Jumaat, 2 Februari 2024 | 1:09pm
Setiap perkataan keluar dari mulut atau setiap perbuatan anggota badan tidak akan terlepas dicatat malaikat. - Foto hiasan
Setiap perkataan keluar dari mulut atau setiap perbuatan anggota badan tidak akan terlepas dicatat malaikat. - Foto hiasan

Didik diri, keluarga berhati-hati dalam setiap urusan

PERIBAHASA Melayu banyak mengajar supaya manusia sentiasa berhati-hati dalam menjalani kehidupan seharian. Antaranya 'biar lambat asalkan selamat', 'sediakan payung sebelum hujan', 'cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar' dan 'terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya'.

Semua peribahasa ini membawa maksud hampir sama iaitu mengangkat sifat berhati-hati dalam diri manusia. Semua peribahasa ini jika diamati, selari dengan acuan Islam diletakkan Allah SWT dalam al-Quran dan Nabi SAW dalam sunah Baginda berkaitan dengan sikap berhati-hati.

Sikap berhati-hati sangat diutamakan Islam, terutama dalam urusan berkaitan agama. Sudah menjadi kebiasaan bagi umat Islam mendengar kaedah disebutkan iaitu 'asal bagi sesuatu hukum atau perkara adalah harus'.

Kaedah ini menggalakkan umat Islam melakukan apa sahaja perkara baik selagi ia tidak diharamkan agama melalui nas dan dalil diterima sebagai sandaran hukum dalam Islam.

Kaedah ini boleh didapati dalam kalam ulama tersohor seperti al-Suyuthi dalam kitabnya al-Asybaah wa Al-Nazoir menyebutkan ia satu daripada kaedah diguna pakai dalam Mazhab Syafie secara meluas.

Sehubungan itu, ada satu lagi kaedah disebutkan Ibn Hajar al-'Asqalani, dalam kitabnya Fathul Bari dan ulama lain bersetuju dengan pendirian 'asal bagi sesuatu ibadah adalah tawaqquf (diam sehingga adanya dalil membenarkan)'.

Kaedah ini didirikan di atas kaedah asal disebutkan ramai ulama iaitu 'asal bagi sesuatu ibadah adalah haram'. Perkataan Ibn Hajar al-'Asqalani ini menunjukkan jika tidak ada dalil menyuruh sesuatu ibadah atau amalan dilakukan, maka ibadah atau amalan tidak boleh dilakukan.

Semua ini menunjukkan kepada kita bahawa sebagai seorang Muslim, kita mestilah sentiasa berhati-hati dalam pemilihan ibadat dilakukan kerana Islam itu turut mengutamakan dalil dan nas serta bukan semata-mata kerana sesuatu perkara itu dianggap baik sahaja.

Umat Islam perlu melihat dan memahami firman Allah SWT dalam Surah al-Nahl, ayat 43 bermaksud: "Oleh itu, bertanyalah kamu kepada orang berpengetahuan jika kamu tidak mengetahui".

Nabi Muhammad SAW turut menegaskan menerusi hadis bermaksud: "Sesiapa diberikan fatwa dengan fatwa tidak kukuh (tidak bersumberkan dalil), sesungguhnya dosanya kepada pemberi fatwa". (HR Ahmad dan Ibn Majah)

Islam meletakkan penjagaan lisan di martabat tinggi. Ini dapat dilihat pada nas al-Quran dan hadis yang membicarakan perihal penjagaan lisan. Antaranya apa direkodkan Allah SWT di dalam Surah Qaf, ayat 18 bermaksud:

"Tidak ada sebarang perkataan dilafazkannya (atau perbuatan dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas sentiasa sedia (menerima dan menulisnya)."

Jika diamati, ayat ini menerangkan manusia beriman harus sedar setiap perkataan keluar dari lisan atau setiap perbuatan dibuat anggota badan ia tidak akan terlepas daripada dicatat malaikat ditugaskan Allah SWT untuk menulis segala kebaikan serta kejahatan manusia. Satu perkara pun tidak akan terlepas daripada dicatatkan malaikat.

Nabi SAW ada menyebutkan beberapa peringatan kepada kita berkenaan penjagaan lisan. Antaranya hadis sahih sangat masyhur diriwayatkan Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: "Sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, berkatalah perkara baik atau senyap."

Islam tuntut menjaga lisan

Hadis ini memberi gambaran menjaga lisan adalah sangat dituntut kerana ia bersangkut paut dengan keimanan seorang mukmin kepada Allah SWT dan hari akhirat.

Dalam hadis diriwayatkan Sahl Ibn Sa'd as-Sa'idi RA pula, Nabi SAW bersabda: "Sesiapa boleh memberi jaminan kepada aku untuk menjaga anggota di antara kedua janggutnya (mulut/lidah) dan anggota di antara kedua kakinya (kemaluannya), maka aku memberi jaminan syurga kepadanya."

Ajaibnya, dalam hadis ini, Nabi SAW menjanjikan kepada semua orang dapat menjaga dua anggota penting mereka iaitu lisan dan kemaluannya dengan hadiah sangat tinggi nilainya iaitu syurga.

Begitu juga dalam urusan berkaitan pernikahan, Islam meletakkan beberapa perkara perlu dilakukan seseorang sebelum memuktamadkan urusan perkahwinannya. Bermula daripada persediaan membina jati diri menjadi insan bertanggungjawab dan matang, sehingga urusan pemilihan pasangan, juga pilihan perlu dibuat berkait dengan kehidupan selepas pernikahan.

Semua perkara ini dititikberatkan Islam kerana agama ini meletakkan penjagaan nasab dan keturunan sebagai kewajipan dan termasuk lima 'd'horiyyat al-khamsah' iaitu kewajipan perlu dijaga dan ditunaikan haknya dalam Islam.

Penjagaan nasab dan keturunan dapat direalisasikan dengan mendirikan perkahwinan sah menurut tuntutan agama Islam kerana ia bukan sahaja menjamin keharmonian kehidupan berumah tangga, tetapi boleh memastikan nasab dan keturunan setiap keluarga jelas dan diketahui.

Lihat sahaja bagaimana kecelaruan berlaku dalam masyarakat di Barat apabila pernikahan sah tidak diamalkan, betapa ramai anak tidak tahu siapakah ayahnya yang sah dan bermacam-macam lagi permasalahan lain berkaitan nasab dan keturunan.

Semua ini adalah langkah berjaga-jaga yang ditetapkan Islam supaya kehidupan berumah tangga itu lebih harmoni, stabil dan sejahtera. Hakikatnya banyak lagi perkara dan kaedah yang menuntut setiap umat Islam lebih berhati-hati bagi melindungi diri dan keluarga daripada azab akhirat nanti.

Penulis adalah Pensyarah Kulliyyah Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa (UIA)

Berita Harian X