Jumaat, 22 Disember 2023 | 9:47am

Konvokesyen bukan penamat graduan menuntut ilmu

APABILA tiba penghujung tahun, kebanyakan universiti di Malaysia menganjurkan majlis konvokesyen bagi meraikan kejayaan mahasiswa dan mahasiswi menamatkan pengajian. Majlis diadakan dengan penuh kemeriahan ini menjadi satu detik bersejarah dalam diari mahasiswa.

Graduan diraikan dengan memakai jubah khas, diraikan pensyarah dan ibu bapa, naik ke pentas untuk menerima ijazah sambil disaksikan hadirin sebagai upacara meraikan kejayaan menimba ilmu.

Justeru, setiap kejayaan perlu disyukuri supaya Allah SWT menambah lagi nikmat kejayaan lain pada masa akan datang. Jasa pensyarah juga perlu dikenang kerana mereka berusaha memastikan setiap anak didik berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang.

Bagaimanapun, satu perkara perlu menjadi ingatan graduan ialah majlis konvokesyen bukan tiket untuk meninggalkan dunia keilmuan. Tugas sebagai penuntut ilmu masih kekal dipikul setiap individu cintakan ilmu.

Sebenarnya banyak lagi ilmu boleh dipelajari selepas tamat pengajian di universiti. Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan tamatnya tempoh pengajian di universiti adalah bermulanya dunia realiti memerlukan ilmu untuk kehidupan stabil.

Ilmu yang dimiliki hanya sekelumit daripada ilmu Allah SWT amat luas. Allah SWT berfirman dalam al-Quran bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambah lagi dengan lautan sebanding dengannya, sebagai bantuan." (Surah al-Kahfi, ayat 109)

Ia menjelaskan bahawa ilmu yang ada pada manusia sangat terbatas jika dibandingkan dengan pengetahuan Allah SWT. Tidak ada alasan dapat diberikan jika seseorang mahu berhenti menimba ilmu.

Menurut Islam, ada lima keutamaan orang menuntut dan menyebarkan ilmu. Ilmu adalah warisan Nabi, orang menuntut ilmu akan ditinggikan darjatnya oleh Allah SWT.

Orang menyebarkan ilmu mendapat amal jariah yang pahalanya tidak terputus selama ilmunya dimanfaatkan, orang mengajarkan ilmu (agama) senantiasa didoakan malaikat dan penduduk langit serta orang menuntut ilmu dimudahkan jalannya ke syurga.

Hakikatnya, graduan tetap dituntut menuntut ilmu di mana juga berada, sesuai dengan konsep pembelajaran sepanjang hayat. Hari ini, banyak kuliah agama diadakan di masjid, surau bahkan dan pejabat.

Sekiranya individu mengambil keputusan untuk menjauhi ilmu dan majlis ilmu, maka ilmu yang sedia ada mungkin tidak relevan dalam membantu kehidupan semasa sehingga akhirnya termasuk dalam kalangan orang ketinggalan.

Berusaha bersaing dalam pasaran kerja

Sebenarnya konsep pembelajaran sepanjang hayat amat membantu lepasan ijazah mencari nilai tambah dalam diri. Konsep ini mampu menggembleng potensi individu belum berada dalam pasaran kerja menerusi pelbagai peluang meningkatkan kemahiran.

Graduan tidak boleh bersikap tunggu dan lihat. Mereka tidak boleh menunggu peluang pekerjaan datang bergolek di depan mata mereka. Mereka perlu berusaha bersaing dalam pasaran kerja dan terus menggilap potensi diri.

Allah SWT mengingatkan manusia nasib kehidupan ini bergantung kepada usaha masing-masing. Sekiranya individu itu tidak mahu meningkatkan potensi diri sendiri, maka orang lain tidak akan dapat membantu dirinya.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri" (Surah ar-Ra'd, ayat 11)

Golongan mendapat pendidikan formal di institusi pengajian tinggi (IPT) adalah golongan terpilih. Mereka mempunyai kebolehan mendapat, memahami dan mengaplikasi ilmu dipelajari untuk faedah diri sendiri dan orang lain. Graduan tidak boleh hanya berada dalam kelompok mereka sahaja tanpa menghiraukan masyarakat sekelling.

Rasulullah SAW bersabda dalam hadis bermaksud: "Manusia paling dicintai Allah adalah paling memberikan manfaat kepada manusia." (HR at-Tabrani).

Ia menunjukkan Islam memandang tinggi usaha dilakukan seorang insan yang dapat memberi manfaat kepada insan lain. Allah SWT menyayangi hamba-Nya yang dapat memberi manfaat kepada orang lain.

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Sesiapa biasa memenuhi (membantu) hajat saudaranya, maka Allah akan sentiasa memenuhi hajatnya." (Muttafaq 'alaih)

Inilah ilmu hidup perlu dipelajari graduan baru tamat pengajian. Selain berusaha mendapat pekerjaan dan mencipta kejayaan dalam kerjaya diimpikan, usah lupa membantu orang lain dengan ilmu dimiliki. Hal ini juga satu bentuk ilmu kehidupan perlu dirasai setiap graduan kerana hakikatnya erti hidup itu pada memberi.

Usaha menimba ilmu perlu diteruskan bukan saja untuk manfaat diri sendiri, tetapi dapat membantu orang lain. Allah SWT memberkati kehidupan Muslim orang berilmu dan menuntut ilmu serta tergolong dalam kalangan hamba-Nya beroleh kejayaan di dunia dan akhirat.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran maksudnya: "Allah menjanjikan bagi orang beriman, lelaki dan perempuan, (akan beroleh) syurga mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekal di dalamnya dan beroleh tempat baik dalam syurga 'Adn' serta keredaan daripada Allah lebih besar kemuliaannya; (balasan) yang demikian itulah kejayaan besar." (Surah at-Taubah, ayat 72)

Penulis adalah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin

Berita Harian X