di dalamnya.

Jika hati manusia terbuka dan bersih, maka seseorang akan lebih mudah memahami al-Quran dengan baik. Oleh itu, selain menggunakan akal untuk memahami al-Quran, umat Islam juga perlu membersihkan hati daripada dosa dan kesalahan supaya dapat menerima ajaran al-Quran dengan baik.

Perkara ini jelas dibuktikan beberapa ayat al-Quran mengenai hubungan antara akal dan hati dalam diri seseorang. Firman Allah SWT bermaksud: "Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, serta silih berganti malam dan siang terdapat tanda bagi orang berakal". (Surah Ali Imran, ayat 190)

Ayat ini menunjukkan akal adalah salah satu sumber kebijaksanaan dan pemahaman manusia. Dalam penciptaan langit dan bumi, serta berganti malam dan siang, terdapat tanda dapat diungkapkan akal manusia. Manakala bagi menjiwai kebesaran Sang Pencipta siang dan malam, perlu kepada hati.

Allah SWT berfirman bermaksud: "Sesungguhnya Kami jadikan bagi manusia dalam al-Quran ini setiap macam perumpamaan supaya mereka dapat pelajaran (berfikir)". (Surah az-Zumar ayat 27).

Ayat ini menunjukkan al-Quran memberikan pelbagai perumpamaan dan analogi mudah dapat difikirkan akal manusia. Allah juga memberikan ayat keindahan dan kebenaran dapat dirasakan hati manusia.

Firman Allah SWT seterusnya bermaksud: "Maka, bukankah ada baiknya mereka mengembara di bumi, sehingga hati mereka dapat memahami, telinga mereka dapat mendengar? Sebenarnya bukan mata mereka itu buta, tetapi yang buta ialah hati di dalam dada mereka". (Surah al-Hajj, ayat 46)

Ayat ini menunjukkan hati dapat memahami satu perkara ketika mengembara di bumi ini. Allah tidak menggunakan perkataan 'akal' dalam ayat berkenaan bahkan perkataan 'hati' untuk memahami kebesaran-Nya.

Daripada ayat al-Quran di atas, dapat disimpulkan akal dan hati memiliki peranan penting dalam memahami al-Quran untuk mengenal Allah SWT. Kedua-duanya perlu bekerja secara seimbang supaya seseorang dapat memiliki pemahaman utuh dan benar mengenai al-Quran dan mengenal Pencipta.

Kesimpulannya, Ramadan adalah peluang keemasan untuk memperkuat iman dan kecintaan terhadap Allah SWT melalui kefahaman al-Quran. Ketika bertadarus al-Quran, kita menjaga tajwid, tugas ini menuntut fungsi akal dan ilmu, namun apabila memerhatikan maknanya, akal dan hati berfungsi secara serentak yang akhirnya menjentik iman ke tahap lebih tinggi.

Penulis adalah Timbalan Dekan (Bakat &Penyelidikan), Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan Universiti Malaysia Terengganu

Berita Harian X