Rabu, 13 March 2024 | 10:04am
Golongan wanita berpeluang merebut ganjaran lebih pahala lebih besar pada Ramadan, antaranya menyediakan juadah untuk berbuka. - Foto hiasan
Golongan wanita berpeluang merebut ganjaran lebih pahala lebih besar pada Ramadan, antaranya menyediakan juadah untuk berbuka. - Foto hiasan

Ramadan sediakan lebih banyak ganjaran pahala kepada wanita

RAMADAN dinantikan umat Islam di seluruh dunia kerana ia bulan istimewa mengandungi 1,001 keberkatan. Malah, Rasulullah SAW menyebut apabila Ramadan datang, pintu syurga dibuka, manakala pintu neraka ditutup dan syaitan dibelenggu.

Sebahagian ulama mentafsirkan hadis itu sebagai simbolik menunjukkan amalan ketaatan banyak dilakukan sepanjang Ramadan, sama ada siang atau malam, manakala pintu neraka tertutup disebabkan kurangnya manusia melakukan maksiat.

Dengan ganjaran pahala berganda itu, kebanyakan manusia berlumba-lumba melakukan kebaikan, termasuk menggiatkan bacaan al-Quran, bersedekah, solat berjemaah dan solat Tarawih, sama ada lelaki ataupun wanita.

Tarawih pastinya sinonim dengan Ramadan hingga umat Islam akan berlumba-lumba memenuhi saf di masjid atau surau untuk solat berjemaah dan solat Tarawih. Namun, kebanyakan wanita, terutama mempunyai anak kecil, akan terbatas dalam melaksanakan ibadah ini.

Di sesetengah tempat, terdapat masjid menyediakan tempat jagaan kanak-kanak ketika solat Tarawih hingga ibu bapa boleh meletakkan anak untuk melaksanakan solat Tarawih dengan lebih khusyuk.

Inisiatif itu bagus kerana meraikan wanita, sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk sama-sama merebut ganjaran ibadat.

Namun, sekiranya tiada tempat jagaan anak disediakan, wanita perlu mengutamakan keselamatan anak berbanding menunaikan solat jemaah di masjid atau surau. Hakikatnya tempat terbaik bagi wanita melaksanakan solat adalah di rumah, berdasarkan sabda Rasulullah SAW: "Solat seseorang wanita di rumahnya adalah lebih baik daripada solat di halaman rumahnya, manakala solat di bilik tidur/bilik persendirian lebih baik daripada di rumahnya." (Hadis Riwayat Abu Daud).

Sekiranya anak kecil boleh dikawal ketika menunaikan solat berjemaah, golongan ibu digalakkan untuk menunaikan solat di masjid atau surau, di samping dapat mendidik mereka untuk mencintai rumah Allah SWT.

Namun, sekiranya dengan membawa anak kecil bersama ketika menunaikan solat berjemaah di surau atau masjid akan membahayakan kanak-kanak berkenaan atau mengganggu jemaah lain, adalah lebih baik wanita melaksanakan solat Tarawih di kediaman masing-masing.

Bagaimanapun, golongan ibu usah terkilan kerana tidak dapat melaksanakan solat Tarawih berjemaah kerana menjaga anak kecil ketika suami menunaikannya di masjid atau surau mempunyai ganjaran tersendiri di sisi Allah SWT.

Malah, terdapat banyak amalan mempunyai ganjaran besar khusus untuk ibu pada Ramadan seperti menyediakan juadah berbuka untuk seisi keluarga selari dengan hadis Nabi SAW: "Sesiapa memberi makan kepada orang berpuasa untuk berbuka puasa, maka baginya pahala seumpamanya tanpa berkurang sedikit pun pahala orang berpuasa terbabit." (HR Tirmidzi)

Kita semua tahu, seorang ibu berperanan sangat penting dalam memastikan perjalanan puasa ahli keluarganya berjalan lancar, bermula penyediaan sahur hingga makanan berbuka puasa.

Didik anak mengenai ibadat puasa

Oleh itu, secara tidak langsung, wanita menyediakan juadah berbuka kepada ahli keluarga hatta hanya air minuman turut mendapat pahala puasa ahli keluarga lain.

Ibu juga berperanan dalam mendidik anak kecil mengenai ibadat puasa melalui sokongan secara emosi dalam mengajarkan kesabaran menghadapi cabaran berpuasa. Kebanyakan ibu berhikmah dalam memberi semangat kepada anak kecil untuk berpuasa.

Namun, kesihatan dan kemampuan anak untuk berpuasa hendaklah diambil kira agar tidak terjadi sebarang kemudaratan. Bukanlah puasa penuh anak kecil dikejar dalam bulan itu, tetapi semangat mencuba dalam memenuhi ibadat dianjurkan Islam dengan menahan lapar dan dahaga walaupun hanya separuh hari amatlah dihargai dan hendaklah dipuji.

Umum mengetahui wanita secara biologinya akan mempunyai keterbatasan dalam melaksanakan ibadah puasa disebabkan keuzuran seperti didatangi haid atau hamil dan menyusukan anak. Bagi mereka tergolong dalam golongan ini, maka mereka boleh tidak berpuasa atau berbuka puasa.

Bagaimanapun, seperti terjadi pada tahun sebelum ini, terdapat Muslimah tidak berpuasa disebabkan keuzuran tertentu, makan di khalayak. Sebagai Muslim yang baik, mereka perlu menjauhkan diri daripada fitnah, sekali gus menghormati dan mengambil kira keadaan sekeliling masyarakat.

Hakikatnya, kedatangan Ramadan adalah peluang kepada umat Islam untuk kembali kepada fitrah. Ramadan juga perlu dilihat bukan sahaja dari sudut berpuasa menahan lapar dan dahaga, tetapi peluang untuk menjadi orang lebih bertakwa.

Oleh itu, dalam posisi seorang wanita, peluang ganjaran pada Ramadan perlu dilihat dalam pelbagai aspek dan perkara. Andai tidak berpeluang untuk mengejar banyaknya bilangan rakaat Tarawih, janganlah melepaskan peluang lain yang dapat dilaksanakan ketika berada dalam posisi sebagai isteri dan ibu.

Beribadah itu bukanlah hanya berasaskan emosi dan perasaan namun perlu bertunjangkan hukum. Ibu tidak berkesempatan merebut pahala Tarawih berjemaah, masih berkesempatan merebut pahala menjaga anak kecil ketika suami sedang beribadah dan pahala menyediakan juadah bersahur dan berbuka. Islam itu hakikatnya meraikan wanita termasuk dalam situasi pada Ramadan.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Berita Harian X