RAMADAN muncul kembali dan ia bulan Allah SWT sebutkan penuh dengan kelebihan serta tawaran kepada hamba-Nya jika bersungguh-sungguh mencari keredaan dan keampunan-Nya.
Ramadan memiliki banyak kelebihan dan dinyatakan Allah SWT dalam ayat 185 surah al-Baqarah yang antara lain menyatakannya sebagai bulan diturunkan al-Quran dan terkandung kewajipan berpuasa tidak terdapat dalam bulan lain.
Firman Allah SWT: "(Masa diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara benar dengan salah. Oleh itu, sesiapa antara kamu menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu dan sesiapa sakit atau musafir maka (bolehlah ia berbuka), kemudian wajib ia berpuasa sebanyak hari ditinggalkan itu pada hari lain.
"(Dengan ketetapan demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur." (Al-Baqarah: 185)
Kemuliaan dan keberkatan Ramadan adalah pemelihara Muslim supaya sentiasa berada dalam rahmat dan keredaan Allah SWT selagi dia menghindari melakukan dosa besar.
Dalam hal ini, Abu Hurairah RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: "Solat fardu lima waktu, solat Jumaat ke Jumaat berikutnya dan Ramadan ke Ramadan berikutnya menghapuskan dosa dilakukan antara masa itu seandainya dosa besar dijauhkannya." (Hadis riwayat Muslim)
Oleh itu, setiap Muslim perlu bersungguh-sungguh melaksanakan setiap kewajipan dan mempersembahkan ketaatan mereka sepanjang Ramadan kerana di situlah kunci utama mencapai keampunan dan keredaan Allah SWT.
Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang lalu." (HR Bukhari dan Muslim)
Justeru, apa persiapan perlu dilakukan bagi menghadapi Ramadan? Puasa pada Ramadan menuntut kesediaan mental dan fizikal umat Islam bagi memastikan ibadah puasanya itu benar-benar menjadi asbab kepada tercapainya darjat takwa kepada Allah SWT.
Setiap umat Islam perlu mempersiapkan mental dengan menanamkan rasa kecintaan dan kerinduan tinggi kepada kehadiran Ramadan.
Dengan wujudnya rasa cinta ini, ia akan menaikkan semangat Muslim untuk menyambut Ramadan dengan amal ibadah banyak dan terus istiqamah dengannya.
Tawaran menarik dijanjikan melalui al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW adalah motivasi terpenting bagi setiap umat Islam melaksanakan perintah dan mempersembahkan ketaatan kepada Allah SWT.
Sepanjang Ramadan nanti, terdapat banyak manfaat dan faedah boleh diperoleh sekiranya Muslim beriman menjalani dengan tekun dan ikhlas.
Pertama: Ketakwaan kepada Allah SWT. Tujuan asal kewajipan berpuasa ialah mencapai darjat takwa kepada Allah SWT. Ia jelas berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 183.
Takwa dengan maksud pemeliharaan seseorang terhadap melaksanakan ketaatan dan perintah Allah SWT dan menjauhi segala larangan-Nya.
Ia dikuatkan dengan hadis Rasulullah SAW: "Puasa itu perisai, jika suatu hari salah seorang antara kamu dalam keadaan berpuasa, maka hendaknya dia tidak berkata kotor dan berteriak-teriak. Jika seseorang mencela dan mencacinya, hendaklah dia mengatakan, 'Sesungguhnya aku sedang berpuasa." (HR Bukhari)
Kedua: Pahala khusus daripada Allah SWT. Istimewanya ibadah puasa, Rasulullah SAW menyatakan Allah SWT sendiri akan memberikan pahala kepada hamba-Nya melaksanakannya dengan ikhlas.
Sabda Rasulullah SAW: "Setiap amal dilakukan anak Adam akan dilipat gandakan. Satu kebaikan dilipat gandakan menjadi 10 hingga 700 kali ganda. Lalu Allah Azza wa Jalla berfirman 'Kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untuk-Ku dan Aku-lah memberi ganjarannya. Orang berpuasa meninggalkan syahwat dan makan minum demi Aku semata-mata'." (HR Muslim)
Ketiga: Memperoleh dua kebahagiaan. Disebutkan bahawa orang berpuasa, dijamin dua kegembiraan. Sabda Rasulullah SAW dalam hadis diriwayatkan Abu Hurairah RA: "Bagi orang berpuasa itu ada dua kebahagiaan, berbahagia ketika dia berbuka, berbahagia dengan puasanya itu dan ketika dia berjumpa Tuhannya." (HR Bukhari)
Keempat: Keistimewaan memasuki syurga melalui pintu al-Rayyan
Dalilnya ialah hadis Sahl Ibnu Sa'ad RA daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: "Sesungguhnya di syurga itu ada sebuah pintu disebut al-Rayyan. Pada hari kiamat nanti orang suka berpuasa akan masuk syurga melalui pintu itu. Tidak ada seorang pun selain mereka diperkenankan (untuk masuk syurga) melalui pintu itu." (HR Bukhari)
Begitulah sebahagian kelebihan dan keistimewaan Ramadan al-Mubarak mesti direbut setiap umat Islam beriman. Maka, Ramadan kali ini perlu dimanfaatkan dengan sebaiknya dengan mempersiapkan mental dan fizikal, rohani dan jasmani supaya dapat melaluinya dengan tenang, gembira dan bersungguh-sungguh demi mengejar rahmat dan reda Allah SWT.
Penulis adalah Penolong Pengarah Kanan Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)