Rabu, 30 Ogos 2023 | 1:24pm
Sheikh Abdullah Fahim.
Sheikh Abdullah Fahim.

Jasa Sheikh Abdullah Fahim dalam kemerdekaan negara

GOLONGAN ulama dan ahli agama tidak terkecuali daripada menyokong perjuangan menuntut kemerdekaan. Antara tokoh tersohor ialah Allahyarham Sheikh Abdullah Fahim yang juga datuk kepada Perdana Menteri Kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Anak kelahiran Makkah itu, mempunyai kemahiran dan penguasaan tinggi ilmu falak dengan gelaran Fahim berasal daripada kalimah Arab bermaksud seseorang berpengetahuan dan luas ilmunya.

Penguasaan ilmu falak sangat penting dalam Islam kerana ia menentukan arah kiblat, waktu solat dan keadaan anak bulan. Justeru, Sheikh Abdullah mengaplikasikan pengetahuan ilmu falak untuk menentukan tarikh kemerdekaan negara.

Malah, sebelum Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra mengetuai rombongan ke London untuk berunding dengan kerajaan Inggeris pada 1 Januari 1956, beliau meminta nasihat daripada Sheikh Abdullah.

Kisah itu diceritakan Naib Pengerusi Hadhari Global Network, Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Yusof Othman mengenai pesanan Sheikh Abdullah bahawa tarikh kemerdekaan mesti diperoleh pada 31 Ogos 1957.

"Tidak diketahui formula khas digunakan, namun menurut (anak beliau) Allahyarham Datuk Ahmad Badawi, Sheikh Abdullah mengambil kira tarikh kejatuhan Melaka di tangan Portugis pada 24 Ogos 1511 Masihi, iaitu Ahad bersamaan 29 Jamadilawal 917 Hijrah untuk menentukan tarikh kemerdekaan Tanah Melayu.

"Tarikh sebenar Portugis mula serang Melaka hari Khamis, 24 Julai 1511 bersamaan 28 Rabiulakhir 917 Hijrah (H). Kalau dikira hari bermula 24 Ogos 1151 sehingga 31 Ogos 1957 terdapat 162,896 hari.

"Kalau bertepatan anak bulan 29 Jamadilawal 917H, tempohnya adalah 445 tahun, 363 hari, lima jam 24 minit, 01.48 saat. Kemungkinan Sheikh Abdullah menghitung sejak Jumaat 22 Ogos 1511, yang menjadikan 446 tahun dijajah penjajah ke atas Tanah Melayu," katanya.

Mohd Yusof yang juga Profesor Emeritus di Institut Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata demikian pada Syarahan, Forum dan Pelancaran Buku Sheikh Abdullah Fahim Warisan Keilmuan, Astronomi dan Politik anjuran Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Badawi di Pulau Pinang, baru-baru ini.

Sheikh Abdullah turut menasihati Tunku supaya berangkat menaiki kapal laut agar mempunyai masa mencukupi untuk berbincang sesama mereka dan pulang dengan kapal terbang supaya tiada siapa sempat mengubah fikiran terhadap keputusan dipersetujui.

Mufti Pulau Pinang pertama itu turut menyebut tarikh 31 Ogos 1957 dalam bahasa Arab 'am khir atana' yang bermaksud 'tahun baik datang kepada kita.'

Sheikh Abdullah berpesan jika tarikh kemerdekaan Tanah Melayu bukan 31 Ogos 1957, hari kemerdekaan seterusnya adalah pada 31 Ogos 1962.

Empat buruj berada di ufuk barat

Apa menarik perhatian, pada malam kemerdekaan didapati empat buruj, iaitu Scorpio, Virgo, The Sail (berbentuk kapal layar) sedang berada di ufuk barat sejurus selepas terbenam matahari.

Kelihatan juga dua planet sangat terang pada ketika itu, iaitu Musytari (kecerahan 100 peratus) dan Zuhrah atau bintang Kejora dengan kecerahan 79 peratus berhampiran Buruj The Sail dengan bulan pula tepat berada dalam Buruj Libra.

Lebih menarik, apabila simulasi kedudukan malam berlainan bagi malam 31 Ogos 1957 dan 31 Ogos 1962 dibandingkan pengkaji mendapati cakerawala berkedudukan sama terutama bintang Kejora yang terang di ufuk barat.

Dalam hal ini, dikhabarkan, seorang guru Madrasah Daeratul Ma'arif al Wataniah (kini Sekolah Menengah Agama (SMA) Daeratul Maarifil Wataniah) diasaskan Sheikh Abdullah di Kepala Batas pernah bercerita mengenai alat dipanggil astrolabe kepunyaan beliau ada disimpan di bilik pengetua sekolah itu.

Justeru, antara warisan falak tinggalan beliau ialah jadual takwim waktu solat bertulisan tangan, penentuan arah kiblat serta waktu solat menggunakan jam zawal, perigi pencerapan bintang dan kaedah pengecaman buruj.

Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak menyempurnakan simbolik perasmian Majlis Syarahan Sheikh Abdullah Fahim sambil disaksikan Pengerusi Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi (LEGASI), Senator Datuk Dr Jefridin Atan (kiri) di Kepala Batas, baru-baru ini.
Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak menyempurnakan simbolik perasmian Majlis Syarahan Sheikh Abdullah Fahim sambil disaksikan Pengerusi Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi (LEGASI), Senator Datuk Dr Jefridin Atan (kiri) di Kepala Batas, baru-baru ini.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa UKM, Prof Dr Mohammad Kassim menyifatkan Sheikh Abdullah menerangi jalan dalam memahami pergerakan bulan dan bintang di langit serta fenomena alam.

"Kepakaran dalam ilmu falak tidak hanya memberikan pandangan lebih jelas terhadap aspek astronomi, bahkan wawasan mendalam mengenai pengiraan waktu dan penentuan kalendar Islam.

"Beliau mempraktikkan ilmu falak dalam konteks seharian umat Islam dan membantu dalam menentukan waktu solat serta ibadah khusus," katanya.

Dalam perkembangan sama, Pengarah Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Hisham Sabri, berkata legasi Sheikh Abdullah perlu diadaptasi dalam realiti semasa.

"Beliau mempunyai tahap kesabaran tinggi, bijak percakapan, ketegasannya bertempat dan tidak pernah mengeluarkan kata-kata kesat.

"Tokoh itu juga cenderung berdiam diri sekiranya tidak bersetuju sesuatu perkara, kemudian menjelaskannya dengan berhikmah," katanya.

Ulama disegani seangkatan Tok Kenali itu juga sangat mempunyai semangat patriotik tinggi dan pernah terbabit dalam dua parti Melayu-Islam, iaitu PAS dan UMNO.

Madrasahnya dikunjungi ramai tokoh politik Melayu untuk mendapatkan nasihat, malah beliau mengizinkan madrasah berkenaan dijadikan markas UMNO Kepala Batas.

Ini kerana madrasah itu perlu berperanan sebagai pusat pendidikan keilmuan dan kegiatan politik dengan mendidik anak bangsa dalam perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu.

Pensyarah Kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Khairil Husaini Jamil menjelaskan selagi mana seseorang berada dalam keadaan berilmu, individu itu akan kembali dalam keadaan selamat.

"Paling utama ialah belajar mengenal Allah SWT dan kita akan nampak bagaimana untuk menjadi khalifah dan pemimpin serta sentiasa berusaha meningkatkan diri untuk memberi manfaat kepada masyarakat dan negara," katanya yang juga alumni SMA Daeratul Maarifil Wataniah.

Berita Harian X