ISLAM membawa rahmat kepada sekalian alam (rahmatan lil alamin), manakala umatnya disifatkan ummatan wasatan bermaksud pertengahan, adil dan pilihan. Justeru, sebaik-baik umat adalah merealisasikan sikap dan tingkah laku Islam berperikemanusiaan, inklusif, bertolak ansur serta menyebarkan kebaikan.
Dalam konteks masyarakat Malaysia bersifat heterogen berkaitan adat, bahasa, budaya dan agama, pengamalan Islam perlu bercirikan rahmatan dan wasatan, sekali gus tampil sebagai entiti pelindung terhadap kepelbagaian dan kemajmukan.
Dari sudut sejarah dan budaya, Malaysia sangat kompleks dengan kepelbagaian ras, etnik, bahasa dan agama dengan proses perkembangan Islam di Alam Melayu berlaku secara aman.
Keunikan ini mempengaruhi penghayatan dan pengalaman kolektif umat Islam terhadap pluraliti agama serta budaya tempatan.
Menyentuh isu kontroversi perarakan baru-baru ini, Penasihat Pertubuhan Ilmuwan dan Cendekiawan Muslim Malaysia (ILMAN), Dr Hamidah Mat, berkata Islam menggariskan panduan dalam kehidupan termasuk cara berpakaian dan bergaul serta akhlak.
"Muslim beridentiti Islam mengamalkan cara hidup sederhana dan mulia seperti ditunjukkan Nabi SAW tetapi pada masa sama, Islam meraikan adat serta budaya manusia tidak menyalahi prinsip syarak dan batasan kemanusiaan sejagat.
"Prinsip dinyatakan secara tidak langsung memberikan mesej kepada umat Islam bahawa sebarang perbuatan menyalahi norma masyarakat setempat adalah bukan sebahagian anjuran Islam," katanya.
Hamdiah berkata, cara berpakaian dengan tindakan membawa senjata walaupun replika tanpa objektif wajar, dianggap jauh daripada nilai dan budaya dipromosikan Islam.
"Hal ini boleh menimbulkan ketidaksenangan dalam kalangan umat Islam dan bukan Islam, malah agama sendiri mendapat imej buruk," katanya.
Sementara itu, Pensyarah Akidah dan Pemikiran Islam, Open University Malaysia (OUM), Prof Madya Dr Khairul Hamimah Mohammad Jodi, turut menyifatkan situasi itu kurang sesuai di negara ini.
"Ia lari daripada norma, kebiasaaan dan adat rakyat Malaysia. Apa tujuan mereka buat kelainan begini dengan mengenakan pakaian dan replika peralatan dibawa?" katanya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan pihak terbabit lebih fokus kepada isu survival orang Islam seperti berkaitan ekonomi dan pendidikan daripada perarakan tidak memberi impak baik kepada masyarakat.
Hal itu turut ditegur Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dengan mengingatkan umat Islam bahawa Islam tidak menentang mana-mana perayaan dengan niat baik.
"Namun, tindakan mereka menonjolkan penampilan mencabar nilai peradaban diri sendiri dan orang lain, dilarang sama sekali kerana bertentangan dengan al-Quran dan Sunnah," katanya.
Beliau menyifatkan tindakan berarak menggunakan simbol keagamaan Islam sebagai tidak wajar hingga menimbulkan pelbagai persepsi dan kegelisahan masyarakat.
"Semua pihak bertanggungjawab menyeru kepada keamanan dan keharmonian dalam masyarakat. Apa-apa tindakan boleh mengundang kegelisahan awam perlu dielakkan sama sekali," katanya.
Hakikatnya, Islam sebenarnya sangat kaya dengan implikasi kerohanian Ilahi atas sikap kemanusiaan, inklusif, bertolak ansur dan menyebarkan keamanan di semua peringkat dikenali sebagai hablum minannas.
Allah SWT berfirman: "Dan tidaklah Kami mengutus kamu (Muhammad), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam." (Al-Anbiyaa': 107)
Dalam Fathul Qadir, Sheikh Muhammad Ibnu Ali asy-Syaukani mentafsirkan sebab utama Allah SWT mengutus Nabi Muhammad SAW adalah sebagai pembawa rahmat luas kerana Tuhan mengutuskan Baginda dengan membawa sesuatu menjadi sebab kebahagiaan dunia dan akhirat
Allah SWT mengutuskan Nabi Muhammad SAW sebagai rahmat bagi seluruh manusia sama ada mukmin dan kafir. Bagi orang Islam, Allah SWT memberi petunjuk dengan sebab diutuskan Muhammad SAW dan memasukkan mereka ke syurga kerana iman serta amal soleh.
Rahmat bagi orang bukan Islam pula berbentuk tidak disegerakan bencana menimpa mereka seperti terjadi kepada umat terdahulu mengingkari Nabi dan Rasul. Oleh itu, Islam adalah agama benar membawa rahmat bagi seluruh umat manusia, baik mukmin mahupun kafir.
Kemakmuran masyarakat dan negara sangat rapat dengan nilai peradaban dipegang penganutnya. Antara sifat terpuji amat perlu diterapkan dalam masyarakat kita adalah mempamerkan imej Islam sebenar.
Realitinya, nilai rahmah mengajarkan kepada kita maksud dan tujuan kehidupan. Manusia diciptakan bukan semata-mata untuk memenuhi kewajipan peribadi tetapi berperanan menjadi sumber menyebarkan rahmah kepada manusia lainnya.
Dalam kitab Hiwar 'An Bu'd Huquq al-Insan fi al-Islam, ulama Islam kontemporari, Sheikh Ben Bayyah menyatakan: "Tidak ada kebebasan dalam maki hamun orang lain. Tidak ada kebebasan dalam menyebarkan kemudaratan kepada masyarakat. Hal ini kerana kebebasan disertai dengan sikap bertanggungjawab."
Penulis adalah Timbalan Setiausaha Pertubuhan Ilmuwan dan Cendiakawan Islam Malaysia (ILMAN)