Jumaat, 8 March 2024 | 8:35am

Amal cakna, teliti elak terpedaya individu mengaku Ahlul Bait

NEGARA baru-baru ini dikejutkan dengan berita terkait dengan isu membabitkan individu bergelar 'Mawla Amin' dikatakan sebagai keturunan Nabi Muhammad SAW ke-38. Kegiatan pengikut 'Mawla Amin' berada dalam radar Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) serta pemantauan pihak berkuasa agama Islam negeri.

Bukan sekadar itu sahaja, pengikutnya dikatakan bergiat aktif mengutip dana sumbangan orang ramai secara tidak sah bagi membiayai pergerakan mereka. Hal ini bertujuan bagi mewujudkan kerajaan dikenali sebagai 'Kerajaan 9' dianggap sebagai tempat persiapan akhir zaman sehingga munculnya Imam Mahdi.

Dalam hal ini, umat Islam wajar menyerahkan kepada pihak berkuasa agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan jabatan agama Islam negeri (JAIN) untuk menentukan keabsahaan status individu terbabit bagi mengelak sebarang fitnah.

Namun, pada masa sama setiap umat Islam juga harus sedar dan cakna terhadap keabsahan mana-mana individu yang didakwa mempunyai jalur keturunan dengan Rasulullah SAW.

Perintah memuliakan dan mencintai ahli keluarga Nabi SAW termaktub dalam firman Allah SWT bermaksud: "Katakanlah (Wahai Muhammad), bahawa aku tidak meminta sebarang upah di atas seruan dakwahku ini melainkan kalian mencurahkan rasa kasih sayang terhadap al-Qurba (kerabat Rasulullah SAW). (Surah as-Syuura, ayat 23)

Rasulullah SAW turut bersabda mengenai tuntutan mencintai dan memuliakan keturunannya atau Ahlul Bait bermaksud: "Aku ingatkan kamu kepada Allah (semoga mencintai dan memuliakan) ahli keluargaku. (HR Muslim, Tarmizi, -Nasai, Ahmad dan al-Hakim)

Apa yang hendak dibincangkan adalah kemungkinan wujudnya elemen salah guna status Ahlul Bait untuk mempengaruhi umat Islam secara salah.

Jika ditelusuri modus operandi digunakan kebanyakan pengikut ajaran sesat difatwakan pihak berkuasa agama negeri, jelas ia mempunyai ciri-ciri dan sifat mampu mempengaruhi umat Islam dengan kaedah serta pendekatan sama.

Mudah tertipu dengan penampilan

Malangnya, masyarakat umat Islam mudah tertipu dengan penampilan berjubah dan berserban ditambah pula dengan dakwaan mempunyai salasilah keturunan Nabi Muhammad SAW.

Selain itu, kegiatan mengutip derma secara tidak sah tanpa kelulusan dan kebenaran pihak berkuasa agama negeri membuktikan kelompok terbabit berjaya memanipulasi orang awam atas nama agama Islam.

Seperkara lagi yang dibimbangi adalah ketaksuban pengikutnya mengangkat tokoh pimpinan mereka didakwa keturunan Nabi, menjadi faktor pendorong kuat mana-mana ajaran atau pembawaan individu terbabit mudah diterima dalam kalangan umat Islam.

Bagi pengikut taksub, kebanyakan mereka gagal menilai fakta dan intipati ajaran agama selain tidak mengamalkan semakan (tabaiyyun) sehingga sanggup percaya secara membuta tuli.

Hal ini tidak boleh dipandang remeh pihak berkuasa agama Islam kerana tipu daya dan penerimaan masyarakat yang kurang asas agama Islam akan mudah terpesong dan akhirnya menyebabkan ketaksuban kepada mana-mana individu didakwa keturunan Nabi.

Dalam hal ini, umat Islam harus merenungi firman Allah SWT bermaksud: "Katakanlah: Wahai Ahli Kitab. Jangan kamu melampau dalam agama kamu secara tidak benar, dan jangan kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang sesat sebelum ini dan menyesatkan banyak manusia, dan juga (sekarang) mereka tersesat (jauh) daripada jalan lurus". (Surah al-Maidah, ayat 77)

Pada ayat ini, Allah SWT melarang Ahli Kitab pada masa Nabi Muhammad SAW bertindak keterlaluan dalam agama sebagaimana nenek moyang mereka dahulu dan melarang mereka mengikuti sebab membawa nenek moyang mereka kepada kesesatan sehingga menyesatkan pula orang lain daripada jalan kebenaran (ajaran Islam). Mereka meninggalkan hukum syariat dan mengikuti hawa nafsu yang buruk.

Kedangkalan ilmu dan sikap ketaksuban ini mendorong banyak pengikut mereka cuba mencari jalan cepat dan mudah untuk ke syurga. Bahkan ada yang sanggup memandang kumpulan mereka adalah ahli syurga secara melampau.

Bahkan sesetengah ajaran sesat mendakwa bahawa sesiapa yang tidak masuk ke dalam kumpulan mereka adalah ahli neraka. Begitulah cara dan kaedah sesetengah ajaran sesat membentuk pemikiran pengikut mereka sehingga gagal membezakan mana yang hak dan dusta.

Justeru, umat Islam perlu menghayati firman Allah SWT bermaksud: "Kecelakaan besar, pada hari itu, bagi orang mendustakan. Iaitu mereka mendustakan hari pembalasan. Dan tiada mendustakannya melainkan orang melampaui batas (kebenaran), lagi amat derhaka". (Surah al-Mutaffifiin, ayat 10-12).

Maka, sebagai Muslim bertanggungjawab, marilah kita membantu membendung pengaruh dan dakyah ajaran sesat cuba dimanipulasi atas nama agama Islam demi kepentingan kelompok tertentu yang dibimbangi mencemarkan kesucian Islam.

Bagi memenuhi maksud dan tekad ini, seluruh umat Islam perlu menekuni ilmu benar daripada pihak berkuasa dan diberikan tauliah untuk meningkatkan kefahaman Islam.

Pada masa sama, pihak berkuasa agama perlu segera menangani gerakan ajaran mengelirukan umat Islam dengan memastikan mana-mana individu atau pengikut cuba memesongkan pemikiran umat Islam dibanteras dengan segera sebelum merebak menjadi barah dalam negara.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA cawangan Perlis

Berita Harian X