Jumaat, 26 Januari 2024 | 9:46am

Bersikap ihsan kepada warga tua biarpun tiada pertalian saudara

SETIAP insan yang muda akan melalui waktu tua sekiranya dilanjutkan usia atas izin Allah SWT. Al-Quran menjelaskan fitrah kehidupan manusia mencapai usia tua menerusi firman Allah SWT bermaksud: "...Kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak, kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa dan (dalam pada itu) ada di antara kamu dimatikan (ketika kecil atau dewasa) dan ada pula dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga tidak mengetahui lagi sesuatu diketahuinya dahulu..." (Surah al-Hajj, ayat 5)

Hakikatnya, tiada seorang insan pun di dunia akan sentiasa berada pada usia muda meskipun menggunakan apa juga produk kesihatan, kecantikan, vitamin antipenuaan atau sebagainya. Setiap bayi dilahirkan akan mengalami proses pembesaran sehingga akhirnya mencapai usia tua.

Di Malaysia, istilah warga emas amat sinonim bagi menggambarkan golongan mencapai usia lanjut serta memiliki kudrat terhad jika dibandingkan dengan golongan lain, terutama kelompok remaja dan belia.

Apabila seseorang mencapai usia tua, kudratnya menjadi amat terbatas. Apatah lagi golongan ini sering dikaitkan dengan keadaan kesihatan amat terbatas sehingga mudah mendapat penyakit sekiranya aspek pemakanan tidak diambil perhatian. Malah, hati dan perasaan golongan ini juga amat sensitif dan mudah tersinggung. Inilah hakikat perlu difahami setiap insan.

Dalam menguruskan golongan warga emas ini, Muslim perlu merenungi firman Allah SWT bermaksud: "Dan Tuhanmu memerintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan 'ah, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan mulia (bersopan santun)." (Surah al-Isra', ayat 23)

Setiap anak diperintah Allah SWT untuk berbuat baik kepada kedua orang tua, terutama apabila usia mereka semakin meningkat. Setiap anak dilarang meninggikan suara ketika berbicara dengan ibu bapa, sebaliknya perlu berkata dengan sopan dan tertib.

Mengambil pengajaran daripada ayat daripada Surah al-Isra ini, wajar untuk setiap Muslim bersifat baik dan ihsan kepada warga tua walaupun mereka bukan ibu bapa kandung sendiri.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW menjelaskan menerusi hadis bahawa golongan tua perlu diberi keutamaan dalam hal kebaikan membabitkan mereka. Setiap daripada kita perlu sentiasa mendahulukan mereka sebagai tanda menghormati dan menyayangi mereka.

Diriwayatkan dalam hadis bahawa, pernah satu ketika Rasulullah SAW sedang bersiwak (membersihkan gigi), lalu diwahyukan kepada Baginda untuk mendahulukan orang lebih tua.

Hal ini dijelaskan Ibnu 'Umar katanya: "Aku melihat Rasulullah SAW sedang bersiwak lalu Baginda memberikannya (kayu siwak) kepada orang lebih tua daripada suatu kaum dan Baginda bersabda, 'Sesungguhnya Jibril memerintahkan aku mendahulukan orang lebih tua." (HR Ahmad)

Inilah antara perihal akhlak dan budi pekerti Rasulullah SAW sangat indah. Baginda seorang Rasul utusan Allah SWT terpilih, yang sangat menghormati golongan tua. Kedudukan Baginda sebagai seorang Rasul tidak sesekali menjadikan dirinya mendahului keperluan orang tua.

Hargai hak orang lebih tua

Selain itu, dalam soal memilih imam solat jemaah contohnya, memilih golongan lebih tua dan lebih berusia dalam kalangan jemaah antara kriteria pemilihan perlu diberi perhatian.

Rasulullah bersabda bermaksud: "Orang menjadi imam solat sekelompok orang adalah paling pandai membaca al-Quran. Jika mereka (jemaah) semuanya sama dalam kepandaian membaca al-Quran, maka lebih pandai terhadap sunah. Jika mereka sama dalam kepandaiannya terhadap sunah, maka lebih paling dahulu hijrah (hijrah ke Madinah). Jika mereka sama dalam hijrah, maka yang lebih tua usianya." (HR Abu Daud)

Hadis ini menjelaskan Islam sangat mementingkan hubungan sesama manusia daripada segenap peringkat usia. Oleh itu, Islam turut mengingatkan umatnya peri penting menghormati dan menyayangi golongan tua atau warga emas.

Pelbagai pihak termasuk badan kerajaan, swasta dan mahasiswa universiti perlu bertindak menunjukkan keprihatinan kepada golongan tua dan tidak sesekali melupakan golongan ini.

Dalam tatacara berinteraksi dengan sesama manusia, Rasulullah SAW mengajarkan kepada kita lebih menghormati dan menghargai hak orang lebih tua, terutama sudah lanjut usia. Menghormati orang tua dan berusia lebih tua daripada diri kita termasuk dalam adab mulia.

Rasulullah SAW bersabda dalam hadis bermaksud: "Sesiapa tidak mengasihi anak-anak kecil (golongan muda) dan tidak menghargai hak orang tua, dia bukanlah termasuk dalam golongan kami." (HR Bukhari)

Apa yang penting, ibu bapa dan orang dewasa perlu sentiasa menasihati serta mengingatkan golongan muda sama ada murid sekolah atau mahasiswa untuk sentiasa menghormati serta menyayangi orang tua atau warga emas.

Meskipun mereka bukan ahli keluarga sendiri, namun setiap Muslim perlu menyemai rasa kasih sayang kepada golongan ini dan sentiasa bersikap ihsan, apatah lagi kepada ibu bapa sendiri, saudara terdekat dan waris terhampir.

Penulis adalah Pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Berita Harian X