KUALA LUMPUR: Ensiklopedia Keluarga Bahagia: Cinta Sampai Syurga, sebuah buku ilmiah lengkap sebagai panduan bagi mendapatkan keluarga bahagia mengikut syariat Islam.
Buku 12 bab itu membincang secara mendalam pelbagai topik merangkumi pelbagai fasa kehidupan bermula sebelum berkahwin, awal perkahwinan dan alam rumah tangga seterusnya hal mendidik anak.
Ia ditulis secara bersama oleh Dr Wan Nor Adibah Wan Ahmad, Prof Madya Dr Norsaleha Mohd Salleh dan pendakwah bebas, Ustazah Asma' Harun.
Asma' berkata, sebagai pendakwah dalam bidang kekeluargaan, sudah sekian lama beliau berhasrat menghasilkan buku sedemikian sebagai panduan kepada ummah.
Katanya, sebaik penerbit mustread Sdn Bhd menawarkan untuk menulis buku berkenaan bersama dua lagi pakar akademik, beliau mengambil peluang berkenaan walaupun sedar akan risiko yang ada.
"Buku mengenai kekeluargaan memang sudah banyak di pasaran dan kebanyakan bersifat ringan dan santai bagi mengikut keadaan semasa pembaca yang lebih sukakan penulisan sedemikian.
"Bagaimanapun, Ensiklopedia Keluarga Bahagia: Cinta Sampai Syurga dihasilkan dengan gaya ilmiah kerana kumpulan sasaran buku ini adalah mereka yang mahukan bacaan lebih mendalam.
"Karya ini ibarat buku teks dan diharap jadi bahan rujukan pada peringkat akademik, pelajar universiti, agensi agama untuk dijadikan silibus kursus praperkahwinan, pendakwah, penceramah serta ibu bapa yang inginkan institusi keluarga mereka bahagia hingga syurga," katanya kepada BH.
Asma' berkata, menariknya buku yang juga sesuai untuk pembacaan generasi muda kerana lengkap infografik dan berwarna-warni, turut tampil dengan empat video eksklusif.
Katanya, video yang boleh ditonton menerusi imbasan kod QR itu, adalah berkenaan ulasan olehnya yang menjawab persoalan tertentu berkaitan rumah tangga secara lebih mendalam dan lebih mudah difahami.
"Begitu juga keseluruhan buku ini, ia sedaya upaya menjawab persoalan yang ketika ini semakin banyak menjadi isu dan dibahaskan," katanya.
Akuinya yang kini sudah menulis 20 buku pelbagai genre, bukan mudah menyediakan buku ilmiah seperti itu dalam keadaan sekarang kerana ramai lebih sukakan bacaan ringan dan bersifat hiburan.
Namun katanya, memikirkan sudah menjadi tanggungjawabnya dan sebagai amanah untuk menyediakan bahan bacaan yang teliti, berkualiti dan padat dengan maklumat.
"Banyak bahan bacaan yang dapat membuai rasa tapi tidak dapat impak kepada penambahan ilmu serta tidak sampai menyentuh hati seterusnya membentuk karakter," katanya.
Beliau berkata, untuk mendapatkan keluarga bahagia perlu mempunyai ilmu menguruskan rumah tangga dan walaupun kebanyakan ibu bapa menggunakan pengalaman sebagai anak sebelum ini untuk menguruskan keluarga, namun ia masih tidak mencukupi.
Katanya, tugas paling sukar dan mencabar adalah membentuk keluarga bahagia dan lebih sukar jika seseorang tiada ilmu yang tepat.
"Sesebuah institusi keluarga masih boleh berjalan walaupun tanpa ilmu tetapi tujuan sebenar pernikahan adalah untuk berkumpul kembali di syurga, ini yang perlu diusahakan dari sekarang dengan ilmu yang tepat.
"Mereka yang mempunyai akal dan ilmu ibarat mempunyai benteng yang kuat dan jika kita berilmu, kita akan tahu apa sebenarnya tanggungjawab kita dan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan," katanya.