Rabu, 6 Disember 2023 | 8:31am

Guna kosmetik, suplemen usah sampai mudaratkan diri

SETIAP orang terutama wanita mempunyai cara masing-masing dalam bab penjagaan kecantikan kulit wajah dan badan. Amalan gaya hidup sihat bermula daripada pemakanan, kebersihan diri, pakaian dan tempat, selain pemilihan produk pembersihan, kosmetik, suplemen, aktiviti senaman hingga penjagaan kesihatan mental menjadi saranan perlu dititikberatkan.

Pemilihan produk pembersihan, kosmetik, suplemen kesihatan dan kecantikan misalnya, hendaklah dipastikan selamat diguna. Sesuatu produk perlu lulus menjalani ujian makmal dan klinikal seperti ujian dermatologi dan kimia sebelum mendapat pengesahan keselamatan daripada pihak berkuasa.

Secara lebih tepat di negara ini, pemantauan dan kawal selia sekuriti produk kosmetik dilakukan Bahagian Regulatori Farmaseutikal Negara, manakala produk suplemen pula, selain bahagian terbabit, adalah Bahagian Kawalan Kualiti Makanan yang kedua-duanya di bawah Kementerian Kesihatan.

Pengguna boleh menyemak status notifikasi produk kosmetik dan farmaseutikal menerusi laman web rasmi Bahagian Regulatori Farmaseutikal Negara, iaitu melalui sistem 'QUEST3+'.

Dalam Islam, isu keselamatan adalah suatu perkara diberikan perhatian, malah kita diingat untuk tidak memudaratkan diri sendiri. Terdapat banyak aspek keselamatan menjadi keutamaan pada hari ini, merangkumi aspek makro (negara) seperti ketenteraan dan kawalan sempadan serta aspek mikro (individu) seperti sekuriti makanan, privasi, siber dan maklumat, kesihatan, kecantikan dan kosmetik.

Allah SWT memerintahkan hamba-Nya agar menjaga keselamatan dan melarang daripada merosakkan diri. Firman Allah SWT: "Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah dan jangan kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang berusaha memperbaiki amalannya." (Al-Baqarah: 195)

Ayat ini pada asasnya menerangkan kebinasaan akibat bersikap bakhil, namun boleh dijadikan sebagai panduan dalam pelbagai keadaan secara umum. Dalam isu ini, pengguna khususnya dalam kalangan wanita perlu menjauhkan diri daripada memilih produk penjagaan kulit, kosmetik serta pengambilan suplemen yang berbahaya dan tidak selamat.

Larangan jual produk tak selamat

Larangan sengaja meletakkan diri dalam bahaya bukan hanya ditujukan kepada pengguna, malah kepada penjual juga. Amat malang apabila ada segolongan pihak memperkenalkan dan menjual produk tidak selamat seperti dicampur bahan palsu (adulterant) mengandungi bahan dalam senarai racun berjadual, bertujuan menjanjikan kesan yang cepat namun akhirnya mendatangkan mudarat kepada pengguna.

Firman Allah SWT lagi: "Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya." (Al-A'raf: 56)

Larangan memudaratkan diri sendiri dan orang lain juga disebutkan dalam hadis. Abu Sa'ad Ibnu Sinan al-Khudri RA meriwayatkan Nabi SAW bersabda: "Tidak ada sebarang mudarat dan tidak ada juga perbuatan membalas kemudaratan." (Hadis riwayat Ibnu Majah dan al-Daruqutni)

Rasulullah SAW menyebut secara umum kerana jenis kemudaratan itu rencam dan dilakukan menerusi pelbagai cara. Sebarang perbuatan yang membawa mudarat kepada diri sendiri dan orang lain adalah dilarang dalam syarak, sama ada secara langsung atau tidak langsung, sedikit atau banyak, segera mahupun lambat.

Kaedah fiqh yang terbit daripada hadis di atas menjadi antara prinsip agung dalam kehidupan Islam untuk mencapai kesejahteraan masyarakat, sama ada membabitkan umat Islam mahupun bukan Islam. Islam menuntut umatnya untuk mencari keharmonian hidup duniawi dan ukhrawi.

Selain itu, menerusi ilmu maqasid syariah, penjagaan diri (hifz al-nafs) antara daripada lima aspek amat ditekankan dalam perbuatan mukallaf. Islam sekali lagi menyuruh umatnya mencapai perkara yang membawa kebaikan (maslahah) diri dan menolak perkara membawa keburukan (mafsadah) berdasarkan neraca syarak.

Pengguna perlu bijak membuat pilihan. Pastikan produk berkenaan selamat digunakan, barulah membelinya. Jangan gadaikan wang ringgit dan keselamatan semata-mata ingin menikmati kesan cepat, namun merosakkan dan membahayakan diri sendiri pada masa akan datang.

Keselamatan produk boleh diketahui dengan mendapat pengesahan pihak berautoriti dan badan kawalan, selain mengambil kira aspek kesesuaiannya dengan kondisi kulit masing-masing.

Penjual juga hendaklah mengambil kira aspek keselamatan pengguna. Jangan mempamerkan iklan dan label mengelirukan bertujuan untuk memperdaya pembeli. Pemikiran acuan kapitalisme yang mengabaikan kebajikan pengguna dan memikirkan keuntungan semata-mata hanya merosakkan masyarakat.

Penulis adalah Penolong Pensyarah Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam dan Sains Sosial, Universiti Sultan Azlan Shah

Berita Harian X