Khamis, 27 Mei 2021 | 10:04am
Gambar hiasan. - Foto NSTP
Gambar hiasan. - Foto NSTP

Syawal buka peluang raih kemenangan kedua

Oleh Hasan Jali

bhagama@bh.com.my

KITA berada dalam bulan Syawal selepas sebulan berpuasa pada Ramadan.

Kemenangan Ramadan kerana umat Islam berjaya melawan nafsu lapar, haus dan menjauhi perbuatan dosa, sekali gus mengisi bulan suci itu dengan amalan soleh seperti membaca al-Quran, solat terawih serta sedekah.

Ganjaran kemenangan pertama ini, umat Islam akan kembali kepada fitri (suci) seperti bayi baharu lahir dengan tiada dosa melekat pada dirinya.

Kini, Allah memberi peluang kepada umat Islam mendapatkan kemenangan kedua dengan berpuasa enam hari pada Syawal. Pahalanya seperti setahun penuh.

Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa berpuasa Ramadan kemudian mengiringinya dengan enam hari daripada bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun." (HR Muslim)

Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: "Allah SWT berfirman: Jika hamba-Ku bertekad melakukan keburukan, janganlah dicatat hingga ia melakukannya. Jika ia melakukan keburukan itu, maka catatlah satu keburukan yang semisal. Jika ia meninggalkan keburukan itu kerana-Ku, maka catatlah satu kebaikan untuknya. Jika ia bertekad melakukan satu kebaikan, maka catatlah untuknya satu kebaikan. Jika ia melakukan kebaikan itu, maka catatlah baginya 10 kebaikan yang semisal sehingga 700 kali ganda." (HR Bukhari dan Muslim).

Jadi, pahala orang berpuasa Ramadan kemudian diteruskan dengan enam hari Syawal menyamai pahala orang berpuasa setahun adalah anugerah besar kepada umat Islam.

Bahkan, mungkin pahala itu lebih banyak lagi, kerana Nabi SAW menyatakan dalam hadis qudsi di atas, Allah SWT dapat melipatgandakan kebaikan seseorang sehingga 700 kali.

Oleh itu, sifat syukur perlu sentiasa disemai dalam hati umat Islam, kerana rahmat Allah sangat berlimpah diberikan kepada kita.

Kebaikan dan kasih sayang Allah sangat luas kepada semua manusia. Namun, hakikatnya ramai tidak bersyukur.

Hikmah kemenangan kedua ini dapat ditunjukkan beberapa perkara berikut:

Pertama, seperti pahala Ramadan yang besar, puasa enam hari Syawal juga dijanjikan ganjaran banyak. Oleh itu, bertuahlah umat Islam dapat melakukannya.

Kedua, berpuasa enam hari Syawal adalah sunat. Orang melakukannya menyedari ganjaran besar akan diterima dan menunjukkan imannya meningkat hasil riadah zahir-batin sepanjang Ramadan.

Ketiga, dia berjaya menjaga istiqamah dalam melakukan amal kebaikan. Jika mampu berpuasa sunat enam hari Syawal, tidak mustahil segala amal baik dilakukan sepanjang Ramadan akan juga diteruskan.

Keempat, antara amalan wajib dan sunat, orang akan lebih memperhatikan yang wajib kerana risiko dosa jika meninggalkannya. Oleh itu, bertuahlah mereka yang mampu melakukannya, kerana tabungan pahalanya akan bertambah banyak.

Ringkasnya, mereka yang berpuasa enam hari Syawal adalah tanda kejayaan puasanya dalam Ramadan.

Pensyarah Students Development Centre Universiti Kuala Lumpur –Malaysian Institute of Information Technology (UniKL MIIT)

Berita Harian X