Rabu, 13 September 2023 | 9:31am
Umat Islam perlu menghayati akhlak Islamiah dalam semua keadaan seperti mana diajar Islam dalam al-Quran dan al-Sunnah. - Foto hiasan
Umat Islam perlu menghayati akhlak Islamiah dalam semua keadaan seperti mana diajar Islam dalam al-Quran dan al-Sunnah. - Foto hiasan

Muslim perlu bersatu, beradab menangani masalah khilafiah

MODEL masyarakat dibentuk Rasulullah SAW ketika hijrah dari Makkah ke Madinah perlu dijadikan contoh dalam pembentukan masyarakat dan Malaysia MADANI.

Ilmu dan kasih sayang antara tonggak berjaya menghasilkan masyarakat hebat dan cemerlang serta dapat bersatu padu dalam menangani apa juga masalah yang timbul.

Justeru, menjadi kewajipan kepada kita untuk menghayati nilai diterapkan Rasulullah SAW dalam usaha menjayakan Malaysia MADANI. Dalam konteks Malaysia, ilmu perlu digarap sebaiknya bagi mengatasi segala kekeliruan dan perbalahan tiada berkesudahan, mengakibatkan proses perpaduan dan persaudaraan dalam masyarakat dapat dihasilkan.

Selain ilmu, kasih sayang juga perlu disemai dalam kalangan masyarakat supaya dapat menghentikan perbalahan di samping berusaha merealisasikan perpaduan dalam masyarakat.

Hal ini sangat penting kerana tanpa perpaduan, masyarakat dan negara tidak dapat membangun dengan sejahtera. Khilaf atau perbezaan pendapat adalah lumrah dalam kehidupan.

Perbezaan pendapat diiktiraf dalam Islam dan khilaf dibenarkan itu dinamakan dengan khilaf muktabar. Khilaf muktabar sepatutnya dihiasi dengan sikap toleransi. Itulah diajarkan Nabi SAW .

Toleransi dibenarkan dalam perkara khilaf berkaitan dengan masalah furu' dalam syariah. Akan tetapi perkara qat'ie sudah pasti tiada berlaku khilaf padanya.

Sebagai contohnya, hukum kewajipan menunaikan solat adalah sesuatu yang dasar dan tidak boleh berlaku toleransi kewajipannya dan tidak ada khilaf dalam perkara ini.

Begitu juga, terdapat perkara prinsip dan dasar tiada ruang untuk bertoleransi seperti dalam perkara membabitkan akidah. Demikian juga perkara menjadi ijmak, contohnya hukuman rejam kepada penzina sudah bernikah. Ia adalah perkara ijmak di sisi Ahli Sunnah Wal Jamaah, maka tidak dibenarkan untuk bertoleransi dalam perkara ini.

Mengapakah sering berlaku khilaf dan perbezaan pendapat dalam kalangan manusia? Setiap manusia dibesarkan dalam suasana berbeza. Begitu juga pendidikan berbeza di antara satu sama lain.

Hidup aman damai tanpa permusuhan

Hakikat ini amat wajar difahami supaya kita dapat hidup aman damai, bersatu padu tanpa perlu bermusuhan dan bercakaran kerana disebabkan persekitaran dibesarkan dan pendidikan dilalui membuatkan kita mempunyai perspektif berbeza apabila menilai serta memberi pandangan terhadap setiap isu yang timbul.

Pastinya juga perbezaan yang timbul adalah natijah kepada kepelbagaian yang wujud dari sudut pendidikan, pemikiran dan kebiasaan dalam kehidupan serta alam sekeliling.

Aspek ini disentuh Allah dalam Surah al-Hujurat dengan menekankan tujuan utama supaya saling kenal-mengenali dan bukan saling kecam-mengecam antara sesama manusia.

"Wahai manusia. Sesungguhnya Kami menciptakan kamu lelaki dan perempuan, dan Kami menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang lebih bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya". (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Sebagai seorang Muslim, kita perlu menghayati akhlak Islamiah dalam semua keadaan sebagaimana diajar Islam dalam al-Quran dan al-Sunnah. Adapun adab atau etika dalam berhadapan dengan masalah khilafiyyah khususnya bagi kita yang bukan ulama mujtahidin perlu sekali diberi penekanan supaya tidak menimbulkan porak peranda dan kecelaruan dalam masyarakat.

Antara adab dalam menangani persoalan khilaf ialah seperti berikut:

● Setiap orang mesti membersihkan dirinya daripada sebarang sentimen taasub dan fanatik secara membuta tuli

● Setiap orang tidak wajar berasa sempit dada dengan sebab wujud perbezaan pandangan kerana perbezaan dalam pemahaman dan istinbat adalah suatu perkara lumrah dan tabii akal manusia, maka sudah pasti akan berbeza dalam istinbat dan fahaman

● Seseorang tidak wajar memaksa orang lain menerima pandangannya dalam masalah khilafiyyah.

● Renungi kaedah fiqhiyyah, iaitu 'tidak atau jangan dibantah sesuatu hukum berlaku khilaf dalam kalangan fuqaha'. Sesungguhnya yang perlu dibantah ialah perkara mungkar disepakati ulama atas pengharamannya'

Mesti beradab dengan ulama mempunyai pandangan berbeza, jangan sesekali melemparkan tuduhan bid'ah ke atas amalan khilafiah.

● Pendakwah, guru atau imam hendaklah bijak menangani masalah khilafiah. Jangan membangkitkan perkara remeh-temeh kerana hal ini boleh menimbulkan perpecahan dalam masyarakat.

● Fokus kepada persoalan pokok seperti perlu berganding bahu dalam melaksanakannya.

Kesimpulannya, setiap Muslim perlu renungi ungkapan Sheikh Abd al-Rasyid Ridha: "Saling bantu-membantu di antara kita dalam menegakkan perkara kita sepakati dan bertolak ansur serta bermaafan di antara kita dalam perkara khilaf".

Penulis adalah Pensyarah Wacana Aqidah, Fiqh, Sirah, Akhlak dan I'jaz al-Quran, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia

Berita Harian X