Jumaat, 12 Januari 2024 | 10:49am

Usah tunggu tahun bertukar untuk tingkat amal ibadah

TIRAI 2023 sudah berlabuh dan tahun baharu 2024 mula melangkah menyinari serta dan menyuluh kehidupan setiap insan untuk mencapai pelbagai cita-cita dan azam diri. Setiap kali berganti tahun, lazimnya masyarakat akan menetapkan dan memperbaharui azam. Ada sebahagian menjadikannya sebagai kemestian dan kewajipan dalam kehidupan.

Sebahagian masyarakat memilih di setiap awal tahun Masihi untuk menentukan azam kerana mudah membuat perkiraan kejayaan dan kegagalan diri sendiri bagi tempoh setahun.

Hakikatnya, setiap insan tidak mampu mencapai semua hajat dan keinginan kerana fitrah semula jadi manusia yang lemah dan mudah terdedah kepada sesuatu tidak sempurna.

Sebaliknya, setiap insan perlu sentiasa disarankan untuk seimbangkan diri bagi menghadapi ketidaktentuan dan ujian hidup akan datang.

Terdapat beberapa langkah dan panduan disarankan Islam dalam menyambut menentukan azam tahun baharu bagi memastikan mencapai kejayaan dan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Pertama, manusia perlu melakukan muhasabah diri. Dalam konteks Islam, setiap Muslim disarankan melakukan muhasabah kerana sifat manusia banyak kelemahan dan kekurangan untuk dilakukan penambahbaikan.

Sekiranya sifat kelemahan ini dibiarkan, pasti akan menyukarkan untuk melihat kelemahan diri sendiri dan cenderung pula melihat kelemahan dan aib orang lain. Bahkan ia menyebabkan segelintir masyarakat berasa dirinya sahaja betul dan orang lain salah.

Firman Allah SWT bermaksud: "Wahai orang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa diperbuatnya untuk hari esok (akhirat) dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa kamu kerjakan" (Surah al-Hasyr, ayat 18)

Ayat di atas menjelaskan Islam menyarankan manusia melakukan muhasabah berkaitan bekalan menuju akhirat dan berusaha memperbaiki diri serta mempertingkatkan amalan selagi diberi kesempatan Allah SWT dalam rangka meningkatkan kualiti diri menjadi umat terbaik.

Selepas muhasabah diri, Muslim harus menerima kesalahan diri dan berusaha tidak mengulangi lagi kesalahan lalu, selari dengan firman Allah SWT bermaksud: "...dan (juga) orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa mereka dan siapa lagi dapat mengampuni dosa selain Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui". (Surah Al-Imran, ayt 135).

Kedua, Muslim perlu menetapkan azam dan cita-cita dalam kehidupan. Terdapat pelbagai azam boleh ditetapkan sama ada dari sudut kejayaan di dunia seperti mendapat kerjaya baik, memperoleh keputusan cemerlang, menjadi pekerja berdedikasi, menurunkan berat badan dan sebagainya dijadikan sebagai dorongan untuk berusaha lebih kuat dan gigih bagi mencapainya.

Selain itu, terdapat azam untuk memburu kejayaan di akhirat seperti penekanan dalam aspek ibadah dan akhlak khasnya menjaga solat, membaca al-Quran, melakukan solat berjemaah di masjid, meninggalkan perkara maksiat serta sia-sia.

Firman Allah SWT bermaksud: "…sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan pada diri mereka sendiri…" (Surah al-Ra'd, ayat 11).

Selanjutnya, firman Allah SWT bermaksud: "Apabila kamu berazam (membulatkan tekad), maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang bertawakal kepada-Nya". (Surah Ali Imran, ayat 159).

Niat dan usaha

Setiap matlamat ingin digapai perlu dimulakan dengan niat dan disusuli usaha. Usaha pula perlu disusun dengan strategi atau dilakukan secara berperingkat untuk mudah dilaksanakan. Akhirnya perlu bertawakal, berserah dan yakin dengan pertolongan Allah SWT.

Namun, tidak dinafikan akan wujud dugaan dan cabaran perlu ditempuhi sebagai syarat kebergantungan dan penyerahan diri manusia sebagai hamba secara total kepada Allah SWT.

Ketiga, berusaha memaksimumkan dan memanfaatkan sepenuhnya baki sisa usia. Perlu disedari bahawa semakin bertambah usia seseorang, menunjukkan kian dekat dengan kematian.

Secara tidak langsung mengingatkan yang manusia sebenarnya kesuntukan masa untuk meneruskan amal ibadah. Justeru, usah bertangguh melakukan kebaikan sementara masih diberi peluang atau nyawa di kandung badan.

Nabi SAW bersabda bermaksud: "Hiduplah engkau di dunia ini seakan-akan sebagai orang asing atau musafir dan mempersiapkan dirimu untuk menuju negeri akhirat". (HR Bukhari).

Majoriti umur dan usia seseorang di dunia ini adalah sekitar 60 hingga 70 tahun. Maka, perlu disedari dan insaf bahawa umur sangat singkat, sebaliknya gunakanlah kesempatan dengan beramal dan berbakti. Jangan tunggu esok untuk beramal dan melakukan kebaikan.

Nabi SAW bersabda bermaksud: "Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara iaitu masa muda sebelum masa tua, masa sihat sebelum masa sakit, masa kaya sebelum masa miskin, masa lapang sebelum masa sibuk dan masa hidup sebelum masa mati". (HR al-Hakim dan al-Baihaqi).

Oleh itu, dengan sisa baki masa dan usia yang ada ini, Muslim perlu meningkatkan dan memanfaatkan sepenuhnya tempoh yang ada ini untuk mencari bekalan dengan memperbanyakkan amal kebaikan dan ibadat dengan penuh ketakwaan.

Demikianlah, beberapa panduan bagi mencapai keseimbangan diri, setiap individu perlu melakukan muhasabah terlebih dahulu sebelum meningkatkan keazaman bagi mencapai matlamat kehidupan yang disasarkan.

Renungi firman Allah SWT bermaksud: "Allah melipatgandakan (pahala) bagi siapa Dia kehendaki. Allah Maha Luas lagi Maha Mengetahui," (Surah al-Baqarah, ayat 261)

Penulis adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Berita Harian X