Jumaat, 26 Mei 2023 | 12:26pm

Polemik kalimah Allah, 'terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya'

Pepatah Melayu menyebut 'terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya'. Mendepani isu penggunaan kalimah Allah dalam kalangan orang bukan Islam, ia mungkin tidak semudah 'menarik rambut di dalam tepung'.

Apabila isu berkait dengan agama Islam diputuskan dengan sewenang-wenangnya, maka tindakan itu dianggap sebagai sudah mencabar sensitiviti orang Islam dan agama Islam.

Hakikatnya menguruskan isu kalimah Allah bukan lagi membabitkan isu politik. Ia menyentuh Perkara 3 (1) Perlembagaan yang terang menyatakan Islam adalah agama bagi Persekutuan.

Keputusan kerajaan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah 'Allah' dan tiga perkataan Arab lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran mengejutkan banyak pihak.

Menurut Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 berkuat kuasa di Selangor dan fatwa diwartakan di negeri itu pada 18 Febuari 2010, penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam dianggap sebagai jenayah.

Manakala, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Islam (MKI) atau Muzakarah Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia 2008 memutuskan lafaz Allah adalah kalimah suci khusus bagi agama dan umat Islam, ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama bukan Islam.

Isu ini tercetus apabila Jill Ireland memohon semakan kehakiman pada 20 Ogos 2008 supaya dikembalikan lapan cakera padat (CD) dengan tajuk tertera mengandungi kalimah Allah miliknya dirampas pada 11 Mei 2008.

Jill turut memohon semakan pengisytiharan mengenai hal Perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan Kristian.

Hasilnya, mahkamah memerintahkan CD itu dipulangkan pada 2014 selepas melalui beberapa proses dan memutuskan arahan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 1986, iaitu melarang penggunaan empat kalimah Arab dalam penerbitan agama lain adalah tidak sah dan tidak rasional.

Isu kalimah Allah bukan isu remeh yang dipertuturkan dengan lidah mahupun pena, namun di sebalik isu literal ini, ia sebenarnya mengandungi 1001 makna sangat penting untuk menjaga akidah masyarakat Muslim di Malaysia.

Demi untuk memperkukuhkan ideologi perpaduan dan keharmonian antara kaum dan agama di Malaysia, adakah wajar mengorbankan kefahaman masyarakat Muslim terhadap kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan solat di Malaysia tercinta ini?

Tambahan pula, tiada istilah doktrin pluralisme dibenarkan dalam Islam. Situasi di Malaysia, agama Islam dilindungi undang-undang dan fatwa yang diwartakan.

Meskipun, pada zahirnya mungkin isu kalimah Allah kelihatan seperti terkait dengan isu alih bahasa sahaja, iaitu 'God' dalam bahasa Inggeris, manakala Tuhan dalam bahasa Melayu, namun, kalimah Allah ini berakar umbi dengan sebati dalam kepercayaan umat Islam di Malaysia.

Selain, memahami inti pati kepada tuntutan kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan Solat kekal untuk umat Islam sahaja, kerajaan boleh cuba menganalisis masalah ini berdasarkan teori 'maslahah' (kebaikan) dan 'mafsadah' (keburukan) bakal melanda jika dibenarkan penggunaan kalimah Allah untuk tujuan pembelajaran agama lain.

Sekiranya mafsadah itu lebih besar daripada maslahah yang akan diperoleh kesan daripada tindakan sesebuah keputusan diambil dan dilaksanakan, maka tindakan itu tidak boleh diteruskan. Ia bertentangan dengan prinsip 'maqasid syariah' dan hukum Islam.

Ulama Islam, Hasan al-Banna berkata dalam kitabnya, 'Usul Isyrin' - "Keputusan kepemimpinan dalam organisasi wajib dilaksanakan dalam perkara maslahah, yang tiada nas dan tidak bertembung dengan kaedah syarak dan adakala ia bergantung kepada 'uruf' ataupun adat masyarakat setempat".

Maka, jika dengan membenarkan kalimah Allah digunakan dalam kitab bukan Islam akan menimbulkan kekeliruan dan keraguan umat Islam bahawa Islam itu agama benar, maka keputusan itu bukanlah keputusan adil untuk umat Islam di Malaysia.

Pelaksanaan Islam yang menjadi sendi kepada adat dan 'uruf' di Malaysia ini perlu diteruskan tanpa ganggu gugat daripada mana-mana pihak supaya keadaan aman dan harmoni dapat direalisasikan menurut Perlembagaan.

Menurut Imam Ghazali, 'maslahah menurut makna asalnya bermaksud menarik manfaat atau menolak mudarat'.

Dalam isu ini, apa yang dimaksudkan dengan maslahah ialah memelihara tujuan syarak iaitu agama, jiwa, akal, keturunan dan harta mereka.

Setiap hukum mengandungi tujuan memelihara lima perkara ini disebut 'maslahah' dan setiap perkara menafikannya dipanggil 'mafsadah' dan menolaknya disebut 'maslahah'.

Daripada definisi Imam Ghazali ini, salah satu inti pati mustahak ditekankan ialah, berhati-hati dalam membuka 'pintu maslahah' supaya tidak berpandukan hawa nafsu. Maslahah ingin diterapkan mesti bertunjangkan keimanan dan ketakwaan.

Jika dikatakan dengan kebenaran menggunakan kalimah Allah ini untuk maslahah menjaga perpaduan negara dan keharmonian antara semua agama di Malaysia, maka sekali lagi lihat dengan mata hati dan panduan akal.

Imam Ghazali juga menegaskan dalam kitabnya, 'Al-Mustasyfa fi Ilmi Al-Usul' bahawa, maslahah manusia mesti selari dengan maslahah syarak. Manusia dan syarak ingin mencari kemaslahatan dan berkemungkinan maslahah ingin dicapai tidak sama dengan maslahah diinginkan syarak.

Walaupun pada hakikatnya, kelihatan seperti maslahah manusia tidak selari dengan syarak pada sesetengah isu, namun, hakikatnya maslahah syarak itu sebenarnya selari dengan maslahah mansia.

Contohnya, meraikan kemahuan agama lain supaya boleh menggunakan kalimah Allah untuk tujuan pembelajaran di Malaysia, hal ini mungkin tidak sesuai kerana mafsadah boleh terbuka luas, iaitu akidah umat Islam boleh terkorban berada pada peratusan agak tinggi.

Perlu difahami, adat dan 'uruf' juga memainkan peranan penting kerana kaedah fiqh menyebutkan 'Al-'Adah Muhakkamah' bermaksud 'Adat boleh memberi hukum' dengan syarat tidak melanggar al-Quran dan hadis. Ia termasuk dalam isu penggunaan kalimah Allah dan tiga kalimat lain.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia

Berita Harian X